Latest Single - Lelaki Atas Awan



Sunday, December 13, 2009

Hidup

Bismillahirrahmanirrahim


Diddy bersyukur kerana sepanjang minggu lalu jadual Diddy agak penuh. Mungkin ramai yang tidak mahu bercakap mengenainya tetapi dalam keadaan sekarang, tawaran untuk membuat persembahan agak berkurangan. Mungkin untuk artis2 yang sudah punya nama, mereka tidak begitu merasainya tetapi untuk artis seperti Diddy, keadaan sebegini sedikit sebanyak dirasai. Bukan satu perkara yang mudah untuk terus bernafas dalam suasana yang agak suram. Persaingan juga agak sengit untuk merebut sedikit peluang yang ada.


Diddy percaya kepada rezeki yang diberikan Allah S.W.T. Diddy yakin dengan kerja keras kita mampu mengubah nasib kita. Mungkin keadaan ekonomi sekarang tidak begitu mengizinkan tetapi InsyaAllah suasana akan berubah dan kita mampu bertahan. Diddy bersyukur kerana pihak pengurusan Diddy sentiasa berusaha untuk membawa Diddy ke hadapan. Diddy tahu bukan satu tugas yang mudah kerana selain daripada persaingan, Diddy juga perlu menunjukkan peningkatan dan memberikan persembahan yang sentiasa segar.


Minggu lalu Diddy menghadiri majlis pembukaan rasmi Celebrity Fitness Express di Wangsawalk. Ramai selebriti tanahair yang turut hadir. Di situ sahaja Diddy dapat melihat betapa beratnya persaingan dalam ekonomi yang agak suram terutamanya di bidang seni. Kemudian Diddy ke pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin untuk sessi fotografi bersama Majalah Mangga. Dari situ pula Diddy ke sessi fitting bersama pereka fesyen di Kuala Lumpur dan sebelah malamnya Diddy ada persembahan makan malam di Petaling Jaya.


Pada hari Sabtu Diddy sepatutnya ada sessi fotografi pada sebelah siangnya tetapi ditunda di saat2 akhir kerana terdapat masalah teknikal. Pada sebelah malamnya pula ada persembahan di Port Dickson untuk satu lagi majlis makan malam. Setiap kali Diddy dapat membuat persembahan, Diddy rasa seronok dan hidup. Diddy tahu bukan mudah untuk mencipta kejayaan tetapi Diddy berjanji pada diri sendiri bahawa Diddy akan terus berusaha untuk mencapai cita2 yang Diddy idamkan, InsyaAllah.

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, December 9, 2009

Ubahsuai

Bismillahirrahmanirrahim


Dua bulan lalu pihak Majalah Anjung Seri menghubungi pihak pengurusan Diddy. Mereka ingin membuat 'make 0ver' untuk rumah yang Diddy diami. Diddy diberi peluang untuk memilih ruang mana di dalam rumah yang ingin diubahsuai hiasannya. Pada awalnya Diddy ingin mengubah hiasan dalaman untuk ruang tamu tetapi selepas berfikir seketika, Diddy mengambil keputusan untuk mengubah hiasan dalaman di ruang tidur.


Ubahsuai hiasan dalaman yang dilakukan oleh Majalah Anjung Seri ni ditaja oleh pihak Home Harmony sebanyak RM5,000 untuk barang2 hiasan seperti langsir, cadar, karpet bantal dan sebagainya. Banyak juga barangan yang Diddy dapat tetapi selebihnya Diddy akan dapat dalam bentuk baucer untuk dibelanjakan di Home Harmony. Alhamdulillah =)


Diddy tak tahu kenapa tetapi Diddy memang ingin warna ungu untuk bilik tidur. Selebihnya Diddy serahkan kepada pihak perekahias dari Majalah Anjung Seri untuk menata hiasan dalaman bilik tidur Diddy. Apabila semuanya sudah siap, Diddy sememangnya berpuas hati dengan pertukaran wajah bilik tidur Diddy. Lebih ceria dan ada kelainan.

Bersama editor dan pereka dari Anjung Seri serta penaja

Kalau ingin melihat perubahan bilik tidur Diddy dengan hiasan dalaman yang baru dan lebih segar, jangan lupa dapatkan Majalah Anjung Seri keluaran bulan Disember 2009. Diddy juga mendapat set bilik mandi seperti di bilik hotel. Memang mengagumkan =) Terima kasih kepada pihak Majalah Anjung Seri dan kepada Home Harmony yang memilih Diddy.

Salam Sayang
Diddy

Monday, December 7, 2009

ABP'09

Bismillahirrahmanirrahim


InsyaAllah mulai hari ni Diddy akan cuba menulis kembali di blog. Sudah agak lama Diddy tak berpeluang. Seperti hilang sedikit rentak untuk menulis. Mungkin selepas ni Diddy cuba sedaya upaya walaupun hanya sebaris dua.


Baru2 ni berlangsung pelancaran untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Diddy tercalon dalam pencalonan awal untuk tiga kategori iaitu Penyanyi Lelaki Popular, Duo/Bekumpulan Popular (untuk lagu duet bersama Nurfatima) dan Pelakon Drama Popular.


Diddy tak meletakkan sebarang harapan kerana Diddy tahu lebih ramai yang lebih popular dan ada lebih ramai peminat. Tetapi Diddy tetap gembira kerana Diddy masih tercalon. Bukan untuk membangga diri tetapi sebagai bukti Diddy masih ada di bidang seni dan akan terus memperjuangkan bakat yang diberikan.


Sekarang ni Diddy bekerja keras untuk memastikan album kedua Diddy akan siap sepenuhnya. Walaupun agak lewat daripada tarikh yang dijangkakan, Diddy bersyukur kerana dalam tahun ni sahaja Diddy sudah mengeluarkan tiga single iaitu "Sudah" berduet dengan Nurfatima pada bulan Februari, "Biar Diddy Sambung" yang diedarkan pada bulan Jun, serta yang terbaru "Lelaki Atas Awan" pada bulan November yang sudah tiga minggu di radio.

InsyaAllah jika ada rezeki, album kedua Diddy akan keluar tidak berapa lama lagi. Hanya tinggal beberapa buah lagu lagi yang belum dirakamkan. Rasanya ini sahaja yang Diddy ingin ceritakan.

Salam Sayang
Diddy

Monday, October 5, 2009

Terima Kasih

Bismillahirrahmanirrahim



Sebelum berakhir bulan Syawal Diddy ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang sering membaca blog Diddy. Sudah agak lama Diddy tidak menulis di blog kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Diddy harap semua gembira menyambut lebaran bersama keluarga dan sahabat handai.

Di kesempatan ini juga Diddy ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah ayah Diddy yang kembali ke rahmatullah pada 16 September bersamaan 27 Ramadhan yang lalu. Terima kasih juga kepada pihak media yang menghebahkan berita sedih ini kerana ramai sahabat arwah ayah Diddy yang datang melawat walaupun sudah terputus hubungan sejak sekian lama.

Tepat jam 12 malam, 5hb Oktober, bermakna umur Diddy meningkat setahun lagi. Kini Diddy sudah berusia 24 tahun. Diddy mengucapkan syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah S.W.T. kerana masih lagi memanjang usia Diddy. Diddy juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang masih terus menyokong Diddy di dalam industri ini. Semoga Allah S.W.T. memberkati semua.

