
Bismillahirrahmanirrahim
Hari Sabtu lepas Diddy sepatutnya membuat persembahan di Kota Bahru, Kelantan, sempena Konsert DiGi Gegeriuh. Di saat2 akhir Diddy diberitahu oleh pihak penganjur bahawa pihak Majlis Perbandaran Kota Bahru (MPKB) tidak memberi kebenaran untuk Diddy membuat persembahan. Diddy tidak mendapat butiran yang jelas sebab2 kenapa Diddy tidak dibenarkan membuat persembahan. Diddy menerima beberapa versi berbeza tetapi membawa maksud yang sama daripada pihak pengurusan persembahan yang bertemu dengan pihak MPKB. Antara alasan2 yang diberikan oleh pihak MPKB adalah Diddy berpakaian seksi, memakai jeans yang ketat, imej metrosexual, berpakaian membuka dada sehingga boleh mempengaruhi rakyat negeri Kelantan.
Menurut mereka lagi, maklumat2 tentang imej Diddy ini mereka perolehi daripada laman web Diddy. Pihak yang ditugaskan untuk memberikan permit ini juga amat "bijaksana" kerana alasan2 yang diberikan kepada pihak pengurusan persembahan hanyalah secara lisan dan bukan bertulis. Pada pandangan peribadi Diddy, ini akan memudahkan beliau menafikan segala alasan tersebut jika perkara ini ditimbulkan kemudian nanti. Mereka juga tidak mahu menanggung dosa akibat memberi kebenaran untuk Diddy membuat persembahan apabila ditanya Tuhan satu hari nanti.
Diddy menerima keputusan ini seadanya dan menganggap ianya bukan rezeki Diddy. Tetapi pada masa yang sama pihak yang memberi kelulusan daripada MPKB tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau secara adil dan saksama. Ini adalah kerana ada artis2 lelaki memakai subang telinga dan berambut panjang diberi kebenaran bersyarat untuk membuat persembahan pada malam tersebut . Diddy memohon maaf kerana Diddy bukan mempertikaikan imej penyanyi2 tersebut malah mengagumi bakat dan persembahan mereka, tetapi Diddy mempertikaikan keputusan yang berat sebelah dari pihak MPKB. Mungkin mereka bimbang jika tidak memberikan kebenaran kepada artis2 senior ini, keadaan akan lebih kecoh dan lebih mudah untuk mereka mempergunakan kuasa mereka ke atas penyanyi baru seperti Diddy.
Hanya tiga empat bulan lepas Diddy membuat persembahan di Kota Bahru sempena Road Tour Anugerah Bintang Popular (ABP). Tidak pula Diddy ketahui jika kadar maksiat meningkat di Kota Bahru akibat persembahan Diddy ketika itu. Wallahualam. Apabila pihak pengurusan persembahan memberikan fakta tersebut kepada pihak MPKB, jawapan mereka adalah road tour ABP tersebut berlangsung ditempat tertutup. Pada Diddy itu bukanlah persoalannya kerana di tempat tertutup atau terbuka, kedua2 persembahan adalah dibuka kepada orang ramai serta sesiapa sahaja boleh datang menonton, dan ianya bukan persembahan tertutup untuk majlis2 tertentu saja. Tetapi pihak MPKB mungkin tetap merasakan persembahan Diddy akan mempengaruhi kadar jenayah di Kelantan.
Kepada pihak MPKB yang bertanggungjawab meluluskan permit dan mencatitkan "Kesemua persembahan dibenarkan kecuali persembahan Syamsul Hirdi (Diddy)" di dalam permit tersebut, Diddy ingin ucapkan terima kasih. Walaupun difikiran anda mungkin fikir anda telah berjaya menutup pintu rezeki Diddy, percayalah, rezeki itu hak Allah s.w.t.
Coretan Diddy ini mendapat kebenaran dari pihak pengurusan Diddy.
Salam Sayang
Diddy