Latest Single - Lelaki Atas Awan

Monday, August 31, 2009

Hib


DIDDY SAMBUNG CINTA

Oleh Tengku Suzana Raja Hamat
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

Bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Diddy Hirdy tidak pernah mengalah dengan turun naik industri muzik. Buktinya sampai hari ini, Didy masih menyambung nafas bergelar penyanyi dan masih keluar masuk studio merakamkan lagu baru.

Selain perkembangan muziknya yang diintai media, ada seperkara lagi yang menarik tentang Syamsul Hirdy Muhid, 24, untuk dicatatkan buat pengetahuan semua.

Masuk ke dunia seni dengan menjunjung status tunangan orang, sehingga ke hari ini, isu pertunangan Diddy sering menjadi bahan bualan. Adakah masa, jiwa muda, populariti dan perbezaan status telah menghakis tembok cinta mereka?

Lagu Biar Diddy Sambung kini semakin mendapat sambutan. Itu antara penguat semangat Diddy.

Cinta Karier dan Tunang

Siapa kata hubungan pertunangan Diddy bersama tunangannya, Ellen Norazah Abdullah, 24, sudah retak menanti belah sebelum sempat mereka ke jenjang pelamin?

Tuan empunya diri, Diddy sendiri membuka mulut bahawa ikatan pertunangannya masih kukuh bahkan semakin matang, cuma hari bahagia mereka sahaja yang belum diputuskan tarikhnya.

"Masih, kami masih bertunang dan dia (Ellen) ada di Kuala Lumpur. Kami selalu berjumpa dan hubungan kami masih berjalan seperti dulu," ucap Diddy ringkas.

Selain menjawab pelbagai spekulasi dilontarkan pada hubungan pertunangannya, sama seperti lirik lagu terbaru penyanyi itu, Biar Diddy Sambung, ia sekaligus menjelaskan sesungguhnya belum ada jawatan kosong untuk hati Diddy mencari pencinta baru.

Bahkan, masih berpegang kepada prinsipnya, Diddy, 24, seboleh-boleh tidak mahu menayangkan gambar tunangnya di media, di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik.

Kata Diddy, tunangannya bukan selebriti mahupun artis, biarlah dia berada di belakang tabir sahaja. Janji Diddy kepada media, apabila sah bergelar suami isteri nanti, barulah mereka bersedia untuk merakamkan gambar bersama.

Sudah namanya bergelar artis, Diddy tidak lokek ketika soalan berbaur peribadi dibawa mengisi wawancara biarpun hajat pertemuannya bersama media sebenarnya untuk bercerita perkembangan terbaru tentang karier.

"Masa bertunang, ikut perancangan asal kami tidak akan ambil masa yang lama untuk berkahwin, tapi masuk tahun ini, sudah tiga tahun kami bertunang dan sampai sekarang belum diputuskan bila kami akan berkahwin.

"Ellen tidak pernah mendesak tetapi sebagai lelaki saya faham perasaannya, dia seorang wanita dan tidak ramai wanita yang sanggup menunggu lebih lama. Bila dah tetap tarikhnya nanti, saya akan beritahu," janji Diddy lagi kepada semua media.

Diddy cuma mengangguk dan tersenyum saat diusik bermacam persoalan tentang perancangan perkahwinannya. Bukan soal jodoh, cinta atau kahwin yang ralit menjadi bahan bicara Diddy, sebaliknya tumpuan pemuda tinggi lampai itu tempoh terdekat ini adalah kepada karier.

Biarpun sukses kariernya di persada seni tidaklah melantun hingga ke bintang, namun tidak mustahil, ada ketika lonjakannya mungkin mencecah awan.

Itu dimensi letaknya jejak penyanyi yang mahu dikenali sebagai Diddy Hirdy ketika ini. Bertahun-tahun program yang melahirkannya, Akademi Fantasia musim keempat ditinggalkan, Diddy kini selesa dengan imej, penerimaan serta kewujudannya di tengah-tengah atmosfera muzik yang banyak ragamnya ketika ini.

"Selepas keluar daripada AF, saya sedar karier nyanyian saya tidaklah terlalu 'meriah' tetapi ada peningkatan dan tidak statik.

"Saya selalu mahu tingkatkan kemampuan. Selain belajar main gitar dengan abang kandung saya, ada juga saya berjinak-jinak dengan lakonan. Jadi dari situ, penonton TV akan sedar bahawa saya masih wujud.