InsyaAllah jika tidak ada aral melintang, Diddy akan kembali bekerja bermula 15hb Oktober ini. Terima kasih sekali lagi daripada Diddy kepada semua.

Salam sayang
Diddy Hirdy

Wednesday, September 9, 2009

InTrend

Gaya Hidup
Selera Bintang


Sajian Istimewa Timur Tengah

Teks oleh Huda Hussain

Istimewa bulan ini kami bawa kamu terokai masakan ala Arab. Aroma, rasa dan persembahan sajianya pasti bikin kamu teruja ingin mencubanya.

Bersempena Hari Raya bulan ini, InTrend mengundang Diddy Hirdy dan Nurfatima sebagai tetamu Selera Bintang. Tampak manis dan segak apabila kedua-duanya mengenakan baju Melayu dan berbaju kurung rona sedondong. Turut menemani mereka, Badrul Hashim selaku pengurus Nurfatima dan Diddy. Selepas mengucapkan salam perkenalan, kami menuju ke Carousel Cafe Restaurant. Apabila dikhabarkan menu yang akan disajikan ialah hidangan masakan Arab, masing-masing teruja lantaran jarang sekali berpeluang merasai masakan dari negara Timur Tengah ini. Apatah lagi hidangan masakan Arab hanya disajikan sekali setahun di Hotel Palace of Golden Horses!

Dekorasi di sudut buffet berkongsepkan dapur terbuka kelihatan unik dan cantik. Terbukti sentuhan artistiknya mampu 'membawa' perasaan pengunjung seolah-olah berada di restoran negara padang pasir ini, seperti benar!

Sementara menanti Joe merakamkan sudut-sudut menarik sekitar restoran, saya gunakan masa yang ada menemu bual Nurfatima terlebih dahulu. Walaupun agak lama menyepikan diri kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang audio engineering, anak muda berbakat ini tidak sepi daripada dunia seni. Perkembangan terkini Nur, dia kini bekerja di belakang tabir di samping mengasah bakat sebagai penulis lirik dan pencipta lagu. Bakatnya dalam bidang nyanyian mula dicungkil melalui pertandingan Golden Teen Search pada 1999. Lantaran itu Nur terus optimis meneruskan perjuangan dalam arena seni. "Bagi Nur, seseorang yang berada dalam industri seni, perlu sedikit sebanyak belajar selok belok muzik," katanya yang meminati bidang muzik sejak kecil lagi. Mula berjinak-jinak dalam penulisan lirik pada 2003 menerusi lagu Gadis, Nur kini giat meluaskan horizon muziknya baik daripada segi penulisan lirik, penciptaan lagu dan aspek teknikal seperti bidang audio. Pernah dinobatkan sebagai Young Composer dalam anugerah MACP, komposer muda berbakat ini tidak jemu berusaha. Nur berhasrat ingin terus memahat nama dan mengembangkan lagi bakatnya di persada seni.

Berkongsi semangat serupa, Diddy juga giat mendalami bidang penulisan lirik. Diddy kini sibuk mengumpul bahan bagi album keduanya yang berkonsepkan moden pop. Selain nyanyian, Diddy juga terlibat dalam seni lakonan. Setakat ini, dia sudah pun membintangi enam telemovie. "Bukan tamak ataupun gila glamor, sebab bagi Diddy selagi bergelar anak seni, tak salah kalau Diddy mencuba sesuatu yang baru untuk menambah pengalaman," ujar Celebrity Friend of Clinique ini.

Mengimbau nostalgia Syawal, kedua-duanya mempunyai kisah tersendiri. "Diddy sukakan suasana pada Hari Raya itu sendiri. Semua sanak saudara yang dah lama tak ditemui, dapat berkumpul serentak. Itulah istimewanya Hari Raya." Nur juga tidak ketinggalan menceritakan pengalaman menyambut Hari Raya sewaktu kecil. "Kenangan paling manis semestinya masa kecil-kecil dahulu. Rasa seronok apabila dapat pergi beraya dan kumpul duit raya," kata Nur yang bakal pulang menyambut lebaran di Taiping, Perak.

Berkongsi cerita mengenai menu wajib di pagi raya, "Diddy memang tak pernah ketinggalan menu sambal sotong yang dimakan dengan nasi impit. Memang sedap!" Berbeza pula dengan Nur, "ketupat pulut dan rendang adalah menu wajib mesti ada setiap kali sambut raya. Apabila dah meningkat remaja, Nur belajar dengan mak cara-cara nak balut ketupat."

Itulah keunikan dan keistimewaannya Syawal bulan nan mulia. Masing-masing punya cerita tersendiri dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Selesai sesi temu bual, tibalah masa untuk mengisi perut yang sudah mula memainkan melodi tanda kelaparan. "Nur ni sanggup tak makan sejak tengah hari tadi semata-mata nak rasa masakan Arab ni!" usik Bad sambil ketawa. Selepas mendapat lampu hijau daripada pembantu restoran, Nur dan Diddy mengambil tempat masing-masing.

"Banyaknya makanan! Aduh, mana satu agaknya yang patut Diddy makan dulu?" Amboi, terlupa sejenak orang sekeliling, leka sungguh mereka berdua menikmati sajian padang pasir eksklusif ini. Antaa menu paling memikat selera yang harus kamu semua cuba adalah Mahrobah Rice, Bamia Lahama (hirisan daging dengan kentang, mmm... enaknya!), Kofia Bil Tahina (kebab daging disalut keju, yang ini sedap juga) dan ohh, banyak lagi!

Uniknya di sudut hidangan masakan Arab ini, sajian ditampilkan dengan konsep buffet dan saya dimaklumkan ia hanya dimasak sekali dalam setahun. Jika kamu meminati masakan Timur Tengah, jangan ketinggalan berkunjung ke Carousel Cafe Restaurant. Sudi-sudikan!

Thursday, September 3, 2009

MH



Ezlynn & Diddy Hirdy Sakan Berbelanja

teks oleh Ziera
Media Hiburan (29 Aug - 4 Sep)

Biarpun hanya bergaya ringkas, gandingan dua penyanyi popular, Diddy Hirdy dan Ezlynn menggamit perhatian pengunjung sekeliling yang ralit memerhatikan mereka membeli-belah untuk persiapan menyambut Aidilfitri. Yang penting masing-masing ramah bercerita perihal perkembangan terbaru dan cerita-cerita terkini. Kerjasama baik yang diberikan oleh mereka yang tidak banyak karenah membuatkan fotografi petang itu berjalan dengan lancar.

Diddy yang kini mahu dikenali dengan nama Diddy Hirdy memberitahu buat masa ini dia sedang sibuk mempromosikan single 'Biar Diddy Sambung'.

"Diddy bersyukur kerana lagu itu berjaya menduduki carta di radio. Dalam pada masa yang sama, Diddy rancak mengumpulkan material untuk dua album serentak merangkumi album solo yang akan dilancarkan hujung tahun ini dan album duet (dengan artis lelaki dan perempuan). Tidak dilupakan juga single terbaru, 'Lelaki Atas Awan' yang akan diputarkan di radio tidak lama lagi.

"Secara rasminya juga, sejak menukar nama kepada Diddy Hirdy, banyak perubahan positif yang berlaku dalam hidup. Diddy juga sudah mempunyai kelab peminat sendiri iaitu 'United Community Malaysia' (unitedcommunitymalaysia.blogspot.com). Diddy tak mahu memilih nama sama seperti kelab peminat lain kerana memberikan kebebasan kepada peminat-peminat di luar sana untuk menyokong mana-mana artis lain yang mereka suka," jelasnya.



