Latest Single - Lelaki Atas Awan



Tuesday, August 25, 2009

Selebriti



Lelaki Atas Awan
Single ketiga Diddy bakal temui peminat selepas Aidilfitri

Oleh Shakilawati Abd Rahman
shakilawati@hmetro.com.my

BAK ada di awangan apabila perjalanan hidupnya dirasakan sangat indah. Dalam usia muda, karier jejaka kelahiran selatan tanah air kian berkembang, lebih bermakna apabila hatinya terisi dengan kehadiran wanita yang bakal melengkapi hidupnya sebagai lelaki.

Lalu ceritera bahagia itu diabadikan dalam single ketiganya, Lelaki Atas Awan sentuhan kreatif Badrul Hisham dan nukilan lirik Abie Abdullah yang bakal menemui peminat selepas Aidilfitri nanti.

Bagi Diddy Hirdy, karya itu sangat istimewa kerana dapat berkongsi sisi peribadinya dengan mereka yang tidak jemu-jemu menyokong kembara seninya.

"Alhamdulillah selepas muncul dengan single pertama, Sudah, awal tahun ini disusuli single kedua, Biar Diddy Sambung, Julai lalu, saya akan memperdengarkan Lelaki Atas Awan tidak lama lagi.

"Dari awal pihak pengurusan berasakan lagu ini ada daya tarikan tinggi dan saya yakin ia dapat diterima ramai. Semua single akan dimuatkan dalam album kedua saya yang dijangka ada di pasaran penghujung tahun ini.

"Bingkisan kedua ini berbeza daripada album terdahulu. Paling ketara, lagu balada berlatar belakangkan cerita gembira bukan sedih seperti yang biasa kita dengar, malah melodinya lebih 'catchy'.

"Jika dulu saya banyak bereskperimentasi dengan muzik, kali ini saya sampaikan apa yang peminat mahu dengar. Selain Audi Mok dan Nurfatima, album ini banyak menggunakan khidmat komposer muda termasuklah Aizat. Saya turut menyiapkan sebuah lagu, namun belum ada judul," katanya yang akan menggunakan nama sendiri sebagai judul album.

Demi memastikan album ini menepati kualiti dan citarasa ramai, proses pembikinannya mengambil masa yang lama. Ini jelas berbeza dengan penghasilan album terdahulu di mana prosesnya pantas.

"Album kedua lebih persediaan. Kalau dulu saya hanya menerima lagu tiga atau empat hari sebelum rakaman, kali ini saya ambil masa dua bulan sebelum merakamkan sesebuah lagu. Selain tidak puas hati saya tidak akan masuk studio.

"Album ini hadiah saya buat peminat dan ia akan dijual dengan harga modal dan ia mampu dibeli sesiapa saja. Ini cara saya menghargai peminat," katanya yang mendapat sokongan padu daripada kelab penyokong, United Community Malaysia.

Tiga tahun bertapak dalam industri, Diddy bebas kontroversi, bahkan jejaka berusia 24 tahun ini sentiasa menjaga imej serta penampilannya. Katanya, seboleh mungkin dia cuba mengelak dikaitkan dengan cerita negatif kerana enggan menjadi bahan gosip murahan.

"Pihak pengurusan sentiasa mengingatkan saya supaya menjauhi kontroversi dan menjaga penampilan.

"Awal kemunculan, sya tidak peduli sangat soal imej tetapi setelah ditegur pengurus (Badrul Hashim), saya mula ambil berat perkara ini," katanya yang tidak akan memakai topi dan kaca mata hitam depan khalayak.

Mengupas sisi peribadi, pertunangan dengan buah hatinya mencecah usia tiga tahun. Tidak dinafikan bergelar insan seni dia tidak mampu lari daripada buruan peminat wanita, namun ikatan cinta suci bersama kekasih hati tidak pernah goyang.

"Bagi memastikan hubungan bertahan, kena faham karektor dan mengenal diri masing-masing. Cubalah memahami corak kerja pasangan, insya-Allah tak ada masalah.

"Tiada masalah untuk kami bertemu kerana tunang saya juga bekerja di Kuala Lumpur. Jika tidak terikat dengan apa-apa program, kami keluar bersiar-siar dan sesekali menonton wayang seperti pasangan kekasih lain.

"Dari awal saya tidak pernah merahsiakan ikatan ini, tetapi saya tidak mendedahkan tunang saya kepada media. Namun jika terserempak dengan peminat, saya akan memperkenalkan dia sebagai tunang saya.

"Mulanya risau juga peminat lari jika saya berterus-terang, tapi Alhamdulillah mereka juga terbuka dan sangat memahami. Mungkin kerana saya jujur dari awal, hubungan kami tiada masalah.

"Saya tahu tiga tahun adalah tempoh lama untuk ikatan pertunangan, tapi syukur dia faham keadaan saya dan tidak pernah mendesak perkahwinan kami dipercepatkan. Pun begitu, sebagai lelaki, saya tahu isi hati wanita dan tidak mahu dia ternanti-nanti. Insya-Allah kami akan melangsungkan hari bahagia tidak lama lagi," kata artis lelaki tempatan pertama menerima tajaan produk Clinique sejak hampir dua tahun lalu ini.

1 comment:

Anonymous said...

wah abis event kat holiday inn terus update blog....caiyok