Latest Single - Lelaki Atas Awan



Sunday, December 13, 2009

Hidup

Bismillahirrahmanirrahim


Diddy bersyukur kerana sepanjang minggu lalu jadual Diddy agak penuh. Mungkin ramai yang tidak mahu bercakap mengenainya tetapi dalam keadaan sekarang, tawaran untuk membuat persembahan agak berkurangan. Mungkin untuk artis2 yang sudah punya nama, mereka tidak begitu merasainya tetapi untuk artis seperti Diddy, keadaan sebegini sedikit sebanyak dirasai. Bukan satu perkara yang mudah untuk terus bernafas dalam suasana yang agak suram. Persaingan juga agak sengit untuk merebut sedikit peluang yang ada.


Diddy percaya kepada rezeki yang diberikan Allah S.W.T. Diddy yakin dengan kerja keras kita mampu mengubah nasib kita. Mungkin keadaan ekonomi sekarang tidak begitu mengizinkan tetapi InsyaAllah suasana akan berubah dan kita mampu bertahan. Diddy bersyukur kerana pihak pengurusan Diddy sentiasa berusaha untuk membawa Diddy ke hadapan. Diddy tahu bukan satu tugas yang mudah kerana selain daripada persaingan, Diddy juga perlu menunjukkan peningkatan dan memberikan persembahan yang sentiasa segar.


Minggu lalu Diddy menghadiri majlis pembukaan rasmi Celebrity Fitness Express di Wangsawalk. Ramai selebriti tanahair yang turut hadir. Di situ sahaja Diddy dapat melihat betapa beratnya persaingan dalam ekonomi yang agak suram terutamanya di bidang seni. Kemudian Diddy ke pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin untuk sessi fotografi bersama Majalah Mangga. Dari situ pula Diddy ke sessi fitting bersama pereka fesyen di Kuala Lumpur dan sebelah malamnya Diddy ada persembahan makan malam di Petaling Jaya.


Pada hari Sabtu Diddy sepatutnya ada sessi fotografi pada sebelah siangnya tetapi ditunda di saat2 akhir kerana terdapat masalah teknikal. Pada sebelah malamnya pula ada persembahan di Port Dickson untuk satu lagi majlis makan malam. Setiap kali Diddy dapat membuat persembahan, Diddy rasa seronok dan hidup. Diddy tahu bukan mudah untuk mencipta kejayaan tetapi Diddy berjanji pada diri sendiri bahawa Diddy akan terus berusaha untuk mencapai cita2 yang Diddy idamkan, InsyaAllah.

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, December 9, 2009

Ubahsuai

Bismillahirrahmanirrahim


Dua bulan lalu pihak Majalah Anjung Seri menghubungi pihak pengurusan Diddy. Mereka ingin membuat 'make 0ver' untuk rumah yang Diddy diami. Diddy diberi peluang untuk memilih ruang mana di dalam rumah yang ingin diubahsuai hiasannya. Pada awalnya Diddy ingin mengubah hiasan dalaman untuk ruang tamu tetapi selepas berfikir seketika, Diddy mengambil keputusan untuk mengubah hiasan dalaman di ruang tidur.


Ubahsuai hiasan dalaman yang dilakukan oleh Majalah Anjung Seri ni ditaja oleh pihak Home Harmony sebanyak RM5,000 untuk barang2 hiasan seperti langsir, cadar, karpet bantal dan sebagainya. Banyak juga barangan yang Diddy dapat tetapi selebihnya Diddy akan dapat dalam bentuk baucer untuk dibelanjakan di Home Harmony. Alhamdulillah =)


Diddy tak tahu kenapa tetapi Diddy memang ingin warna ungu untuk bilik tidur. Selebihnya Diddy serahkan kepada pihak perekahias dari Majalah Anjung Seri untuk menata hiasan dalaman bilik tidur Diddy. Apabila semuanya sudah siap, Diddy sememangnya berpuas hati dengan pertukaran wajah bilik tidur Diddy. Lebih ceria dan ada kelainan.

Bersama editor dan pereka dari Anjung Seri serta penaja

Kalau ingin melihat perubahan bilik tidur Diddy dengan hiasan dalaman yang baru dan lebih segar, jangan lupa dapatkan Majalah Anjung Seri keluaran bulan Disember 2009. Diddy juga mendapat set bilik mandi seperti di bilik hotel. Memang mengagumkan =) Terima kasih kepada pihak Majalah Anjung Seri dan kepada Home Harmony yang memilih Diddy.

Salam Sayang
Diddy

Monday, December 7, 2009

ABP'09

Bismillahirrahmanirrahim


InsyaAllah mulai hari ni Diddy akan cuba menulis kembali di blog. Sudah agak lama Diddy tak berpeluang. Seperti hilang sedikit rentak untuk menulis. Mungkin selepas ni Diddy cuba sedaya upaya walaupun hanya sebaris dua.


Baru2 ni berlangsung pelancaran untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Diddy tercalon dalam pencalonan awal untuk tiga kategori iaitu Penyanyi Lelaki Popular, Duo/Bekumpulan Popular (untuk lagu duet bersama Nurfatima) dan Pelakon Drama Popular.


Diddy tak meletakkan sebarang harapan kerana Diddy tahu lebih ramai yang lebih popular dan ada lebih ramai peminat. Tetapi Diddy tetap gembira kerana Diddy masih tercalon. Bukan untuk membangga diri tetapi sebagai bukti Diddy masih ada di bidang seni dan akan terus memperjuangkan bakat yang diberikan.


Sekarang ni Diddy bekerja keras untuk memastikan album kedua Diddy akan siap sepenuhnya. Walaupun agak lewat daripada tarikh yang dijangkakan, Diddy bersyukur kerana dalam tahun ni sahaja Diddy sudah mengeluarkan tiga single iaitu "Sudah" berduet dengan Nurfatima pada bulan Februari, "Biar Diddy Sambung" yang diedarkan pada bulan Jun, serta yang terbaru "Lelaki Atas Awan" pada bulan November yang sudah tiga minggu di radio.

InsyaAllah jika ada rezeki, album kedua Diddy akan keluar tidak berapa lama lagi. Hanya tinggal beberapa buah lagu lagi yang belum dirakamkan. Rasanya ini sahaja yang Diddy ingin ceritakan.

Salam Sayang
Diddy