Kawal Perasaan

Dalam bulan Ramadhan ini, tidak sah jika tidak ditanya tentang persiapan Diddy menjelang hari raya.

"Kebiasaannya saya membeli baju Melayu bercorak terang. Tidak ketinggalan juga Diddy membeli beberapa butang baju Melayu temasuk capal. Lokasi pilihan semestinya di kedai-kedai sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Diddy pernah berbelanja sehingga RM600. Itu pun jika dikawal perasaan, kalau tidak, semua Diddy mahu beli (sambil tergelak).

"Sepanjang bulan Ramadhan, Diddy sibuk memenuhi undangan berbuka puasa termasuk di Terengganu dan Kelantan selama dua minggu. Dan masa terluang, Diddy peruntukkan masa bersama keluarga.

Mengenai bersahur pula, Diddy wajib untuk bangun makan. Apa pun Diddy lebih utamakan minum banyak air. Nasib baik Diddy tinggal bersama kakak dan keluarganya. Selepas bersahur Diddy akan tidur sebentar sebelum menunggu waktu Subuh untuk bersolat," ujar Diddy tentang aktiviti dan rutinnya berpuasa kepada MH.

"Sebenarnya saya jarang ke bazar Ramadhan. Saya hanya pesan pada orang sahaja. Saya suka air berwarna hijau yang mengandungi biji selasih. Memang air itu sukar untuk diperolehi. Tentang makanan, saya tidak kisah apa saja. Tapi kalau ada ikan bakar lagi best," jelas Diddy.

Elak Shopping Last Minute

Barangkali ada yang sediamaklum tahun ini merupakan tahun ketiga Diddy bergelar tunangan orang. "Selalunya persiapan membeli-belah dilakukan sebelum bulan puasa. Sama ada saya ditemani tunang ataupun ahli keluarga. Bukannya apa, risau terpaksa bersesak jika lambat membeli-belah. Kalau ikutkan hati masih banyak kerja perlu dilunaskan. Tak berani nak cakap bila."

Tahun ni Diddy tidak menempah baju Melayu memandangkan sudah mempunyai banyak koleksi sama ada yang telah dan belum dipakai lagi. Cuma warna pilihan tahun ini kami (termasuk sekeluarga) memilih warna kuning. Selain itu keperluan lain seperti kuih raya, kain langsir, sarung sofa wajib dibeli untuk keluarga di Pasir Gudang, Johor. Tahun ni Diddy tak pasti sama ada balik ke Johor atau tidak cuma rasanya ibu dan bapa saya akan ke Kuala Lumpur untuk beraya," katanya lagi.

Monday, August 31, 2009

Hib


DIDDY SAMBUNG CINTA

Oleh Tengku Suzana Raja Hamat
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

Bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Diddy Hirdy tidak pernah mengalah dengan turun naik industri muzik. Buktinya sampai hari ini, Didy masih menyambung nafas bergelar penyanyi dan masih keluar masuk studio merakamkan lagu baru.

Selain perkembangan muziknya yang diintai media, ada seperkara lagi yang menarik tentang Syamsul Hirdy Muhid, 24, untuk dicatatkan buat pengetahuan semua.

Masuk ke dunia seni dengan menjunjung status tunangan orang, sehingga ke hari ini, isu pertunangan Diddy sering menjadi bahan bualan. Adakah masa, jiwa muda, populariti dan perbezaan status telah menghakis tembok cinta mereka?

Lagu Biar Diddy Sambung kini semakin mendapat sambutan. Itu antara penguat semangat Diddy.

Cinta Karier dan Tunang

Siapa kata hubungan pertunangan Diddy bersama tunangannya, Ellen Norazah Abdullah, 24, sudah retak menanti belah sebelum sempat mereka ke jenjang pelamin?

Tuan empunya diri, Diddy sendiri membuka mulut bahawa ikatan pertunangannya masih kukuh bahkan semakin matang, cuma hari bahagia mereka sahaja yang belum diputuskan tarikhnya.

"Masih, kami masih bertunang dan dia (Ellen) ada di Kuala Lumpur. Kami selalu berjumpa dan hubungan kami masih berjalan seperti dulu," ucap Diddy ringkas.

Selain menjawab pelbagai spekulasi dilontarkan pada hubungan pertunangannya, sama seperti lirik lagu terbaru penyanyi itu, Biar Diddy Sambung, ia sekaligus menjelaskan sesungguhnya belum ada jawatan kosong untuk hati Diddy mencari pencinta baru.

Bahkan, masih berpegang kepada prinsipnya, Diddy, 24, seboleh-boleh tidak mahu menayangkan gambar tunangnya di media, di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik.

Kata Diddy, tunangannya bukan selebriti mahupun artis, biarlah dia berada di belakang tabir sahaja. Janji Diddy kepada media, apabila sah bergelar suami isteri nanti, barulah mereka bersedia untuk merakamkan gambar bersama.

Sudah namanya bergelar artis, Diddy tidak lokek ketika soalan berbaur peribadi dibawa mengisi wawancara biarpun hajat pertemuannya bersama media sebenarnya untuk bercerita perkembangan terbaru tentang karier.

"Masa bertunang, ikut perancangan asal kami tidak akan ambil masa yang lama untuk berkahwin, tapi masuk tahun ini, sudah tiga tahun kami bertunang dan sampai sekarang belum diputuskan bila kami akan berkahwin.

"Ellen tidak pernah mendesak tetapi sebagai lelaki saya faham perasaannya, dia seorang wanita dan tidak ramai wanita yang sanggup menunggu lebih lama. Bila dah tetap tarikhnya nanti, saya akan beritahu," janji Diddy lagi kepada semua media.

Diddy cuma mengangguk dan tersenyum saat diusik bermacam persoalan tentang perancangan perkahwinannya. Bukan soal jodoh, cinta atau kahwin yang ralit menjadi bahan bicara Diddy, sebaliknya tumpuan pemuda tinggi lampai itu tempoh terdekat ini adalah kepada karier.

Biarpun sukses kariernya di persada seni tidaklah melantun hingga ke bintang, namun tidak mustahil, ada ketika lonjakannya mungkin mencecah awan.

Itu dimensi letaknya jejak penyanyi yang mahu dikenali sebagai Diddy Hirdy ketika ini. Bertahun-tahun program yang melahirkannya, Akademi Fantasia musim keempat ditinggalkan, Diddy kini selesa dengan imej, penerimaan serta kewujudannya di tengah-tengah atmosfera muzik yang banyak ragamnya ketika ini.

"Selepas keluar daripada AF, saya sedar karier nyanyian saya tidaklah terlalu 'meriah' tetapi ada peningkatan dan tidak statik.

"Saya selalu mahu tingkatkan kemampuan. Selain belajar main gitar dengan abang kandung saya, ada juga saya berjinak-jinak dengan lakonan. Jadi dari situ, penonton TV akan sedar bahawa saya masih wujud.

"Lebih penting adalah penghasilan single. Itu produk penting bagi artis seperti saya untuk terus berada dalam industri," getus Diddy yang semakin melonjak dengan single terbarunya, Biar Diddy Sambung yang sedang hangat diputarkan di corong radio.

Ibarat penyambung kepada kemunculannya dengan lagu Hilang yang popular sebelum ini, Biar Diddy Sambung yang menggunakan khidmat Cat sebagai komposer membuktikan percubaan Diddy untuk lebih peka terhadap kemahuan deria dengar peminat dan trend muzik semasa.

