Latest Single - Lelaki Atas Awan



Wednesday, December 31, 2008

Cover

Bismillahirrahmanirrahim


Semalam sehari suntuk Diddy sibuk dengan sessi fotografi untuk cover single terbaru Diddy bersama Nur Fatima. Kali ni memang mencabar kerana untuk cover single ni Diddy perlu mengalirkan airmata. Diddy dah cadangkan supaya guna Eyemo saja tapi Abang Badrul tetap mahu Diddy menangis betul2 untuk mendapatkan mood yang paling sesuai. Ada masanya memang kelakar kerana beberapa kali juga contact lens Diddy terkeluar bersama airmata. Jangan sampai Diddy dikenali sebagai pelakon airmata cukuplah. Hehehe! Sessi fotografi kali ni memang sangat meletihkan kerana ianya melibatkan fizikal dan mental. InsyaAllah bila semuanya sudah siap nanti Diddy akan letakkan cover tersebut di blog Diddy.


Ramai yang terlibat untuk memastikan sessi fotografi ni berjalan dengan lancar. Abang Badrul bertanggungjawab sebagai pengarah kreatif serta menyolek Diddy manakala Shonny pula menjadi fotografer utama dan menentukan shot yang perlu diambil mengikut story board. Vijay pula menjadi fotografer kedua dan pengarah seni. Hafiz dan Kelvin Sim membantu menilai gambar, penataan cahaya dan sebagainya. Hazwani menyediakan pakaian dan Fahmee pula bertugas menyolek dan mendandan Nur Fatima. Sepanjang sessi fotografi dijalankan single terbaru Diddy dan Nur dimainkan untuk memberikan mood bukan saja untuk Diddy dan Nur tapi juga untuk semua yang terlibat. Memang seronok bekerja dengan semua dan terima kasih pada semua yang bekerja keras untuk memastikan semuanya berjaya. Terima kasih!


Hari ni merupakan hari terakhir Diddy menulis di blog untuk tahun 2008. Memang banyak kenangan sepanjang tahun 2008 yang Diddy tempuhi. Kesemuanya membentuk diri Diddy untuk menjadi insan dan anak seni yang lebih baik. Tidak keterlaluan untuk Diddy katakan bahawa tahun 2008 banyak memberikan perubahan dalam hidup Diddy. Keperitan dan kepayahan yang Diddy lalui sepanjang 2007 membuat Diddy berusaha lebih keras. Syukur kepada Allah S.W.T. yang memberikan segala nikmat dan rezeki-Nya untuk Diddy. Semoga tahun 2009 menjanjikan kehidupan yang lebih baik untuk Diddy dan semua, InsyaAllah. Malam ni Diddy akan ke Johor Bahru dan Diddy mungkin bercuti di kampung buat seketika sehingga hari Ahad 4 Januari 2009. Sehingga ketemu lagi di tahun hadapan, selamat menyambut tahun 2009.

Salam Sayang
Diddy

Monday, December 29, 2008

Sejuk

Bismillahirahmanirrahim


Sampai sekarang kalau Diddy teringat kembali tentang penggambaran telemovie Kasih Berbunga Lalang, mesti Diddy rasa kesejukan. Bayangkan hampir sebahagian besar babak yang Diddy lakonkan adalah ketika di dalam hujan dan di dalam kolam. Ada ketikanya sehingga berjam2 lamanya hanya untuk menyudahkan satu babak. Diddy memang hormat dengan semua para pelakon kerana bukan mudah untuk mereka melakonkan karaktor yang telah ditetapkan kepada mereka di dalam skrip. Apatah lagi bila ianya melibatkan mental dan fizikal.


Ada ketikanya lakonan yang dikehendaki melebihi tahap menghayati skrip yang tersedia. Kadangkala kekuatan fizikal amat penting untuk menghidupkan watak yang diberi. Pada Diddy cabaran mental dan fizikal adalah sesuatu yang harus dititikberatkan oleh seseorang pelakon. Ada ketika kita bukan sahaja perlu menangis, gembira, ketawa dan marah tapi juga perlu berlari berkejaran, melompat, menjerit, merangkak, berenang dan sebagainya. Itulah yang Diddy rasakan ketika berlakon dalam telemovie Kasih Berbunga Lalang.


Di dalam telemovie Kasih Berbunga Lalang, Diddy bukan saja perlu berhujan, tetapi juga berenang di kolam. Diddy ingin berkongsi sesuatu yang mungkin ramai tidak tahu tentang Diddy. Diddy tidak pandai berenang! Jadi ianya cabaran besar untuk Diddy berada di dalam kolam sedalam lima meter dan perlu terjun dan berenang. Memang ada ketikanya Diddy rasa sangat gugup. Kalau di kolam sedalam satu meter, mungkin bila letih kita masih boleh berdiri, tetapi kolamnya sedalam lima meter! Tetapi Diddy kuatkan semangat dan kehadiran beberapa orang lifeguard membuatkan Diddy rasa lebih selesa untuk mencuba. Tapi banyak kali juga Diddy tertelan air =)


Untuk Diddy, pengalaman tu cukup berharga. Ianya akan menjadi antara pengalaman manis Diddy dalam industri seni terutamanya di dunia lakonan. Esok pula sepanjang hari Diddy ada sessi fotografi untuk cover single terbaru Diddy bersama Nur Fatima. Abang Badrul dah sediakan story board dan Diddy suka dengan gambaran cover tersebut. Tak sabar rasanya. Harap2 semuanya akan berjalan dengan lancar. Bermakna Diddy perlu tidur awal untuk rehat yang cukup.

