Latest Single - Lelaki Atas Awan



Monday, June 23, 2008

Muzik



Bismillahirrahmanirrahim

Apabila Abang Badrul beritahu Diddy lagu Saat tercalon untuk Muzik Muzik, Diddy rasa terkejut. Sebelum tu dah beberapa kali Diddy cadangkan pada Abang Badrul untuk calonkan lagu Saat tetapi dia macam tak begitu yakin. Abang Badrul kata lagu Saat hanya ada piano dan vokal Diddy saja. Tiada arrangement dan sebagainya. Tetapi untuk Diddy, melodi lagu Saat sangat kena dengan keseluruhan liriknya. Diddy rasa lagu tersebut adalah antara yang terbaik dalam album Diddy. Terima kasih pihak Muzik Muzik yang menerima pencalonan lagu Saat.





Terima kasih juga kepada semua yang hadir memberikan sokongan pada Diddy. Bayangkan kalau sebelum ni Diddy selalu nampak peminat2 datang memberikan sokongan kepada artis masing2 yang bertanding, dan kali ini Diddy ada sekumpulan yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada Diddy. Beberapa kali Diddy tanya Abang Badrul jika ada sesiapa yang datang tapi dia tak mahu jawab. Konon nak buat surpiselah =) Terima kasih sekali lagi. Habis bersiaran Muzik Muzik secara langsung kami semua ke tempat biasa untuk makan sup tulang. Dengar cerita dari perbincangan mereka, Diddy FC akan buat pertandingan bowling tak lama lagi. Nanti bila Diddy dah dapat maklumat sepenuhnya, Diddy akan letakkan di sini.





Hari Sabtu pula Diddy dan Abang Badrul ke Melaka untuk mini konsert Sorakan Emosi Euro 2008 TV3. Kami konvoi bersama2 team TV3 dari Sri Pentas. Sempat juga singgah di rumah Farah Asyikin untuk serahkan cd Diddy. Farah ke Brunei hari Sabtu dan nak tolong sampaikan cd Diddy pada DJ radio di Brunei. Tak tahu pula bila rezeki Diddy nak ke Brunei. Kami bertolak dari Sri Pentas lebih kurang pukul 12.30tengahari. Sampai di Melaka, kami ikut team TV3 makan tengahari. Singgah seketika di tempat penginapan dan terus ke tapak mini konsert di Stadium Hang Tuah, Melaka.




Sampai di stadium, Abang Sham dah ada. Dia keseorangan sebab Kak Maya ada kursus. Sempat juga Diddy cakap telefon dengan Kak Maya. Petang tu cuaca agak panas tetapi ramai orang yang datang. Diddy menyanyi tiga buah lagu tetapi untuk lagu kedua tu ada masalah cd sikit. Nasib baik tak berpanjangan. Lepas habis buat persembahan Diddy baru nampak kak Syikin yang datang dengan ibu saudaranya dari Nilai. Abang Bob dan isterinya Kak Sue pun ada datang dari Seremban. Selepas habis bergambar dengan semua, interview untuk Muzik Muzik dan Gua.com, Diddy, Abang Badrul, Abang Sham, Siti Sarah dan pengurusnya Elle naik satu kereta untuk pergi makan di kedai berhampiran.





Selesai makan, kami hantar Siti Sarah dan pengurusnya ke Dataran Pahlawan. Kemudian Abang Sham tunjukkan jalan keluar dari bandaraya Melaka dan kami terus bertolak balik ke Kuala Lumpur. Terima kasih pada Abang Sham, Kak Syikin, Abang Bob dan isteri yang datang berikan sokongan pada Diddy. Hari Sabtu ni pula Diddy akan ke Johor Bahru untuk persembahan Suria FM. Kami akan berada di Plaza Angsana. Pada hari Ahad pula di Mahkota Parade Melaka. Diddy rasa kali ni pun kami akan memandu sendiri sebab pada hari Ahad selepas habis di Mahkota Parade, kami akan terus balik ke Kuala Lumpur kerana Diddy ada satu lagi persembahan di Sri Pentas TV3 pukul 9 malam.





Diddy nak ambil kesempatan ni juga nak ucapkan terima kasih kepada team Muzik Muzik dan semua yang terlibat kerana memberi peluang kepada Diddy. Kepada Kak Kelly, Kak Ayong, Syed dan semua, terima kasih tak terhingga kerana membuka ruang untuk Diddy.