"Hasil idea Cat, katanya lagu itu akan lebih manis kalau ada elemen featuring, maka terbentuk Biar Diddy Sambung featuring Wangi. Alhamdulillah, penerimaan pendengar memberikan semangat kepada saya," jelas Diddy ketika ditemui dalam satu majlis santai pradengar single ketiganya untuk tahun 2009, Lelaki Atas Awan di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Diddy, ada sesuatu yang menarik perhatiannya terhadap lagu Lelaki Atas Awan. Berbeza dengan Hilang, Diddy dan pengurusnya Badrul Hashim menggelarkan konsep balada yang menjadi pilihannya kali ini sebagai balada gembira.

"Kita mahu cuba kelainan berbanding Hilang. Walaupun balada, Lelaki Atas Awan masih sebuah balada yang gembira, bukan balada kecewa, sedih atau pilu," kata Badrul atau lebih mesra dengan panggilan Bard di kalangan media.

Bagi Diddy pula, lagu yang lirik ditulis oleh Abie Abdullah itu seolah-olah membayangkan siapa diri Diddy ketika ini.

"Ia berkisarkan perasaan dan situasi seorang lelaki yang merasakan dirinya sudah dilengkapi dengan semua perkara, cinta dan karier. Dia puas dan sedang bahagia dengan hidupnya," tambah Diddy berterus-terang.

Sejak dari awal kemunculan sehingga ke hari ini, Diddy kekal dengan imej bersih dan mengelak daripada kontroversi.

Bakal diluncurkan ke stesen-stesen radio selepas Aidilfitri nanti, penghasilan single-single termasuklah Biar Diddy Sambung, Lelaki Atas Awan serta single terdahulu Sudah, merupakan strategi Diddy untuk tampil dengan sebuah lagi album studio keduanya, selewat-lewat hujung tahun nanti.

Memandangkan album agak sukar menjana wang, dari satu segi, kesungguhan serta kesanggupan Diddy dan Bard berdepan risiko kerana sanggup berbelanja lebih untuk penghasilan sebuah album penuh, bukan mini album atau sekadar single wajar dipuji.

"Terus-terang saya katakan, album pertama Diddy bukannya boleh buat duit sangat sebab peminat sekarang lebih gemar lagu yang dimuat turun menerusi Internet.

"Tapi kami masih percaya bahawa album adalah satu rakaman yang boleh disimpan lama dan setiap artis ada cara tersendiri untuk menghargai penerimaan peminat. Bagi saya dan Diddy kami memilih untuk membalas penghargaan peminat dengan album sebagai hadiah, tapi hadiah yang kena keluarkan belanja sendiri," jelas Bard.

Menariknya, demi peminat yang masih menyokong perjalanan karier Diddy, Bard merancang untuk tidak mengambil kira lagu sebaliknya hanya kos percetakan dan pembikinan dalam menetapkan harga jualan kaset atau CD album terbaru Diddy nanti.

Seperkara lagi yang ditekankan Diddy dan Bard, penghasilan album kedua kali ini juga dilakukan secara lebih teliti dan berhati-hati. Tujuannya adalah membaiki segala kelemahan yang dikenalpasti sewaktu album pertama dihasilkan.

"Single pertama, Sudah yang dihasilkan secara kolaborasi oleh Audi Mok, Nurfatimah dan Diddy sendiri ambil dua bulan untuk selesai rakaman.

"Dulu Diddy baru nak naik, jadi artis baru kena cepat-cepat ada produk atau album untuk dipromosikan. Lagu Lelaki Atas juga ambil masa selama dua bulan untuk disiapkan," jelas Bard lagi.

Tuesday, August 25, 2009

Selebriti



Lelaki Atas Awan
Single ketiga Diddy bakal temui peminat selepas Aidilfitri

Oleh Shakilawati Abd Rahman
shakilawati@hmetro.com.my

BAK ada di awangan apabila perjalanan hidupnya dirasakan sangat indah. Dalam usia muda, karier jejaka kelahiran selatan tanah air kian berkembang, lebih bermakna apabila hatinya terisi dengan kehadiran wanita yang bakal melengkapi hidupnya sebagai lelaki.

Lalu ceritera bahagia itu diabadikan dalam single ketiganya, Lelaki Atas Awan sentuhan kreatif Badrul Hisham dan nukilan lirik Abie Abdullah yang bakal menemui peminat selepas Aidilfitri nanti.

Bagi Diddy Hirdy, karya itu sangat istimewa kerana dapat berkongsi sisi peribadinya dengan mereka yang tidak jemu-jemu menyokong kembara seninya.

"Alhamdulillah selepas muncul dengan single pertama, Sudah, awal tahun ini disusuli single kedua, Biar Diddy Sambung, Julai lalu, saya akan memperdengarkan Lelaki Atas Awan tidak lama lagi.

"Dari awal pihak pengurusan berasakan lagu ini ada daya tarikan tinggi dan saya yakin ia dapat diterima ramai. Semua single akan dimuatkan dalam album kedua saya yang dijangka ada di pasaran penghujung tahun ini.

"Bingkisan kedua ini berbeza daripada album terdahulu. Paling ketara, lagu balada berlatar belakangkan cerita gembira bukan sedih seperti yang biasa kita dengar, malah melodinya lebih 'catchy'.

"Jika dulu saya banyak bereskperimentasi dengan muzik, kali ini saya sampaikan apa yang peminat mahu dengar. Selain Audi Mok dan Nurfatima, album ini banyak menggunakan khidmat komposer muda termasuklah Aizat. Saya turut menyiapkan sebuah lagu, namun belum ada judul," katanya yang akan menggunakan nama sendiri sebagai judul album.

Demi memastikan album ini menepati kualiti dan citarasa ramai, proses pembikinannya mengambil masa yang lama. Ini jelas berbeza dengan penghasilan album terdahulu di mana prosesnya pantas.

"Album kedua lebih persediaan. Kalau dulu saya hanya menerima lagu tiga atau empat hari sebelum rakaman, kali ini saya ambil masa dua bulan sebelum merakamkan sesebuah lagu. Selain tidak puas hati saya tidak akan masuk studio.

"Album ini hadiah saya buat peminat dan ia akan dijual dengan harga modal dan ia mampu dibeli sesiapa saja. Ini cara saya menghargai peminat," katanya yang mendapat sokongan padu daripada kelab penyokong, United Community Malaysia.

Tiga tahun bertapak dalam industri, Diddy bebas kontroversi, bahkan jejaka berusia 24 tahun ini sentiasa menjaga imej serta penampilannya. Katanya, seboleh mungkin dia cuba mengelak dikaitkan dengan cerita negatif kerana enggan menjadi bahan gosip murahan.

"Pihak pengurusan sentiasa mengingatkan saya supaya menjauhi kontroversi dan menjaga penampilan.

"Awal kemunculan, sya tidak peduli sangat soal imej tetapi setelah ditegur pengurus (Badrul Hashim), saya mula ambil berat perkara ini," katanya yang tidak akan memakai topi dan kaca mata hitam depan khalayak.

Mengupas sisi peribadi, pertunangan dengan buah hatinya mencecah usia tiga tahun. Tidak dinafikan bergelar insan seni dia tidak mampu lari daripada buruan peminat wanita, namun ikatan cinta suci bersama kekasih hati tidak pernah goyang.