"Lebih penting adalah penghasilan single. Itu produk penting bagi artis seperti saya untuk terus berada dalam industri," getus Diddy yang semakin melonjak dengan single terbarunya, Biar Diddy Sambung yang sedang hangat diputarkan di corong radio.

Ibarat penyambung kepada kemunculannya dengan lagu Hilang yang popular sebelum ini, Biar Diddy Sambung yang menggunakan khidmat Cat sebagai komposer membuktikan percubaan Diddy untuk lebih peka terhadap kemahuan deria dengar peminat dan trend muzik semasa.

"Hasil idea Cat, katanya lagu itu akan lebih manis kalau ada elemen featuring, maka terbentuk Biar Diddy Sambung featuring Wangi. Alhamdulillah, penerimaan pendengar memberikan semangat kepada saya," jelas Diddy ketika ditemui dalam satu majlis santai pradengar single ketiganya untuk tahun 2009, Lelaki Atas Awan di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Diddy, ada sesuatu yang menarik perhatiannya terhadap lagu Lelaki Atas Awan. Berbeza dengan Hilang, Diddy dan pengurusnya Badrul Hashim menggelarkan konsep balada yang menjadi pilihannya kali ini sebagai balada gembira.

"Kita mahu cuba kelainan berbanding Hilang. Walaupun balada, Lelaki Atas Awan masih sebuah balada yang gembira, bukan balada kecewa, sedih atau pilu," kata Badrul atau lebih mesra dengan panggilan Bard di kalangan media.

Bagi Diddy pula, lagu yang lirik ditulis oleh Abie Abdullah itu seolah-olah membayangkan siapa diri Diddy ketika ini.

"Ia berkisarkan perasaan dan situasi seorang lelaki yang merasakan dirinya sudah dilengkapi dengan semua perkara, cinta dan karier. Dia puas dan sedang bahagia dengan hidupnya," tambah Diddy berterus-terang.

Sejak dari awal kemunculan sehingga ke hari ini, Diddy kekal dengan imej bersih dan mengelak daripada kontroversi.

Bakal diluncurkan ke stesen-stesen radio selepas Aidilfitri nanti, penghasilan single-single termasuklah Biar Diddy Sambung, Lelaki Atas Awan serta single terdahulu Sudah, merupakan strategi Diddy untuk tampil dengan sebuah lagi album studio keduanya, selewat-lewat hujung tahun nanti.

Memandangkan album agak sukar menjana wang, dari satu segi, kesungguhan serta kesanggupan Diddy dan Bard berdepan risiko kerana sanggup berbelanja lebih untuk penghasilan sebuah album penuh, bukan mini album atau sekadar single wajar dipuji.

"Terus-terang saya katakan, album pertama Diddy bukannya boleh buat duit sangat sebab peminat sekarang lebih gemar lagu yang dimuat turun menerusi Internet.

"Tapi kami masih percaya bahawa album adalah satu rakaman yang boleh disimpan lama dan setiap artis ada cara tersendiri untuk menghargai penerimaan peminat. Bagi saya dan Diddy kami memilih untuk membalas penghargaan peminat dengan album sebagai hadiah, tapi hadiah yang kena keluarkan belanja sendiri," jelas Bard.

Menariknya, demi peminat yang masih menyokong perjalanan karier Diddy, Bard merancang untuk tidak mengambil kira lagu sebaliknya hanya kos percetakan dan pembikinan dalam menetapkan harga jualan kaset atau CD album terbaru Diddy nanti.

Seperkara lagi yang ditekankan Diddy dan Bard, penghasilan album kedua kali ini juga dilakukan secara lebih teliti dan berhati-hati. Tujuannya adalah membaiki segala kelemahan yang dikenalpasti sewaktu album pertama dihasilkan.

"Single pertama, Sudah yang dihasilkan secara kolaborasi oleh Audi Mok, Nurfatimah dan Diddy sendiri ambil dua bulan untuk selesai rakaman.

"Dulu Diddy baru nak naik, jadi artis baru kena cepat-cepat ada produk atau album untuk dipromosikan. Lagu Lelaki Atas juga ambil masa selama dua bulan untuk disiapkan," jelas Bard lagi.

3 comments:

yani said...

smg diddy terus success...

I am Karl said...

diddy

all d best in everything!

yg penting karier diddy xla malap je

kdg2 ada drama,
kdg2 ada single

all d best once again!

Arra JaSmY said...

Salam..hye bro..
Semoga hubungan kalian berkekalan..
truskan dgn ur prinsip ya..
moga success selalu..:)