Salam Sayang
Diddy

Sunday, December 28, 2008

Gathering

Bismillahirrahmanirrahim


Sudah lama juga Diddy tak jumpa warga Casa dan lain2. Memang jadual Diddy agak sibuk terutamanya hujung minggu dan susah untuk berjumpa mereka pada hari biasa kerana semua ada tugas masing2. Kesempatan berjumpa hari Sabtu di rumah Kak Inc memang sesuatu yang Diddy nantikan. Walaupun tidak semua yang dapat hadir tetapi Diddy faham dengan komitmen masing2 terutamanya pada musim cuti sekolah yang sudah hampir ke hujungnya. Diddy pun minta maaf kerana tak dapat nak bersama lama2 kerana malamnya pula Diddy ada satu persembahan di sebuah hotel di Ampang untuk sebuah syarikat.

Memang seronok dapat berjumpa dan masing2 membawa makanan untuk Potluck. Kak Inc sediakan rojak, air dan buah2an, Kak Tre bawa Macaroni Bakar, Kak Hezz buat spaghetti, Aqua bawa cupcakes, Kak Maya bawa roti jala serta kari ayam, Kak Aidid bawa kerang masak hijau dan Abang Badrul bawa Inti Dadar serta roti dan Apeng bawa kamera =) Memang banyak betul makanan yang ada dan Diddy tak henti2 makan sebab semua komplen kata Diddy dah kurus =) Entahlah, Diddy makan seperti biasa dan selera makan Diddy tetap sama. Mungkin sepanjang dua tiga bulan ni jadual Diddy sentiasa padat menyebabkan berat badan Diddy turun. Diddy tak dapat nak fikirkan alasan yang lebih logik.

Diddy tak tahu ada pratonton Rebab Tidak Bertali kerana sebelum ni Abang Badrul hanya beritahu nak buat pradengar single terbaru Diddy. Cuma dalam perjalanan ke rumah Kak Inc baru Diddy diberitahu. Kalau nak ikutkan, Diddy tak mahu menonton Rebab Tidak Bertali dengan sesiapa. Hehehe! Tak tahu kenapa tapi Diddy rasa malu tengok lakonan sendiri. Kalau tengok seorang diri boleh jerit kuat2 kalau rasa malu, tapi bila tengok ramai2 terpaksalah Diddy diamkan diri. Nasib baik juga dalam semua yang datang tu tak ada orang Kelantan =)

Diddy harap semua suka dengan single terbaru Diddy. Walaupun masih dalam proses susunan lagu tapi Diddy rasa lagu tersebut banyak keistimewaannya. Diddy rasa kolaborasi antara Diddy dan Nur sangat sesuai dan serasi. Terima kasih pada semua yang sudi datang terutama sekali pada Kak Inc sekeluarga yang sudi jadi hos setiap kali ada gathering untuk Diddy. Terima kasih pada Kak Hezz, Kak Maya dan Abang Syam, Kak Tre, Aqua, Apeng, Kak Aidid, Abang Lan, Anis, Issey, anak2 Kak Aidid - Yana dan Aidid, Farish @ Hirdy Jr dan semua. Pada yang tak dapat datang, InsyaAllah kita akan jumpa dilain masa. Diddy nak ucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram kepada semua. Semoga tahun baru akan memberikan sinar kebahagiaan dan semoga kehidupan kita sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

Salam Sayang
Diddy

Tuesday, December 23, 2008

ABPBH'08

Bismillahirrahmanirrahim


Siang tadi Diddy menghadirkan diri ke Majlis Sidang Akhbar Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH'08) di Palace of the Golden Horses. Diddy dapat jemputan ni minggu lepas dari Berita Harian dan Hazwani Osman atau Wani yang merupakan pereka fesyen. Wani yang mereka pakaian Diddy untuk ABPBH'07 pada bulan Mac lalu. Pada majlis siang tadi juga ada penganugerahan untuk pereka fesyen paling popular. Kalau ikut kata Wani, semua artis yang hadir perlu memakai pakaian yang dipakai ketika majlis anugerah berlangsung Mac lalu, tapi bila Diddy sampai ke majlis sidang akhbar tadi, hanya Diddy seorang saja artis yang pakai pakaian tersebut.

Kalau nak diikutkan, memang rasa malu. Bayangkan orang lain hanya memakai kemeja dan ada juga yang memakai T-shirt tapi Diddy pula memakai Tuxedo! Tetapi nak buat macam mana, terpaksa lalui juga. Sebab tu Diddy tak ambil banyak gambar ketika majlis siang tadi. Nasib baik juga di sidang akhbar tersebut lebih banyak masa dihabiskan dengan duduk di kerusi daripada berdiri =)

Bercakap mengenai ABPBH'08 ni Diddy pun tak tahu kalau Diddy tercalon untuk mana2 kategori dalam pencalonan awal. Kalau ada rezeki, adalah. Lagipun ABPBH adalah anugerah untuk artis2 popular dan Diddy tahu lebih ramai artis lain lagi yang lebih popular dan ada ramai peminat daripada Diddy. Sama juga seperti ABPBH'07 bulan Mac lalu. Tercalon dalam kelompok lima finalis adalah satu kejutan besar buat Diddy. Mungkin orang akan kata bila sudah kalah, begitulah jawapan yang sering artis berikan. Terpulanglah, tetapi untuk Diddy ianya satu kejayaan. Terima kasih pada yang memilih Diddy untuk bersama lima finalis dalam anugerah sebelum ni. Pencalonan awal ABPBH'08 akan diumumkan di dalam akhbar Berita Harian bermula Isnin, 29 Disember ni.