"Bagi memastikan hubungan bertahan, kena faham karektor dan mengenal diri masing-masing. Cubalah memahami corak kerja pasangan, insya-Allah tak ada masalah.

"Tiada masalah untuk kami bertemu kerana tunang saya juga bekerja di Kuala Lumpur. Jika tidak terikat dengan apa-apa program, kami keluar bersiar-siar dan sesekali menonton wayang seperti pasangan kekasih lain.

"Dari awal saya tidak pernah merahsiakan ikatan ini, tetapi saya tidak mendedahkan tunang saya kepada media. Namun jika terserempak dengan peminat, saya akan memperkenalkan dia sebagai tunang saya.

"Mulanya risau juga peminat lari jika saya berterus-terang, tapi Alhamdulillah mereka juga terbuka dan sangat memahami. Mungkin kerana saya jujur dari awal, hubungan kami tiada masalah.

"Saya tahu tiga tahun adalah tempoh lama untuk ikatan pertunangan, tapi syukur dia faham keadaan saya dan tidak pernah mendesak perkahwinan kami dipercepatkan. Pun begitu, sebagai lelaki, saya tahu isi hati wanita dan tidak mahu dia ternanti-nanti. Insya-Allah kami akan melangsungkan hari bahagia tidak lama lagi," kata artis lelaki tempatan pertama menerima tajaan produk Clinique sejak hampir dua tahun lalu ini.

Sunday, August 23, 2009

Kosmo!



DIDDY ELAK PAKAI TOPI

Oleh Maliah Surip
Foto Azlan Hanif (AZ PHOTOGRAPHY)

DIDDY HIRDY
- begitu predikat komersial penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) tiga tahun lalu.

"Saya mahu berdiri di atas kaki sendiri dengan mencicirkan brand lain. Jadi, saya memilih untuk membawa nama sendiri iaitu Diddy Hirdy," kata pemuda berusia 24 tahun ini tanpa mengetepikan rasa terima kasih terhadap AF kerana menjadi platform buat dia menjadi anak seni.

Muncul dengan single terbaru yang diberi nama Lelaki Atas Awan karya Bad Hisham dan lirik oleh Abie, kata Diddy lagu berentak balada ini mempunyai kaitan dengan kisah hidupnya yang sedang bahagia kerana kerjaya biar tidak segah artis lain.

"Saya juga masih bahagia bersama tunang saya," katanya yang sudah tiga tahun mengikat pertunangan dengan sahabat zaman persekolahannya.

Agenda seninya pada Ramadan ini diisi dengan rakaman dua buah lagu untuk melengkapkan albumnya yang dijangka dipasarkan pada hujung tahun termasuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim.



Adab Bertemu Media
"Saya menjaga imej saya agar tidak terlibat dalam sebarang kontroversi. Kalau bercakap tentang imej, dari segi penampilan, saya mengajar diri supaya tidak memakai topi dan cermin mata hitam kala bertemu media. Saya rasa ia seperti tidak menghormati orang apabila bercakap dengan cermin mata hitam dan topi. Saya melatih diri menjadi yakin."

Menafikan Sesuatu Berita
"Mengapa perlu? Bagaimanapun ia bergantung kepada persepsi dan alasan individu tersebut. Keadaan yang memaksa saya menafikan sesuatu perkara adalah apabila ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan umum."

Lagu Raya yang Membangkit Semangat
"Lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Kalau dengar saja lagu itu, serta-merta rasa tak sabar nak balik kampung."

Kurma atau Bubur Lambuk
"Kurma. Saya suka kerana ia manis dan paling penting khasiatnya yang banyak. Saya kurang gemar bubur lambuk. Jadi kalau atas meja ada bubur lambuk dan kurma, pasti saya pilih kurma sebagai hidangan berbuka puasa."

Album Dulu dan Kini
"Album saya dulu banyak eksperimentasi berbanding album terbaru ini yang digarap lebih lama untuk memastikan sesebuah lagu itu menjadi lebih baik dari dahulu. Saya juga terlibat menulis satu lagu untuk album ini."

Dikesempatan ini Diddy ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat Islam. Semoga kita semua memperolehi keberkatan dari Allah S.W.T.

Salam Sayang
Diddy

Monday, August 10, 2009

Bi-Pop


Ada Chemistry!

Peminat boleh kata apa saja tetapi jangan sampai tunangan Diddy Hirdy marah

Oleh Suzan Ahmad

BAHASA tubuh dan keserasian yang dipancarkan dua penyanyi muda yang sedang mula mencari tapak di persada arena seni muzik tanah air cukup semula jadi. Hampir terpedaya jika tidak diberitakan pertama kali mereka bertemu adalah ketika masuk studio untuk menyempurnakan single terbaru Shamsul Hirdy Muhid, 24, atau lebih senang di sapa Diddy Hirdy berjudul Biar Diddy Sambung.

Boleh diterima akal memandangkan si bunga berasal dari tanah seberang (Indonesia) manakala si kumbang pula anak jati Kuala Lumpur.

“Terus terang Diddy katakan, pertama kali kami bertentang mata dan bertegur sapa adalah di studio sewaktu merakamkan single ini pertengahan Jun lalu. Memang kami agak malu-malu pada mulanya. Maklum selama ini hanya mengenalinya menerusi pembacaan dan cerita teman. Ternyata Wangi seorang yang cukup menghormati orang biarpun usia kami tidak pun banyak beza,” jelasnya yang mengakui semakin mereka mesra semakin terserlah sikapnya yang periang dan gila-gila.

Idea menampilkan Wangi dalam single nyanyian Diddy dicetuskan komposer, penerbit juga anggota Fabulous Cats, Cat Farish yang juga pencipta sepenuhnya lagu Biar Diddy Sambung. Merehatkan sebentar kerjaya lakonan ternyata membuktikan keutamaan terhadap nyanyian yang sekian lama berakar umbi.

“Lakonan perlu direhatkan buat sementara memandangkan sekarang ini dua projek membabitkan muzik bergerak serentak. Pertamanya album solo berkonsep modern pop yang membabitkan komposer seperti Aizat, Nurfatimah dan Audi Mok dan keduanya projek album duet yang masih berjalan dan dalam peringkat mengumpulkan bahan secukupnya,” kata anak muda itu.

Kelibat Diddy dalam bidang lakonan diakui cukup variasi dan dinamik. Jika dalam Rebab Tidak Bertali, membawa watak pemuda Kelantan yang pandai bermain Rebab dan bercakap dalam loghat Kelantan, Kasih Bebunga Lalang pula memerlukan pembawaan karakter yang emosi dan berat. Selain itu, Diddy turut membintangi Serakah Rashid, Otai (bual bicara), Sukun (semi-komedi) dan Jelma drama online yang sedang disiarkan di Gua.com.my

Jika Diddy Hirdy dibongkar bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia, Wangi pula atau Wangi Julianda Indra Meida, 19, pernah menyertai Indonesia Idol. Gadis lincah kelahiran Bandung ini juga rela untuk bercuti seketika daripada pengajian dalam bidang pengurusan selama setahun di Universitas Padjajaran semata-mata untuk mengejar cita membina nama dalam bidang nyanyian.

“Sebelum rakaman single ini bermula, Cat sudah lama memperdengarkan kepada saya. Cat minta saya karang sedikit kata-kata dan nada-nada yang masuk dengan melodi lagu mungkin kerana itu proses rakaman tidak rumit dan berjalan lancar,” ceritanya yang diam tak diam sudah enam bulan bersama The Fabulous Cats.

