Latest Single - Lelaki Atas Awan

Wednesday, September 9, 2009

InTrend

Gaya Hidup
Selera Bintang


Sajian Istimewa Timur Tengah

Teks oleh Huda Hussain

Istimewa bulan ini kami bawa kamu terokai masakan ala Arab. Aroma, rasa dan persembahan sajianya pasti bikin kamu teruja ingin mencubanya.

Bersempena Hari Raya bulan ini, InTrend mengundang Diddy Hirdy dan Nurfatima sebagai tetamu Selera Bintang. Tampak manis dan segak apabila kedua-duanya mengenakan baju Melayu dan berbaju kurung rona sedondong. Turut menemani mereka, Badrul Hashim selaku pengurus Nurfatima dan Diddy. Selepas mengucapkan salam perkenalan, kami menuju ke Carousel Cafe Restaurant. Apabila dikhabarkan menu yang akan disajikan ialah hidangan masakan Arab, masing-masing teruja lantaran jarang sekali berpeluang merasai masakan dari negara Timur Tengah ini. Apatah lagi hidangan masakan Arab hanya disajikan sekali setahun di Hotel Palace of Golden Horses!

Dekorasi di sudut buffet berkongsepkan dapur terbuka kelihatan unik dan cantik. Terbukti sentuhan artistiknya mampu 'membawa' perasaan pengunjung seolah-olah berada di restoran negara padang pasir ini, seperti benar!

Sementara menanti Joe merakamkan sudut-sudut menarik sekitar restoran, saya gunakan masa yang ada menemu bual Nurfatima terlebih dahulu. Walaupun agak lama menyepikan diri kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang audio engineering, anak muda berbakat ini tidak sepi daripada dunia seni. Perkembangan terkini Nur, dia kini bekerja di belakang tabir di samping mengasah bakat sebagai penulis lirik dan pencipta lagu. Bakatnya dalam bidang nyanyian mula dicungkil melalui pertandingan Golden Teen Search pada 1999. Lantaran itu Nur terus optimis meneruskan perjuangan dalam arena seni. "Bagi Nur, seseorang yang berada dalam industri seni, perlu sedikit sebanyak belajar selok belok muzik," katanya yang meminati bidang muzik sejak kecil lagi. Mula berjinak-jinak dalam penulisan lirik pada 2003 menerusi lagu Gadis, Nur kini giat meluaskan horizon muziknya baik daripada segi penulisan lirik, penciptaan lagu dan aspek teknikal seperti bidang audio. Pernah dinobatkan sebagai Young Composer dalam anugerah MACP, komposer muda berbakat ini tidak jemu berusaha. Nur berhasrat ingin terus memahat nama dan mengembangkan lagi bakatnya di persada seni.

Berkongsi semangat serupa, Diddy juga giat mendalami bidang penulisan lirik. Diddy kini sibuk mengumpul bahan bagi album keduanya yang berkonsepkan moden pop. Selain nyanyian, Diddy juga terlibat dalam seni lakonan. Setakat ini, dia sudah pun membintangi enam telemovie. "Bukan tamak ataupun gila glamor, sebab bagi Diddy selagi bergelar anak seni, tak salah kalau Diddy mencuba sesuatu yang baru untuk menambah pengalaman," ujar Celebrity Friend of Clinique ini.

Mengimbau nostalgia Syawal, kedua-duanya mempunyai kisah tersendiri. "Diddy sukakan suasana pada Hari Raya itu sendiri. Semua sanak saudara yang dah lama tak ditemui, dapat berkumpul serentak. Itulah istimewanya Hari Raya." Nur juga tidak ketinggalan menceritakan pengalaman menyambut Hari Raya sewaktu kecil. "Kenangan paling manis semestinya masa kecil-kecil dahulu. Rasa seronok apabila dapat pergi beraya dan kumpul duit raya," kata Nur yang bakal pulang menyambut lebaran di Taiping, Perak.

Berkongsi cerita mengenai menu wajib di pagi raya, "Diddy memang tak pernah ketinggalan menu sambal sotong yang dimakan dengan nasi impit. Memang sedap!" Berbeza pula dengan Nur, "ketupat pulut dan rendang adalah menu wajib mesti ada setiap kali sambut raya. Apabila dah meningkat remaja, Nur belajar dengan mak cara-cara nak balut ketupat."

Itulah keunikan dan keistimewaannya Syawal bulan nan mulia. Masing-masing punya cerita tersendiri dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Selesai sesi temu bual, tibalah masa untuk mengisi perut yang sudah mula memainkan melodi tanda kelaparan. "Nur ni sanggup tak makan sejak tengah hari tadi semata-mata nak rasa masakan Arab ni!" usik Bad sambil ketawa. Selepas mendapat lampu hijau daripada pembantu restoran, Nur dan Diddy mengambil tempat masing-masing.

"Banyaknya makanan! Aduh, mana satu agaknya yang patut Diddy makan dulu?" Amboi, terlupa sejenak orang sekeliling, leka sungguh mereka berdua menikmati sajian padang pasir eksklusif ini. Antaa menu paling memikat selera yang harus kamu semua cuba adalah Mahrobah Rice, Bamia Lahama (hirisan daging dengan kentang, mmm... enaknya!), Kofia Bil Tahina (kebab daging disalut keju, yang ini sedap juga) dan ohh, banyak lagi!

Uniknya di sudut hidangan masakan Arab ini, sajian ditampilkan dengan konsep buffet dan saya dimaklumkan ia hanya dimasak sekali dalam setahun. Jika kamu meminati masakan Timur Tengah, jangan ketinggalan berkunjung ke Carousel Cafe Restaurant. Sudi-sudikan!

2 comments:

ANGAH said...

salam diddy...
salam ramadhan & selamat berpuasa.
jgn lupa majalah bumper Hai turut ada citer diddy =)

all the best bro!!

wallawey

ANGAH said...

salam takziah buat diddy & keluarga atas kehilangan ayahanda terchenta. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan yang beriman. Al-fatihah..