Salam Sayang
Diddy

Monday, December 22, 2008

Stailo

Bismillahirrahmanirrahim



5 Soalan Untuk Diddy

Oleh Khadijah Mohamad Nor
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

PENYANYI kelahiran program realiti televisyen popular, Akademi Fantasia 4 (AF4), Diddy ternyata seorang lelaki yang begitu menitikberatkan penjagaan kesihatan dan kulit wajah.

Diddy atau nama penuhnya Syamsul Hirdi Muhid, 23, mengakui penampilan diri adalah satu perkara penting yang selalu diutamakan. Baginya, penampilan diri merangkumi banyak aspek termasuk cara berpakaian dan penerimaan orang terhadapnya.

Sebagai contoh, Diddy akan memastikan dia tidak memakai cermin mata hitam di tempat tertutup bagi menghormati majlis dan orang yang ditemui. Selain itu, dia juga tidak gemar memakai topi di khalayak ramai.

Malah, Diddy begitu mengutamakan kebersihan diri untuk memastikan bukan sahaja dia, tetapi orang lain juga selesa berada di sekelilingnya. Jika keluar sendirian pula, Diddy lebih senang dengan penampilan ringkas seperti jean dan baju-T.

Dalam menjaga kesihatan diri pula, Diddy merupakan seorang lelaki yang tidak menghisap rokok. Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Saling Terpesona dan Hilang itu, selain merokok membahayakan kesihatan, tabiat tersebut juga membuatkan orang sekeliling berasa tidak selesa, berhabuk, kotor dan berbau,

Dalam kariernya, Diddy mempunyai matlamat untuk mencapai impian menjadi penghibur dan usahawan yang berjaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Apakah pandangan Diddy tentang lelaki yang semakin menitikberatkan penjagaan kecantikan diri?

Sebagai seorang artis, perkara utama yang dititikberatkan ialah kebersihan, bukan kecantikan diri. Contohnya, setiap kali ada persembahan mahupun sesi fotografi, Diddy diperlukan mengenakan alat solek.

Oleh itu, sudah menjadi satu kemestian untuk Diddy membersihkan wajah. Produk penjagaan kulit untuk lelaki jenama Clinique telah Diddy gunakan sejak lebih setahun lalu. Clinique sangat sesuai dengan kulit Diddy yang sensitif dan bermasalah.

Pada pandangan Diddy, bukan hanya artis yang perlu menjaga kebersihan diri. Semua orang mesti menjaganya. Setiap hari, kita berhadapan dengan masalah habuk, kekotoran dan cuaca yang tidak menentu.

Kalau dulu, lelaki hanya menggunakan sabun mandi untuk membersihkan muka, kini sudah ada produk khusus untuk lelaki membersihkan muka, kenapa tidak gunakannya?

Apakah aktiviti waktu lapang sekiranya tiada aktiviti seni?

Jika tiada sebarang aktiviti seni, Diddy lebih senang menghabiskan masa di rumah bersama keluarga atau ke gim untuk membina stamina. Diddy juga menggunakan masa lapang tersebut untuk berhubung dengan peminat di Facebook, MySpace ataupun menulis dan berkongsi gambar di blog Diddy (http://diddyaftersix.blogspot.com)

Apakah perkara yang membuatkan Diddy gembira?

Diddy paling gembira apabila mengetahui perjalanan kerjaya seni Diddy semakin hari ada peningkatan. Diddy bekerja keras untuk berjaya di bidang seni dan setiap kali Diddy mengecapi kejayaan walaupun sekecil mana sekalipun, itu membuatkan Diddy berasa gembira dan bersyukur.

Bagaimana Diddy menggambarkan karakter diri?

Diddy seorang yang pemalu tetapi apabila sudah mengenali seseorang, Diddy mudah selesa untuk berbual dan berbincang. Diddy juga sukakan cabaran terutamanya untuk memperbaiki diri.

Cerita terbaru karier Diddy?

Diddy baru selesai berlakon dalam dua buah telefilem iaitu Rebab Tidak Bertali dan Kasih Berbunga Lalang, terbitan Pujangga Kreatif dan United Kardila Sdn Bhd. Ia dijangka ditayangkan pada tahun 2009. Selain itu, single terbaru Diddy kini dalam proses susunan lagu.
Ia merupakan sebuah lagu duet antara Diddy dan Nur Fatima, ciptaan Audi Mok dan liriknya ditulis oleh Diddy dan Nur Fatima sendiri. Ini merupakan percubaan pertama Diddy untuk menulis lirik. Lagu ini dijangka diedarkan pada awal Januari 2009.

Diddy juga akan masuk studio untuk rakaman lagu-lagu album kedua Diddy bermula Januari ini. Selain itu juga, Diddy dalam proses perbincangan untuk menjadi pengacara sebuah rancangan berbentuk majalah untuk sebuah stesen televisyen dan insya-Allah, pada tahun 2009 nanti, Diddy akan berlakon dalam sebuah filem.

Salam Sayang
Diddy

Sunday, December 21, 2008

MTV

Bismillahirrahmanirrahim


Minggu lalu memang banyak acara yang Diddy ikuti. Daripada persembahan di beberapa majlis, sambungan penggambaran telemovie, pra-tonton telemovie serta rakaman muzik video. Jadual Diddy memang agak padat. Kalau nak diikutkan, memang Diddy agak keletihan tapi demi tanggungjawab dan kerjaya, Diddy lakukan sebaik mungkin. Hari Sabtu sahaja Diddy ada beberapa tugasan yang Diddy buat. Sejak awal pagi, Diddy sudah bersedia untuk rakaman MTV, tetapi bukanlah muzik video untuk Diddy. Ianya untuk seorang penyanyi baru iaitu Azizi dan Diddy muncul sebagai undangan dalam MTV beliau. Tugasannya tidaklah sukar kerana Diddy hanya perlu menjadi diri Diddy sendiri di dalam muzik video tersebut.