Hasilnya, gandingan Diddy Hirdy menampilkan Wangi menerusi Biar Diddy Sambung mendapat sambutan cukup membanggakan selepas hanya beberapa minggu dimainkan di stesen radio tempatan dan sudah pun mula mendaki carta muzik popular stesen radio swasta tanah air.

Dalam pada kerjaya seninya menunjukkan graf yang positif, sebagai anak rantau Wangi akui, bukan mudah bagi keluarga untuk melepaskan anak gadis sepertinya berdikari dan mencari hala tuju diri di negara orang. Kerana itu juga, Wangi sering berulang alik ke kampung halaman sekali sebulan atau paling tidak pun, orang tuanya akan datang berkunjung setiap kali rindu menebal.

“Memang pada mulanya agak sukar untuk berjauhan dari keluarga, tetapi sekarang syukur saya pun menetap dengan rakan senegara yang sedang menuntut di sini, jadi lebih selesa,” jelasnya yang sedang memikirkan untuk menyambung pengajian di sini saja jika keadaan mengizinkan.

Ditanya mengenai perancangan kerjayanya, selepas Aidilfitri nanti, Fabulous Cats akan tampil dengan single terbaru album ketiga mereka Fabulous City yang berjudul Cinta Kosmik. Jika tiada halangan pihaknya bakal mempromosikan single dan album ini di Malaysia dan juga Indonesia.

Ditanya mengenai kemesraan yang semakin terserlah di antara Wangi dan Diddy sejak terbabit dalam kerjasama itu, jawab Wangi ringkas sambil menjeling Diddy dan ketawa, "Peminat boleh mengatakan apapun, tapi jangan sampai tunangan Diddy marah nanti ya."

Tuesday, July 21, 2009

Gua

Diddy Masih Tunangan Orang

by Syaliza Shapiansuri | 6 Jul 2009





Status diri pemilik nama Syamsul Hirdy atau nama komersilnya, Diddy Hirdy sentiasa menjadi tanda tanya. Sejak muncul bersama rancangan realiti, Akademi Fantasia 4 (AF4), umum tahu lelaki ini sudah dimiliki.

Namun selepas megorak langkah sebagai artis solo, ramai kurang pasti sama ada Diddy masih setia bergelar tunangan orang atau sebaliknya. Bertanya sendiri kepada empunya diri, jejaka Kuala Lumpur ini mengakui tiada sebab untuknya memutuskan pertunangan yang kini memasuki tahun ketiga.

“Siapa yang tidak mahu mengakhiri pertunangan dengan ikatan perkahwinan. Keinginan untuk berkahwin ada, tapi buat masa ini ianya perlu ditangguhkan dulu kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya,” itulah pengakuan ikhlas yang terbit dari mulut anak muda 24 tahun ini.

Tahu keburukan yang bakal ditempuhi akibat terlalu lama bertunang, Diddy tidak menafikan kata-kata itu adakalanya membuatkan dia gerun.



“Memanglah pesan orang-orang tua jangan terlalu lama bertunang, namun, sebagai lelaki saya mempunyai tanggungjawab besar sekiranya mendirikan rumahtangga. Saya perlu memikirkan dari segenap sudut, iyalah bukan senang nak tanggung orang baru dalam kehidupan kita. Sebab itu dari sekarang saya bekerja keras dan memastikan kewangan stabil,” tambahnya.

Baik Diddy atau tunangnya, mereka sama-sama masih setia melayari alam pertunangan dan setiap gosip yang hadir dalam hidup mereka tidak sedikitpun mengganggu dan menganggap ianya sebagai jenaka yang sengaja direka untuk ‘membunuh’ perasaan cinta masing-masing.

Lakonan dan nyanyian seiring
Sekiranya anda penonton setia rancangan tempatan, pasti sedar kemunculan Diddy di kaca televisyen sejak kebelakangan ini. Selain bakat nyanyian yang mula diperkenalkan pada 2006, Diddy mengorak setapak lagi apabila menceburi bidang lakonan pula.

Apakah jejaka yang popular dengan lagu “Hilang” mula merasakan kehambaran industri hiburan tempatan, sehingga dia bergelar pelakon pula?

“Sebenarnya baik nyanyian atau lakonan, kedua-duanya berjalan seiring. Alhamdulillah, undangan nyanyian tidak pernah putus, barangkali kerana kurang publisiti mengenai aktiviti nyanyian saya, maka orang menganggap saya sudah tidak mahu menyanyi lagi,” terangnya.

Kerjaya lakonan yang baru diceburinya sejak 2008 bermula tanpa sengaja. Waktu itu dia sekadar memenuhi undangan pengarah, Saiful Bahari dalam telefilem ‘Rebab Tidak Bertali’. Memegang peranan penting sebagai pemain rebab berdarah Kelantan, Diddy terpaksa berdepan cabaran untuk lakonan pertamanya itu.


“Memang sukar kerana saya perlu belajar berdialog dalam bahasa Kelantan, sedangkan saya tidak pernah tahu dialeknya dan dalam masa sama perlu menjadi pemain rebab. Bayangkan kesukaran belajar dua perkara untuk satu telefilem. Tapi saya hadapinya dengan sabar dan belajar dengan pengurus dan pengarah untuk menuturkan dialog dalam dialek Kelantan,” kata Diddy.

Sejak dari itu dia mula merasai keseronokan pengalaman baru dalam hidupnya. Sehingga kini sudah enam telefilem dan drama dibintanginya. Setiap tawaran yang diterima mempunyai pelbagai watak dan dia tidak pernah takut untuk mencuba.

Terbaru, Diddy melakonkan watak seorang ustaz dalam drama online terbitan gua.com.my, ‘Jelma 2’. Walau pertama kali melakonkan watak ustaz dan drama bergenre seram, dia seronok melakonkannya.

“Saya sahut cabaran walaupun tahu diri ini tidaklah sehebat orang pandai agama. Watak ustaz Hafiz memerlukan saya berdepan ancaman syaitan dan perlu menghapuskan makhluk itu.

“Seronok juga berlakon drama ini, sekurang-kurangnya saya peroleh pengalaman pegang watak ustaz. Malah ini drama pendek pertama lakonan saya, walaupun cara lakonan sama, mungkin masa tayangan dan pendekatan berbeza,” jelasnya.

Album baru
Walau sedang laris sebagai pelakon, Diddy akan muncul dengan album baru pada akhir 2009 ini. Masih mengetengahkan konsep pop moden, setakat ini proses mengumpul lagu sedang rancak dijalankan.

“Setakat ini antara komposer dan pencipta lagu yang bekerjasama adalah Nurfatima, Aizat, Audi Mok dan Badhisham. Saya juga sedang berusaha mendapatkan khidmat Sharon Paul dan Omar K,” katanya yang sedang popular dengan lagu “Sudah” dan “Biar Diddy Sambung”.

Album keduanya itu bakal menampilkan lebih banyak lagu berentak balada seperti yang dimahukan peminat. Selain album solo, Diddy juga bakal tampil dengan album duet, namun masih dalam perancangan.

Dipetik dari gua.com.my

Wednesday, June 24, 2009

Lirik

Bismillahirrahmanirrahim


Ada permintaan yang mahu Diddy letakkan lirik lagu Biar Diddy Sambung di blog. Jadi Diddy nak tunaikan permintaan tersebut. Terima kasih pada semua yang menyokong Diddy dengan membuat permintaan lagu di radio2 kegemaran masing2. Diddy tak tahu macam mana nak balas budi baik semua.