"There is only so much you can do, but if somebody doesn't give you a chance there is nothing you can do" - Charlize Theron, Golden Globe Awards

Salam Sayang
Diddy

Monday, June 16, 2008

Hollywood

Bismillahirrahmanirrahim



Abang Badrul rakamkan lagu Lena ni ketika Diddy buat persembahan sempena pelancaran Biro Muda Karyawan di Planet Hollywood malam tadi. Masa Diddy tengok di kamera Abang Badrul memang tak ada bunyi tapi bila Abang Badrul hantarkan pada Diddy siang tadi, bunyinya tak berapa jelas. Rasanya bila Abang Badrul masukkan ke YouTube dia dah tambahkan track asal lagu ni pada klip video. Tak apalah kan, ini untuk suka2 saja.

Hari Khamis ni lagu Saat akan dicalonkan untuk Muzik Muzik. Diddy tetap rasa sangat teruja walaupun ini adalah kali ketiga lagu Diddy dicalonkan untuk Muzik Muzik selepas lagu Saling Terpesona dan lagu Hilang. Sebenarnya bukan pertandingan yang penting untuk Diddy tapi peluang untuk berkonsi lagu dengan peminat hasil karya komposer itulah yang sangat penting. Peluang untuk menyanyikan lagu sendiri di kaca TV bukanlah satu peluang yang mudah untuk diperolehi oleh artis baru seperti Diddy. Selain radio, TV adalah medium yang sangat besar untuk Diddy memperkenalkan diri di pentas seni. InshaAllah /diddy akan gunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

Hujung minggu ni pula Diddy akan berada di Melaka untuk satu persembahan TV3. Jangan lupa dapatkan diari Diddy untuk mengetahui di mana Diddy akan membuat persembahan.

Salam Sayang
Diddy

Sunday, June 15, 2008

Ribut

Bismillahirrahmanirrahim



Diddy belum rasa mengantuk. Walaupun petang Sabtu Diddy ada rehearsal untuk satu program RTM di Malaysia France Institute dekat Bangi. Dua jam lamanya menunggu band yang datang lewat. Sepanjang minggu ni banyak aturcara yang berubah. Diddy sepatutnya ada temubual di Carta 30 Hot FM untuk hari Ahad tapi ditunda pada minggu depan. Rancangan RTM yang sepatutnya disiarkan secara langsung pada hari Ahad ni pula hanya akan dirakam dan disiarkan pada bulan Julai nanti. Sepatutnya Diddy buat untuk siaran langsung tetapi kerana masalah band yang tak dapat siapkan lagu Diddy dalam masa yang diberikan, terpaksalah Diddy buat yang rakaman sahaja.

Rakaman akan masih lagi dijalankan ditempat yang sama iaitu di Malaysia France Institute. Tempatnya pun bertukar disaat akhir. Tempat asal sepatutnya di Putrajaya. Jadi kepada semua yang terima Diari Diddy, maaf banyak2 atas maklumat yang bertukar. Diddy pula tak dapat nak hantar yang terkini. Malam Ahad nanti Diddy akan ada di Planet Hollywood untuk pelancaran Karyawan Muda. Tak tahu pula sama ada Diddy akan buat persembahan tetapi kalau ikutkan pengurus Diddy yang sedang dilanda "ribut" sekarang ni, mungkin Diddy akan nyanyi satu lagu. Kepada yang sedang ribut, banyak2 kan bersabar. Kalau ada rezeki, ada. Selamat malam!

Salam Sayang
Diddy

Thursday, June 12, 2008

Luahan

Bismillahirrahmanirrahim



Sepanjang minggu Diddy agak sibuk dengan macam2 perkara. Yang terkini, Diddy masuk studio untuk satu projek baru. Biarpun agak letih tapi Diddy rasa seronok kerana cabaran dan kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan Diddy. Malam tadi pun Diddy tak tidur sepanjang malam kerana ingin menyiapkan projek tersebut. Diddy nak hasilkan yang terbaik yang Diddy mampu lakukan.

Hujung minggu lalu, komuniti kecil Diddy buat jamuan potluck di rumah Kak Inc. Dalam perjalanan seni Diddy, buat pertama kali Diddy ada sekumpulan kecil peminat yang Diddy dah anggap macam keluarga sendiri. Walaupun tak semua yang dapat menghadirkan diri kerana kesibukan penghujung cuti sekolah, kemeriahannya tetap Diddy rasa. Sudah kali ketiga kami berkumpul di rumah Kak Inc. Layanan mesra Kak Inc sekeluarga memang tidak pernah kurang. Kadangkala Diddy pun rasa segan.