Kalau mahu ikutkan, Diddy belum pernah ada MTV sendiri. Mungkin belum rezeki Diddy. Diddy faham untuk menzahirkan satu MTV memerlukan banyak sumber kewangan. Memang menjadi harapan Diddy agar suatu hari nanti Diddy akan ada MTV Diddy sendiri. InsyaAllah kalau rezeki syarikat pengurusan Diddy ada dan mereka ingin membuat pelaburan untuk MTV, akan ada MTV Diddy satu hari nanti.


Penggambaran MTV Azizi dibuat di ibupejabat DiGi di Shah Alam, di bahagian rekreasi. Memang menyeronokkan. Ramai juga yang terlibat dalam penggambaran MTV Azizi termasuklah Dina dan pengacara terkenal, Baki dari 8TV. Habis sahaja sessi penggambaran untuk Diddy, kami bergegas menjemput Nur Fatima untuk ke rumah Hazwani Osman, pereka fesyen yang akan menaja pakaian untuk shooting cover album single nanti. Sebelah malamnya pula Diddy membuat persembahan di Majlis Makan Malam Tahunan Moonlight Mode Sdn bhd di sebuah hotel di Petaling Jaya.


Hari Sabtu juga Abang Badrul belikan Diddy Media Hiburan. Nak tergelak Diddy tengok muka Diddy yang sangat tembam! Sebenarnya sessi fotografi untuk cover Media Hiburan ni dibuat lebih setahun yang lalu iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun 2007. Ketika tu memang badan Diddy tengah naik dan Diddy belum berpeluang untuk ke gym. Rambut Diddy pun masih lagi panjang. Memang kelakar tapi tak boleh disangkal, itulah Diddy pada tahun lepas =) Baru Diddy teringat dua minggu lepas Kak Yatt dari Media Hiburan menghubungi Diddy untuk sedikit wawancara tentang perkembangan terbaru Diddy. Jangan lupa dapatkan Media Hiburan.

Minggu ni jadual Diddy tidak terlalu padat. Pada Hari Selasa Diddy akan hadir ke sidang akhbar Anugerah Bintang Popular 2008 di Palace of the Golden Horses. Pada hari Rabu pula Diddy ada sessi fotografi untuk cover single terbaru Diddy bersama Nur Fatima. Jangan lupa untuk dapatkan akhbar Kosmo! esok (Isnin) kerana ada sedikit wawancara Diddy untuk ruangan Stailo!

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, December 17, 2008

Hip

Bismillahirrahmanirrahim


Sessi photoshoot Diddy dan Fazren bersama Hip ni sebenarnya berlangsung hampir empat bulan yang lalu iaitu pada awal bulan Ogos, tetapi mungkin pada hari ni baru ada ruang untuk diterbitkan. Jadi ada beberapa informasi yang tidak ada ketika itu seperti dunia lakonan yang baru Diddy ceburi belum dapat dituliskan. Terima kasih kepada Kak Serimah, Abang JayDee, Pak Ya dan tentunya Berita Harian yang memberikan ruang publisiti pada Diddy. Sudah lama juga gambar2 yang diambil ada dalam simpanan Diddy tapi tentunya Diddy tak boleh kongsikan sehingga beritanya keluar terlebih dahulu.

Sama tapi tak serupa

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serimah@bharian.com.my


KETINGGIAN serta gaya rambut dua pendatang baru dalam dunia hiburan ini menyebabkan ramai yang menyangka mereka mempunyai ikatan persaudaraan.

Walhal Syamsul Hirdi Muhid atau Diddy, 23, dan Fazren Rafi, 23, masing-masing berasal dari negeri yang berbeza dan tidak mempunyai sebarang pertalian.

Hip sengaja menggandingkan dua jejaka ini di dalam sesi fotografi dan meminta mereka memakai baju dari rona yang sama khas untuk tatapan peminat dua jejaka tinggi lampai ini.

Bagaimanapun, ini bukanlah pertemuan pertama mereka. Kali pertama bertemu, kedua-duanya mengajukan soalan yang sama sesama sendiri iaitu di mana persamaan yang sering diperkatakan orang. Bukan itu saja, mereka turut mengambil gambar bersama untuk mencari apakah persamaan mereka.

Diddy pernah ditanya kawan-kawan dan peminat apakah dia bergelar pelakon sedangkan yang muncul di kaca televisyen adalah Fazren. Ada juga yang bertanya adakah Fazren adiknya.

Manakala Fazren pula pernah ditegur peminat yang menyangka dia Diddy. Tidak kurang juga yang menuduhnya menipu apabila dia memperkenalkan dirinya yang sebenar.

“Kami sebenarnya tidak tahu di mana persamaan kami. Kalau nak diikutkan Fazren lebih tinggi dari saya, bentuk wajahnya saya dengan dia pun tak sama. Pelik juga kami di manakah persamaannya?

“Ketika Fazren muncul dalam drama bersiri Spa Q, ada orang tanya pada Diddy, adakah Diddy bergelar pelakon pula. Ada juga yang ingat Fazren adik Diddy.

“Diddy minat berlakon dan ada juga terima beberapa tawaran. Tetapi setakat ini Diddy masih belum berpeluang untuk buat sebab tawaran berlakon sering kali bertembung dengan jadual persembahan,” kata anak muda yang baru saja meraikan ulang tahun kelahirannya pada 5 Oktober yang lalu.