Biar Diddy Sambung
Diddy Hirdy feat. Wangi (The Fabulous Cats)

(1st verse)
Ku dengar ada jawatan kosong
untuk sang pencinta
pelukis pewarna jiwa
ku ingin jadi yang pertama
mengisi aplikasimu
tapi bagaimana aku tak tahu
aku sanggup menunggu
dari malam sampai ke subuh
hanya untuk mendengar
kata luka mu
aku hanya kedua
tidak sepertinya
kan menyakiti mu
kan mengguris hati mu

(chorus)
derita yang kau tanggung
bila cinta tak berhubung
tak perlu nak disanjung
kerna jiwa kosong
usah duduk termenung
usah asyik dilambung
ini bukan omong kosong
takkan ku biar lohong
biarkan ia terlopong
biar ku sambung
cinta mu yang dibohong

(2nd verse)
dia mencuri hatimu
dia merampas hidupku
aku tetap setia
dia merobek hatimu
ku jadi pengubat luka mu
sungguh aku jujur

(repeat chorus)

(bridge)
(Wangi) dekat pada ku
kan ku dekat pada mu oh
(Wangi) erat janji mu
ku erat janji ku
(Wangi) pegang kata mu
ku pegang kata mu oh
(Wangi) sampai niat kepada ku agar kita (bersama)

(repeat chorus)

usah duduk termenung
usah asyik di lambung
ini bukan omong kosong
takkan ku biar lohong
biarkan ia terlopong
biar diddy sambung
cinta mu yang dibohong

cinta mu tak ku siakan
tak ku gores hati mu
biar ku menjaga mu
ke akhir hayat ku

jangan duduk termenung
ini bukan omong kosong
takkan dibiar lohong
(Wangi) biar kau sambung
biar ku sambung
biar di sambung



Salam Sayang
Diddy

Tuesday, June 16, 2009

Sambung

Bismillahirrahmanirrahim

Biar Diddy Sambung feat. Wangi

Single terbaru Diddy bertajuk Biar Diddy Sambung sudah dua minggu dimainkan di radio2. Alhamdulillah Diddy dapat banyak maklum balas dari semua yang mendengar mengatakan mereka suka dengan lagu tersebut. Sejak dari awal lagi bila Diddy mendengar demo lagu tersebut Diddy sudah suka. Ketika tu Diddy belum lagi mendapat liriknya. Sebenarnya sudah lama juga perbincangan berlangsung antara Abang Badrul dan Cat Farish. Ini adalah kali pertama Diddy bekerjasama dengan Cat Farish.

Bersama Cat Farish

Ketika sessi rakaman berlangsung baru Diddy tahu bahawa lagu Biar Diddy Sambung akan turut ada featuring daripada Wangi. Mungkin pada pandangan Abang Badrul dan Cat Farish, lagu tersebut akan lebih segar dan catchy. Diddy tidak kisah asalkan ianya sedap didengar. Paling Diddy suka adalah pemilihan tajuk lagu tersebut. Hanya di saat2 akhir Abang Badrul membuat keputusan untuk memilih tajuk tersebut. Mungkin pada sesetengah orang ianya agak janggal, tapi Diddy memang sukakan keunikan tajuk tersebut. Kalau sebelum ni kebanyakan penyanyi yang meletakkan nama mereka di dalam tajuk lagu adalah penyanyi wanita seperti Datuk Siti Nurhaliza (Siti Situ Sana Sini), Dayang Nurfaizah (Dayang Sayang Kamu), Stacy (Aku Stacy), Mila (Mila Bila Cinta) dan lain2, Diddy rasa tajuk lagu Biar Diddy Sambung memberikan kelainan pada penyanyi lelaki.

Bersama Wangi

Lagu Biar Diddy Sambung bercerita tentang Diddy yang jatuh cinta dengan seorang gadis yang juga kawan baik Diddy sendiri. Tetapi gadis tersebut sudah mempunyai kekasih lain tetapi akhirnya cintanya ditinggalkan. Ketika inilah Diddy menawarkan diri kepada gadis tersebut untuk menyambung cintanya yang telah dibohongi. Lirik lagu Biar Diddy Sambung juga ringkas dan Diddy suka dengan penggunaan bahasa yang cukup senang diingati terutamanya ketika chorus.

Bersama Kelly, pemain guitar bass

Diddy juga dapat tahu minggu lalu lagu Biar Diddy Sambung sudah memasuki Carta Era C30. Diddy nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang banyak membuat permintaan lagu Diddy di radio2. Lagu Biar Diddy Sambung juga sudah berada di dalam Prelude Hot Fm dan dimainkan di Suria FM serta Xfm. Jangan lupa untuk terus membuat permintaan lagu Biar Diddy Sambung di radio2 kegemaran anda. Terima kasih sekali lagi. Diddy tak dapat nak membalas jasa baik semua.

Salam Sayang
Diddy

Sunday, June 14, 2009

Jelma

Bismillahirrahmanirrahim


Sudah lama rasanya Diddy tak berkesempatan menulis di blog. Ada masanya Diddy kena dengar leteran dari pihak pengurusan hehehe! Bukanlah Diddy sengaja tidak mahu menulis tetapi keadaan memang kurang mengizinkan terutamanya bila cuti sekolah. Laptop Diddy menjadi rebutan semua anak2 buah Diddy. Selalunya bila Diddy ada peluang untuk online cuma sekejap jadi memang tidak cukup masa untuk menulis sesuatu di blog. InsyaAllah selepas ni mungkin lebih banyak masa Diddy dapat peruntukkan setiap malam jika Diddy tidak sibuk.


Selain daripada persembahan hujung minggu, terbaru Diddy terima tawaran untuk berlakon drama online bertajuk Jelma 2. Drama ni akan ditayangkan di www.gua.com.my. Watak Diddy dalam drama ni tidaklah besar, sekadar watak sampingan sahaja. Tujuan utama Abang Badrul terima tawaran ni bagi pihak Diddy adalah untuk mendapatkan lebih pengalaman untuk Diddy pelajari. Selepas lima telefilem yang Diddy lakonkan sebelum ni, tiga daripadanya iaitu Rebab Tidak Bertali, Kasih Berbunga Lalang dan Serakah Rashid (Anak Dr. Rashid) lebih kepada drama berat, manakala Sukun dan Otai lebih kepada watak separa komedi. Jelma memberikan peluang Diddy berlakon dalam drama bercorak seram. Inilah tujuannya, untuk mempelbagaikan keupayaan Diddy membawa pelbagai karaktor.


Selain daripada itu Diddy juga berpeluang lagi berlakon dengan nama2 besar dalam industri lakonan seperti Ummi Fauziah Nawi, Norman Hakim, Ellie Suriaty dan ramai lagi. Seperti yang dimaklumkan oleh Abang Badrul pada Diddy, pengarah drama ni juga adalah pengarah hebat yang telah memenangi banyak anugerah iaitu Murali Abdullah. Diddy juga seronok kerana ni adalah kali kedua Diddy dapat berlakon dengan Ummi Fauziah Nawi. Kali pertama Diddy berlakon bersama Ummi ialah ketika bersama dalam Teater Lorong Blues, arahan beliau sendiri. Satu pengalaman yang sungguh hebat untuk Diddy. Diddy juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Zeel Production kerana sudi mengambil Diddy berlakon untuk drama online Jelma 2.