Kak Hezz pula jarang sekali tertinggal setiap show Diddy di Lembah Kelang. Setiap kali terluang, Kak Hezz pasti datang memberikan sokongan kepada Diddy. Bertuah artis yang mempunyai peminat seperti Kak Hezz dan Diddy adalah salah seorang daripadanya. Begitu juga dengan Kak Maya dan Abang Sham. Walaupun jauh di Melaka tetapi mereka tak pernah jemu memberikan sokongan pada Diddy. Memang Diddy rasa sangat terharu. Sukar nak digambarkan dengan kata2.

Kak Addya, Arin dan Wawa pun tak pernah jemu memberikan sokongan. Setiap kali berkumpul di rumah Kak Inc, Kak Addya akan datang dengan makanan yang sedap2. Arin pula akan menjadi pemandu kepada yang lain dan Wawa akan menjadi co-pilot =) Memang betul kata Abang Badrul, peminatlah yang memberikan tenaga kepada artis. Walau seletih mana pun Diddy rasa, tetapi bila bersama mereka Diddy akan rasa seronok dan gembira. Merekalah yang memberikan semangat untuk Diddy terus berusaha.

Ramai lagi yang Diddy dah pernah jumpa. Kak Intan, Kak Sant, Kak Sue, Kak Julia, Aqua, Linda, Syari, Apeng, Fazu, Kak Tre, Chiku, Wawa Kecik, Tirasha. Sedikit sebanyak ada kenangan Diddy bersama mereka. Sebelum Diddy terlupa, Diddy nak ucapkan tahniah kepada Team Diddy FC yang dapat naib juara pertandingan bowling Zila FC hari Ahad lepas. Terima kasih banyak2 kepada Kak Tre dan Arin yang bersusah payah mendapatkan pemain untuk team Diddy. Minta maaf banyak2 kerana Diddy tak dapat bersama pada hari tersebut kerana ada show.

Walaupun Diddy tak pernah jumpa dengan Kak Dang Anum tapi Diddy dapat tahu kak Dang yang tolong design kan banner untuk Diddy. Terima kasih tak terhingga. Diddy juga rasanya belum berkesempatan untuk bertemu dengan Kiera. Diddy sepatutnya jumpa ketika majlis di rumah Kak Sant tetapi atas sebab2 yang tak dapat dielakkan, Diddy tak dapat menghadirkan diri. Insha-Allah satu hari nanti kita akan jumpa =)

Maaf kalau ada yang Diddy lupa sebut. Terima kasih untuk semua di Casa. Terima kasih kerana hadir dalam hidup Diddy.

Salam Sayang
Diddy

Monday, June 2, 2008

Selamber

Bismillahirrahmanirrahim



"Konsert Slamber Jer" adalah nama konsert Sabah Tour 2008 yang Diddy ikuti. Ianya antara pengalaman manis Diddy menjadi seorang artis. Artis2 lain yang turut serta adalah Adam, Aliff Aziz, Imran Ajmain, Farawahida dan Erna. Diddy bersyukur kerana diberi peluang untuk ikut sama membuat pesembahan dan mempromosikan album Diddy di Sabah. Sememangnya Diddy teringin untuk ke Sabah. Sudah lama Diddy nantikan peluang sebegini. Kalau nak dikira, Konsert DiGi Gegeriuh sebelum itu di Kota Kinabalu adalah kali pertama Diddy jejakkan kaki ke Negeri Di Bawah Bayu.





Perjalanan kami bermula di Tawau. Rasa amat terharu dengan sambutan yang diberikan. Kami tiba di lapangan terbang Tawau diiringi dengan paluan kompang. Kami juga diiring oleh sekumpulan motosikal, dari lapangan terbang sehingga ke tempat makan dan sehingalah mendaftar ke hotel. Berehat seketika di hotel, kami terus ada acara Meet & Greet bersama peminat di sebuah pusat membeli belah. Seronoknya dengan sambutan yang diberikan. Memang lain rasanya dapat bertemu dengan peminat2 di Sabah. Memang betul sambutannya sungguh hebat! Beberapa kali Diddy rasa seperti dalam mimpi saja.