Sedar tak sedar, sudah dua tahun anak muda ini meniti perjalanan sebagai anak seni. Lahir dari program realiti Akademi Fantasia keempat, kerjaya Diddy dalam dunia nyanyian dilihat lebih lancar berbanding rakan-rakannya seperjuangannya yang lain.

Walaupun tidak berjaya merangkul gelaran juara, Diddy mampu melahirkan album yang mengambil namanya sebagai judul. Biarpun perkembangan kariernya tidak sekencang mana, anak muda itu mengakui dia tetap bersyukur. Malah, dia juga mengakui beruntung kerana berpayung di bawah syarikat pengurusan f-tersix yang sangat mengambil berat kerjaya seninya.

“Alhamdulillah, tahun demi tahun karier Diddy menunjukkan peningkatan. Walaupun peningkatannya tidak laju, Diddy tetap berpuas hati dan selesa dengan cara begini kerana Diddy dapat melalui proses itu secara berperingkat. Sekurang-kurangnya Diddy dapat belajar dan tidak terkejut dengan peningkatan yang terlalu mendadak.

“Sepanjang dua tahun ini, Diddy juga sedar bahawa dunia hiburan ada pasang dan surut. Diddy sendiri tidak ketinggalan dihujani kontroversi apabila tidak dibenarkan membuat persembahan di Kelantan tidak lama dulu gara-gara dituduh bergaya seksi.

“Diddy tidak melenting sebaliknya perkara itu membuatkan Diddy terfikir dan sedar bahawa kehadiran Diddy dalam dunia seni ini sebenarnya diperhatikan. Diddy juga melihat insiden yang berlaku itu dari sudut positif,” katanya yang sedang mengumpul material untuk album keduanya.

Perkembangan kerjayanya yang positif menyebabkan Diddy bersimpati dengan nasib yang menimpa rakan seperjuangannya. Namun, Diddy tidak menolak semua itu adalah rezekinya. Cuma dia berharap rakan-rakannya mengambil insiatif dan berusaha untuk mengubah hidup mereka.


Fazren mahu bergelar pengarah

SERING kali disangka Diddy, kata Fazren, kali pertama bertemu Diddy, dia cuba mencari di mana persamaan yang sering dikatakan orang. Fazren yang sudah setahun bergelar pelakon mahu memantapkan skil lakonannya. Anak muda kelahiran Klang itu bercita-cita mahu bergelar pengarah satu hari nanti.

Bagaimanapun sebelum bersedia untuk terjun dalam dunia pengarahan, anak muda itu berkata dia harus menimba seberapa banyak ilmu yang mungkin daripada dunia lakonan. Perkara itu bukanlah sesuatu yang baru kerana katanya kebanyakan pengarah terlebih dulu bergelar pelakon,

“Sekarang ini saya mahu menimba ilmu terlebih dulu melalui lakonan. Sepanjang setahun menjadi pelakon, banyak benda yang saya belajar. Terutamanya apabila bekerja dengan pengarah dan produksi berbeza. Setiap kali itu, ada saja benda baru yang saya belajar.

“Perjalanan saya dalam dunia lakonan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Cuma satu saja masalah yang saya hadapi kerana perlu bijak membahagikan kerjaya sebagai pelakon dengan pelajar. Saya masih lagi menuntut di Universiti Malaya, apatah lagi sekarang ini saya kembali sibuk dengan penggambaran siri Spa Q musim kedua, jadi saya terpaksa meminta pelepasan daripada produksi untuk menghadiri kuliah pada Selasa dan Khamis.

“Keluarga memahami kerjaya saya tetapi mereka menetapkan syarat supaya saya harus menamatkan pelajaran dan perlu mendapatkan juga segulung ijazah. Insya Allah pertengahan tahun depan saya akan menamatkan pengajian dalam Ijazah Seni Persembahan Drama (Pengarahan),” kata Fazren yang membawa watak Dafi dalam drama bersiri Spa Q.

Katanya, penggemar drama bersiri berkenaan haruslah menonton Spa Q untuk mengetahui sambungan drama bersiri popular itu kerana watak Dafi musim ini berbeza daripada musim lalu. Penggambaran Spa Q sudah dilakukan sejak bulan puasa lalu dan kini Fazren sudah melakukan sebanyak 320 babak.

INFO: Diddy
  • Diddy pernah melahirkan album pertama yang mengambil namanya sebagai judul. Kini sedang dalam proses mengumpul material untuk album keduanya.
  • Baru saja meraikan ulang tahunnya yang ke 23 pada 5 Oktober lalu.
  • Pernah dicalonkan dalam kategori Penyanyi Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.
  • Juga pernah dicalonkan dalam Anugerah Era untuk kategori Artis Baru Pilihan dan Anugerah Planet Muzik dalam kategori Artis Berkumpulan/ Duo Popular.
INFO: Fazren
  • Jejaka berasal dari Klang ini sudah terbabit dalam kira-kira 10 buah drama. Namun watak utama yang dibawakan adalah dalam drama Spa Q, Ali Din dan Andai Itu Takdir Cinta.
  • Memasang impian untuk berlakon di bawah pengarah tersohor Kabir Bhatiar. Kata anak muda itu, dia mengagumi teknik gambar Kabir hingga membuatkan dia terleka melihat keindahan shot, Kabir.
  • Selain memasang impian untuk berlakon di bawah arahan Kabir. Anak kedua dari lima beradik ini turut berhasrat untuk memegang watak jahat. Setakat ini dia masih belum berpeluang membawakan watak sedemikian.
Dikesempatan ni Diddy nak ucapkan tahniah dan selamat bertunang untuk Fazren. Nampaknya ada lagi satu persamaan antara kita =) Jangan lupa dapatkan Harian Metro hari Khamis untuk cerita tentang Rebab Tidak Bertali.