Minggu ni minggu yang agak padat untuk Diddy tetapi Diddy akan cuba sedaya upaya untuk menulis sebanyak mungkin. Diddy nak kena bayar balik banyak cerita yang Diddy sudah tertinggal =)

Salam Sayang
Diddy

Saturday, May 30, 2009

Wayang

Bismillahirrahmanirrahim


Sudah lama rasanya Diddy tak menulis di blog. Masa memang tidak begitu mengizinkan ditambah pula dengan masalah sambungan internet yang Diddy hadapi. Sekarang ni Diddy berada di kampung untuk berehat selama beberapa hari selepas habis buat persembahan di Johor Bahru. Selain bercuti, Diddy juga perlu menghadirkan diri untuk majlis perkahwinan saudara sebelah tunang Diddy. Jadi peluang berada di kampung ni Diddy gunakan untuk menulis cerita terbaru.


Minggu lalu selepas habis sessi fotografi untuk kulit album dua single terbaru, Diddy dijemput untuk sama2 menonton wayang bersama peminat dan rakan2 dari pelbagai Kelab Peminat. Siangnya memang meletihkan tetapi jemputan untuk menonton wayang satu perkara yang Diddy tak akan lepaskan. Seingat Diddy, sudah lama Diddy tak menonton wayang. Masa banyak dihabiskan untuk menyiapkan lagu2 untuk album terbaru, berlakon atau persembahan pentas. Kalau ada masa terluang, Diddy rehatkan diri di rumah.


Tak sangka pula ramai yang menonton wayang bersama2. Kalau tak salah Diddy hampir 30 orang semuanya. Mereka berpakat untuk menonton filem Syurga Cinta, bukan saja untuk memberikan sokongan kepada Haliza tetapi juga memberikan sokongan untuk industri filem tempatan. Memang Diddy rasa sangat teruja kerana dapat bertemu dengan ramai teman-teman lama, dan tidak ketinggalan yang baru. Kak Inc pun datang tapi sekadar bertemu kerana dia datang ke MidValley untuk membeli belah bersama keluarga.


Sebelum menonton wayang Diddy sempat pergi makan malam bersama Auntysms, Kak Aidid, Abg Lan, Eleza, Kayun, Wawa dan Abang Badrul. Terima kasih banyak2 Auntysms kerana sudi belanja Diddy makan. Bukan Diddy saja, tetapi kerana belanja kami semua makan malam. Semoga Allah S.W.T sentiasa memurahkan rezeki Auntysms sekeluarga. Sambil makan sempat juga Diddy kacau Arin yang telefon Wawa. Jangan marah ya Arin hehehe!


Cerita Syurga Cinta agak menarik. Diddy suka dengan lakonan semua termasuk Adik Haziq Tom Tom Bak. Memang kelakar watak yang dia bawa. Diddy rasa Haliza pun berlakon dengan baik walaupun ianya lakonan pertama. Mungkin watak Haliza agak berat dan perlu banyak berbicara tentang fakta. Tak rasa rugi menonton filem Syurga Cinta. Walaupun Diddy agak letih tetapi filem Syurga Cinta menghiburkan untuk Diddy.


Habis saja menonton wayang, sebahagian daripada kami singgah di Bangsar untuk minum sebelum pulang ke rumah. Ada yang terpaksa balik kerana keesokannya adalah hari bekerja. Lebih kurang satu jam di Bangsar, Diddy terpaksa minta diri kerana hari dah agak lewat. Malam esoknya Diddy ke Johor Bahru untuk satu persembahan di sana.


Sekali lagi terima kasih pada semua kerana menjemput Diddy sama2 menonton wayang. Diddy juga ingin ambil kesempatan ni untuk menjemput semua ke Gathering Diddy pada 6 Jun nanti di rumah Kak Inc di Sri Hartamas. Kalau ada yang boleh pergi, jangan lupa hubungi Abang Badrul untuk mengetahui maklumat lebih lanjut. Kalau tak silap Diddy majlis Gathering Diddy akan bermula lebih kurang pukul 4 petang. Satu perkara lagi, petang tadi Diddy menonton Muzik2. Lagu "Sudah" dah jatuh ke tangga 16. Jangan lupa mengundi untuk lagu Diddy ya. Taip MM S684 dan hantar ke 33399 atau boleh layari tv3.com.my

Salam Sayang
Diddy

Monday, May 11, 2009

Pencalonan

Bismillahirrahmanirrahim


Sudah lama rasanya Diddy tak menulis di blog. Diddy ada masalah dengan sambungan internet di rumah. Mula2 diberitahu masalah modem yang mungkin rosak, tetapi kemudiannya disebabkan ada gangguan sambungan. Hampir seminggu juga Diddy tak dapat untuk online sehinggalah hari ni. Alhamdulillah dapat juga menulis kembali di blog. Jadi Diddy nak tuliskan perkara yang terbaru dalam karier Diddy.


Minggu lalu lagu Sudah nyanyian duet antara Diddy dan Nur dicalonkan untuk Muzik2 TV3. Pencalonan ni Diddy anggap antara perkara yang amat istimewa dalam hidup Diddy kerana Diddy turut menulis lirik bersama Nur untuk lagu ni. Lagu Sudah sangat bermakna kerana buat pertama kalinya Diddy diberi peluang dan tanggungjawab oleh pihak pengurusan Diddy untuk sama2 terlibat dalam penghasilan lagu. Bukan satu perkara yang mudah kerana Diddy mengambil masa selama lebih tiga minggu untuk menulis lirik lagu ni termasuklah proses pertukaran perkataan. Belum lagi termasuk tempoh menukar sebahagian besar lirik lagu ni kerana pihak pengurusan Diddy dan Audi Mok mahukan ianya dalam bentuk dialog.


Proses rakaman untuk lagu Sudah juga mengambil masa yang sangat lama kerana mereka mahukan penghayatan daripada Diddy dan Nur di samping lirik lagunya yang amat panjang dan perlu diingati. Diddy memang sangat berpuas hati dengan penghasilan lagu Sudah. Bermula dari penulisan lirik, susunan lagu, hinggalah ke proses mastering, Diddy memang sangat gembira dan kagum. Mungkin lagu ni jarang mendapat tempat di radio2 utama tetapi lagu Sudah sering diputarkan di Suria FM dan Xfm. Malah lagu Sudah turut tercalon dalam carta Xfm. Tidak mengapa, mungkin bukan rezeki Diddy di radio2 utama tersebut. Diddy percaya lagu Sudah ada peminatnya yang tersendiri.


Diddy juga ingin mengambil kesempatan nak ucapkan jutaan terima kasih dari hati pada Kak Aidid, Eleza, Shidi, Kak Hezz dan keluarga serta Arin yang sudi datang ketika pencalonan Muzik2 tempohari. Terima kasih kerana sudi memberikan sokongan. Pada yang lain, Diddy faham kerana hari tersebut adalah hari bekerja. Tentu sukar nak datang apabila rakaman dibuat jauh di Shah Alam, terutamanya untuk mereka yang bekerja di Kuala Lumpur. InsyaAllah bila ada rezeki kita akan ketemu nanti.


Kalau ada masa dan kesempatan, jangan lupa untuk mengundi lagu Sudah di Muzik2. Cuma smskan MM (jarak) S684 dan hantarkan ke 33399. Kalau tak salah Diddy, setiap sms dicajkan 50sen. Terima kasih sekali lagi dari hati.

Salam Sayang
Diddy