Sambutan ketika konsert juga sangat hebat dengan jeritan dan pekikan peminat yang hadir. Bayangkan sampai Diddy tak dapat dengar muzik akibat sorakan yang sungguh kuat sepanjang membuat persembahan. Memang peminat2 yang best! Habis saja konsert kami bertolak menaiki bas ke Sandakan. Banyak juga peristiwa lucu yang berlaku. Salah satunya ialah pengurus Adam tertinggal bas ketika dia ke bank. Memang satu bas ketawa bila Adam dapat panggilan telefon dan memberitahu satu bas "Kita kena berhenti, pengurus Adam tertinggal!"





Perjalanan menaiki bas memang meletihkan. Tambahan pula keadaan sekeliling gelap gelita. Ada satu ketika bas ditahan oleh polis untuk membuat pemeriksaan. Kelakarnya pihak polis tersebut bukan nak tengok kad pengenalan tetapi kami disuruh menunjukkan tag artis yang dipakai untuk konsert. Kami tiba di Sandakan lebih kurang pukul 1 pagi.





Pagi2 lagi kami dah bangun untuk membuat promosi. Kali ini disebuah kedai yang menjadi penaja konsert. Adam demam dan terpaksa berehat di bilik. Imran, Erna dan Farawahida ke Radio Sandakan untuk promosi di sana. Hanya Diddy dan Aliff saja ke tempat penaja. Tepat jam 2 petang kami ke Dewan Masyarakat untuk memulakan konsert. Sambutan di sana juga hebat. Cuma sistem bunyi yang kurang memuaskan sedikit mengganggu persembahan kami, tapi pada Diddy itu hanyalah masalah kecil saja. Nasib baik kami hanya bertolak ke Kudat pada keesokan harinya. Badan dah mula sakit2 dan letih kerana naik bas dalam tempoh yang lama.





Perjalanan ke Kudat melalui banyak tempat2 yang menarik. Cuma keadaan jalan yang kecil dan bas yang agak penuh menyebabkan rasa kurang selesa. Alhamdulillah ketika berhenti untuk makan tengahari, Abang Badrul belikan bantal untuk digunakan di dalam bas. Dapat juga jadi alas belakang yang dah mula rasa sakit. Kami berhenti di beberapa tempat untuk bergambar, termasuklah di kaki Gunung Kinabalu. Mungkin satu hari nanti Diddy akan berpeluang untuk mendaki Gunung Kinabalu pula.





Kami tiba di rumah rehat Kudat lebih kurang pukul 9 malam. Mujur juga konsert di Kudat hanya berlangsung pada sebelah malam jadi kami ada banyak masa juga untuk berehat. Selepas sarapan pagi kami semua ke Tip of Borneo untuk sessi bergambar. Sempat juga Abang Badrul buat rakaman video klip untuk lagu Saat. Walaupun tak seberapa, tapi Diddy gembira dapat juga letakkan video klip tersebut di Youtube. Pada sebelah petang kami semua ke pekan sehari yang diadakan berhampiran dengan dewan masyarakat tempat berlangsungnya konsert. Seronok dapat membeli macam2 makanan dan makan beramai2. Sambutan di Kudat juga hebat! Diddy tak dapat nak kira berapa banyak handphone, wallet, beg duit, baju dan lain2 yang Diddy tandatangani. Kadang2 rasa macam kelakar pulak bila ada yang minta Diddy tandatangan pada baju dan handphone. Sebelum berangkat ke Kota Kinabalu, kami singgah di sebuah sekolah. Sempat jugalah Diddy dan artis2 lain memberikan sedikit nasihat kepada pelajar2 di sana. Yang ni pun Diddy rasa kelakar!





Perjalanan dari Kudat ke Kota Kinabalu juga mengambil masa yang lama kerana pemandu bas tersesat jalan. Nasib baik Abang Aswad, pengurus Imran Ajmain membawa banyak DVD untuk kami tonton sepanjang berada di dalam bas. Tiba di Kota Kinabalu, kami terus di bawa ke Radio Sabah. Selepas itu barulah ke shopping mall tempat berlangsungnya mini konsert. Habis saja mini konsert kami terus ke lapangan terbang untuk penerbangan kembali ke Kuala Lumpur.






Pengalaman selama enam hari di Sabah sungguh menyeronokkan untuk Diddy. Walaupun agak letih tapi Diddy rasa semuanya memang berbaloi dengan apa yang Diddy dapat. Diddy juga dapat kenal lebih rapat dengan Adam, Aliff Aziz, Imran Ajmain, Farawahida dan Erna. Itu adalah pengalaman yang tidak dapat dijual beli.

Salam Sayang
Diddy