Salam Sayang
Diddy

Tuesday, December 16, 2008

Rakaman

Bismillahirrahmanirrahim


Diddy baru saja pulang dari Ipoh, Perak, untuk satu persembahan di sana. Walaupun ada sedikit gangguan audio ketika persembahan, Diddy nak ucapkan terima kasih kerana semua memahami keadaan dan terus memberikan sokongan menyanyi beramai2 bersama Diddy. Itu merupakan satu perkara yang sering memberikan semangat pada mana2 artis yang membuat persembahan apabila peminat sama2 menyanyikan lagu bersama artis. Memang seronok.


Esok bersamaan hari Rabu, Diddy akan membuat persembahan untuk Majalah Bintang Kecil di Menara Kuala Lumpur. Pada sebelah petangnya pula penggambaran telemovie Kasih Berbunga Lalang akan disambung untuk babak terakhir di sebuah kolam renang di Kuala Lumpur. Diddy sebenarnya letih dan dah nak tidur, tapi Diddy teringin untuk bercerita serba sedikit tentang single terbaru Diddy yang baru saja habis dirakamkan beberapa minggu lepas.


Single terbaru ni merupakan lagu duet antara Diddy dan Nur Fatima. Banyak keistimewaan lagu ni yang pada ketika ni menggunakan tajuk "Sudah". Antara keistimewaan lagu ni adalah Diddy dan Nur Fatima bersama2 menulis lirik untuk lagu ni. Buat pertama kali dalam hidup Diddy menulis lirik untuk sebuah lagu. Terima kasih kepada Abang Badrul dan Audi Mok yang memberikan kepercayaan pada Diddy. Nur Fatima seperti yang ramai sedia maklum merupakan seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik. Pada tahun ni Nur Fatima telah dianugerahkan dengan Anugerah Komposer Muda pada satu majlis yang diadakan oleh MACP. Nur Fatima sebelum ni pun turut menulis lirik untuk dua lagu dalam album pertama Diddy iaitu lagu "Saling" dan "Lena".


Satu lagi keistimewaan lagu "Sudah" ialah liriknya yang lebih kepada berdialog dan tidak banyak bait2 yang diulang. Setiap prasanya berbeza antara satu sama lain. Bermakna, kami perlu berlatih bersungguh2 untuk menghafal lirik kerana ianya sangat panjang =) Tapi nilah pengalaman yang sungguh menyeronokkan untuk Diddy. Tahun ni Diddy dapat banyak peluang untuk mencuba cabang2 seni yang baru. InsyaAllah Diddy akan buat yang terbaik untuk semuanya. Sekarang ni lagu "Sudah" dalam proses mixing. InsyaAllah tahun 2009 akan menjadi permulaan yang baru untuk Diddy.


Hari Khamis nanti jangan lupa dapatkan akhbar Harian Metro kerana ada cerita tentang Rebab Tidak Bertali. Hari Khamis juga Diddy akan ke Pujangga Kreatif untuk menonton telemovie ni yang sudah hampir siap. Diddy belum tahu lagi tarikh siaran untuk telemovie Rebab Tidak Bertali dan Kasih Berbunga Lalang tetapi bila Diddy dah dapat tarikhnya nanti Diddy akan beritahu di blog. Diddy juga akan sambung cerita tentang pengalaman berlakon dalam telemovie Kasih Berbunga Lalang serta gambar2 lainnya nanti, InsyaAllah.

Salam Sayang
Diddy

Sunday, December 14, 2008

KBL

Bismillahirrahmanirrahim

Keluarga Zirwan

Lima hari empat malam Diddy berkampung di Kampung Janda Baik untuk penggambaran telemovie kedua lakonan Diddy, Kasih Berbunga Lalang (KBL). Kali pertama Diddy menjejakkan kaki ke kampung tersebut, memang terasa keindahan dan ketenangannya. Bayangkan deruan air sungai mengalir dengan hembusan angin sejuk dan menyegarkan. Memang sungguh nikmat ciptaan Tuhan. Sepanjang penggambaran di sana, kami semua tinggal di resort Pondok Impian, kepunyaan Abang Den Wahab dan Kak Nora. Memang selesa. Diddy memang sangat hormat dengan Abang Den Wahab dan Kak Nora yang sangat merendah diri dan sangat mesra walaupun dengan orang baru seperti Diddy. Terima kasih sangat2 atas layanan Abang Den dan Kak Nora sekeluarga.

Zirwan dan keluarga Kasih

Sebenarnya Diddy dah balik ke Kuala Lumpur dan tidur di rumah sejak hari Sabtu malam lagi kerana lokasi penggambaran telah bertukar tempat, tetapi Diddy memang tak berpeluang untuk menulis apa2 di blog hinggalah ke malam ni akibat keletihan. Siang tadi penggambaran di buat di SMK Sulaiman, Bentong, Pahang dan esok serta lusa pula akan bersambung di sekitar Kuala Lumpur. Apa yang Diddy boleh katakan, kerja pengarahnya, Abang Azmi Hatta, sangat teliti dan setiap babak melibatkan banyak shot. Contohnya pada hari Sabtu, satu babak di tanah perkuburan sahaja memakan masa empat jam untuk dirakamkan. Diddy dan Elly Mazlein sampai menggeletar kesejukan kerana babak tersebut di dalam hujan lebat.

Nordin, Kasih dan Zirwan

Diddy sangat beruntung kerana walaupun ni hanya merupakan telemovie kedua lakonan Diddy, tetapi Diddy dapat belajar banyak ilmu daripada guru2 yang sungguh banyak pengalaman. Dalam telemovie Kasih Berbunga Lalang ni, Diddy dapat banyak tunjuk ajar daripada Abang Nasir Bilal Khan, Mama Norlia Ghani, Elly Mazlein, Ibu Wan Maimunah dan lain2 yang sedikit pun tidak kedekut dengan ilmu lakonan yang mereka ada. Diddy bersyukur kerana ilmu yang Diddy dapat daripada mereka memang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Setiap hari, sementara menunggu giliran untuk berlakon atau ketika berhenti rehat untuk makan, Mama Norlia dan Abang Nasir akan bercerita tentang pengalaman2 yang pernah mereka lalui di dunia lakonan. Mereka juga berkongsi tip untuk berlakon dan macam2 lagi. Begitu juga dengan Elly Mazlein dan lain2.

Kasih seorang ayah

Esok ada beberapa babak lagi yang perlu dihabiskan. Diddy perlu rehat. InsyaAllah nanti Diddy akan ceritakan lagi pengalaman2 Diddy dalam telemovie ni dan letakkan lebih banyak gambar.

Salam Sayang
Diddy

Monday, December 8, 2008

Kasih

Bismillahirrahmanirrahim


Syukur Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah S.W.T. berikan kepada Diddy. Diddy dapat tawaran untuk berlakon dalam satu lagi telemovie. Kali ni telemovie bertajuk "Kasih Berbunga Lalang" diterbitkan oleh United Kadila Sdn Bhd dan pengarahnya pula ialah Azmi Hatta. Mungkin dah tertulis rezeki untuk Diddy. Walaupun bukan dalam mana2 dialek, tapi Diddy rasa gementar juga kerana watak yang akan Diddy bawa agak berat. Apatah lagi dengan pelakon2 lain yang memang sudah ada nama besar seperti Nasir Bilal Khan, Sidek Hussin, Fadillah Mansor, Norlia Ramli, Elly Mazlin, Erry Putra dan lain2. InsyaAllah Diddy akan berikan yang terbaik semampu Diddy.

Bermakna juga Diddy tak berpeluang untuk menulis apa2 di blog Diddy sepanjang minggu ni kerana penggambaran telemovie ni akan bermula esok, 9hb Disember sehinggalah 15hb Disember. Penggambaran pula akan dijalankan di Kampung Janda Baik, Pahang. Sekarang ni Diddy nak sambung balik kemas pakaian2 yang perlu dibawa dan nak hafal skrip sebelum tidur. Doakan semoga Diddy dapat buat yang terbaik ya =)

Salam Sayang
Diddy

Saturday, December 6, 2008

XY10

Bismillahirrahmanirrahim

WAWASAN DIDDY



Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Berlakon, berniaga antara bidang baru yang mahu dimahirkan

TIGA tahun mengharungi dunia showbiz, bakat nyanyian Syamsul Hirdi Muhid atau Diddy tidak perlu disangkal lagi. Bekas bintang siri realiti Akademi Fantasia (AF) ini terus membina nama sebagai antara pelapis penghibur tanah air.

Tidak cukup bakat nyanyian, Diddy mula mengintai peluang berlakon. Hajatnya untuk mengembangkan bakat tidak menghampakan apabila 'disunting' sebuah produksi drama tempatan, Pujanggan Kreatif, Rebab Tidak Bertali.

"Ini percubaan pertama saya dalam bidang lakonan. Sebelum ini, saya pernah berlakon teater. Namun, pengalaman kali ini cukup berharga dalam misi mengembangkan keupayaan diri dan bakat seni saya," bicara Diddy yang teruja ditawarkan berlakon dalam drama itu.

Penggambaran drama Rebab Tidak Bertali yang berlarutan dua minggu tidak mengganggu kerjaya nyanyian Diddy. Ketika ini, anak muda ini sibuk mengumpul lagu bagi album kedua yang dirancang menjengah pasaran pertengahan tahun depan.

Bersama XY10, Diddy bersemangat menceritakan kehidupan harian, perancangan masa depan serta tidak ketinggalan 'rahsia' hatinya.


Perkembangan terkini Diddy?

Diddy sekarang sibuk menyudahkan penggambaran drama pertama Diddy, Rebab Tidak Bertali yang dijadual berakhir 17 November ini. Ini percubaan pertama dan diharap menjadi kayu pengukur bakat lakonan Diddy. Pada masa sama, Diddy sedang mengumpul bahan untuk album kedua Diddy berkonsepkan moden pop.

Aktiviti masa lapang?

Terus terang Diddy katakan Diddy lebih banyak menghabiskan masa di rumah atau bersenam di gimnasium... Ini rutin Diddy pada waktu lapang.

Jika bukan seni, bidang apa agaknya diminati Diddy?

Jangan terkejut kerana Diddy berminat menjadi guru. Mata pelajaran kegemaran Diddy ialah Bahasa Malaysia dan Geografi. Tetapi bagaimana lah agaknya Diddy bergelar cikgu ya! (tergelak)

Perancangan jangka panjang Diddy?

Sekarang Diddy sudah memiliki perniagaan menjual barangan terpakai, MurahDotCom. Perniagaan yang hampir tiga bulan beroperasi ini berkonsep jual dan beli barang terpakai. Alhamdulillah, lokasi kedai MurahDotCom yang berdekatan pasar besar Tesco di Ampang menarik perhatian pelanggan.

Di sebalik penampilan Diddy, apa agaknya sifat anda yang peminat perlu tahu?

Peminat harus tahu Diddy sebenarnya pemalu. Sifat ini bukan dibuat-buat tetapi itulah personaliti sebenar Diddy. Tetapi, apabila berada di atas pentas, Diddy ketepikan rasa malu dan teruja berdepan peminat.

Apa untungnya menjadi lelaki?

Tanggungjawab lelaki besar, sebagai ketua keluarga dan menjadi role model dalam keluarga itu sendiri. Yang lain-lain, mungkin lelaki lebih ringkas dalam bergaya.

Fesyen penggayaan Diddy?

Diddy suka gaya funky dan moden. Ini sesuai dengan konsep lagu dan imej Diddy. Jika pada hari-hari biasa dan tidak terikat dengan kerjaya seni, Diddy lebih senang mengenakan kemeja berleher bulat serta seluar denim.

Wanita pilihan Diddy?

Wanita yang berkulit cerah, fizikal tidak penting. Paling utama, dia mestilah menerima Diddy seadanya.

Seksi mengikut persepsi Diddy?

Pada Diddy, seksi tidak bermakna seseorang itu harus bergaya keterlaluan untuk menampakkan imej seksi. Mungkin melalui cara pembawaan diri serta percakapan saja boleh menimbulkan rasa seksi. Itu semua subjektif!

Perancangan 2009?

Diddy akan menumpukan segala aktiviti seni dengan syarikat f-tersix dan memperlengkapkan diri dengan album baru yang dijangka dipasarkan menjelang Mei tahun depan, insyaAllah.

PROFIL: Diddy
Nama: Syamsul Hirdi Muhid
Nama komersial: Diddy
Umur: 23 tahun
Tarikh lahir: 5 Oktober 1985
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Tinggi: 183 sentimer
Berat: 75 kilogram
Saiz baju: M
Saiz kasut: 11
Emel: diddy@f-tersix.com
Blog: diddyaftersix.blogspot.com

Sebenarnya berita ni dah lama keluar diruangan XY Berita Harian tapi baru hari ni Diddy berpeluang untuk letakkan di blog Diddy. Tujuannya mungkin untuk sesiapa mengenali Diddy dengan lebih dekat lagi =) Ada juga beberapa informasi yang Diddy letakkan seperti nama kedai untuk melengkapkan lagi berita yang diberi =)

Salam Sayang
Diddy

Senyum

Bismillahirrahmanirrahim

Petang tadi Abang Badrul telefon minta Diddy check email. Terkejut juga bila tengok gambar2 Diddy yang dah di edit. Kelakar pun ada. Bila tengok gambar2 ni mesti nak tersenyum. Kata Abang Badrul, dia terjumpa satu website yang boleh kita letakkan gambar2 kita dalam frame yang memang dah tersedia. Yang paling Diddy suka, gambar2 yang Abang Badrul pilih tu macam kena pula dengan background macam pilihan warna dan suasana. Diddy lupa pula nama website tersebut tapi bila Diddy dah ingat balik nanti Diddy akan letakkan di sini supaya kita semua dapat cuba =) Kalau ada sesiapa yang tahu, letaklah link website kat ruangan komen ya! Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.













Salam Sayang
Diddy

Wednesday, December 3, 2008

Clinique

Bismillahirrahmanirrahim


Malam tadi Diddy rakam single terbaru Diddy. Diddy rasa puas hati betul dengan recording kali ni. Walaupun ambil masa yang lama tapi, semuanya berjalan dengan lancar. Mungkin sebab Diddy dapat lagu awal jadi Diddy berpeluang untuk mendengar melodinya lebih lama dan mungkin juga kerana Diddy turut menulis lirik lagu ni menjadikan ianya lebih mudah untuk Diddy menghayatinya. Tapi Diddy belum boleh bercerita panjang tentang single terbaru ni. InsyaAllah bila sampai masanya Diddy akan pasti ceritakan di blog Diddy. Habis recording lebih kurang pukul satu pagi, kita pergi makan ramai2 kat sebuah restoran di Petaling Jaya. Lama juga di sana sebab ada perbincangan hangat antara Abang Badrul dan Audi Mok =) Hampir pukul empat pagi baru Diddy sampai di rumah. Mungkin "excitement" yang Diddy rasakan masa rakaman tadi masih berbahang, mata Diddy tak boleh dilelapkan. Apa yang Diddy dapat nyatakan di sini ialah tajuk awal lagu ni ialah "Sudah". Tak tahulah pula kalau kemudian nanti akan ditukar tapi Diddy rasakan ianya tajuk yang paling sesuai untuk lagu ni.


Sehari sebelum tu Diddy berada di Sunway Pyramid untuk satu aturcara Clinique. Memang dah lama Diddy tak berpeluang ke mana2 pusat membeli belah. Sunway Pyramid pun dah semakin besar sampai sesat juga nak cari tempat Clinique tu. Lama juga Diddy di sana tapi sebab Diddy menghadiri event Clinique, memang tak berpeluang langsung untuk berjalan2. Diddy sangat2 bersyukur kerana berpeluang menjadi "Friend of Clinique" dan yang terbaru diperkenalkan sebagai "Clinique Celebrity". Sudah hampir setahun setengah Diddy bekerjasama dengan Clinique untuk penjagaan kulit Diddy. Memang berbaloi sangat2 guna produk Clinique dan Diddy boleh katakan yang Clinique Turn Around Concentration adalah produk penjagaan kulit yang memang Diddy mesti ada setiap masa, selain daripada pembersih muka dan M Gel. Okaylah, sekarang mata Diddy dah mengantuk. Nasib baik hari ni (Rabu) Diddy tak ada apa2 aktiviti. Hari Khamis Diddy ada photoshoot bersama Majalah Remix di Pavillion, Kuala Lumpur dan kemudiannya akan ke radio Era kerana Abang Badrul ada janjitemu di sana.

Salam Sayang
Diddy