Latest Single - Lelaki Atas Awan

Wednesday, September 9, 2009

InTrend

Gaya Hidup
Selera Bintang


Sajian Istimewa Timur Tengah

Teks oleh Huda Hussain

Istimewa bulan ini kami bawa kamu terokai masakan ala Arab. Aroma, rasa dan persembahan sajianya pasti bikin kamu teruja ingin mencubanya.

Bersempena Hari Raya bulan ini, InTrend mengundang Diddy Hirdy dan Nurfatima sebagai tetamu Selera Bintang. Tampak manis dan segak apabila kedua-duanya mengenakan baju Melayu dan berbaju kurung rona sedondong. Turut menemani mereka, Badrul Hashim selaku pengurus Nurfatima dan Diddy. Selepas mengucapkan salam perkenalan, kami menuju ke Carousel Cafe Restaurant. Apabila dikhabarkan menu yang akan disajikan ialah hidangan masakan Arab, masing-masing teruja lantaran jarang sekali berpeluang merasai masakan dari negara Timur Tengah ini. Apatah lagi hidangan masakan Arab hanya disajikan sekali setahun di Hotel Palace of Golden Horses!

Dekorasi di sudut buffet berkongsepkan dapur terbuka kelihatan unik dan cantik. Terbukti sentuhan artistiknya mampu 'membawa' perasaan pengunjung seolah-olah berada di restoran negara padang pasir ini, seperti benar!

Sementara menanti Joe merakamkan sudut-sudut menarik sekitar restoran, saya gunakan masa yang ada menemu bual Nurfatima terlebih dahulu. Walaupun agak lama menyepikan diri kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang audio engineering, anak muda berbakat ini tidak sepi daripada dunia seni. Perkembangan terkini Nur, dia kini bekerja di belakang tabir di samping mengasah bakat sebagai penulis lirik dan pencipta lagu. Bakatnya dalam bidang nyanyian mula dicungkil melalui pertandingan Golden Teen Search pada 1999. Lantaran itu Nur terus optimis meneruskan perjuangan dalam arena seni. "Bagi Nur, seseorang yang berada dalam industri seni, perlu sedikit sebanyak belajar selok belok muzik," katanya yang meminati bidang muzik sejak kecil lagi. Mula berjinak-jinak dalam penulisan lirik pada 2003 menerusi lagu Gadis, Nur kini giat meluaskan horizon muziknya baik daripada segi penulisan lirik, penciptaan lagu dan aspek teknikal seperti bidang audio. Pernah dinobatkan sebagai Young Composer dalam anugerah MACP, komposer muda berbakat ini tidak jemu berusaha. Nur berhasrat ingin terus memahat nama dan mengembangkan lagi bakatnya di persada seni.

Berkongsi semangat serupa, Diddy juga giat mendalami bidang penulisan lirik. Diddy kini sibuk mengumpul bahan bagi album keduanya yang berkonsepkan moden pop. Selain nyanyian, Diddy juga terlibat dalam seni lakonan. Setakat ini, dia sudah pun membintangi enam telemovie. "Bukan tamak ataupun gila glamor, sebab bagi Diddy selagi bergelar anak seni, tak salah kalau Diddy mencuba sesuatu yang baru untuk menambah pengalaman," ujar Celebrity Friend of Clinique ini.

Mengimbau nostalgia Syawal, kedua-duanya mempunyai kisah tersendiri. "Diddy sukakan suasana pada Hari Raya itu sendiri. Semua sanak saudara yang dah lama tak ditemui, dapat berkumpul serentak. Itulah istimewanya Hari Raya." Nur juga tidak ketinggalan menceritakan pengalaman menyambut Hari Raya sewaktu kecil. "Kenangan paling manis semestinya masa kecil-kecil dahulu. Rasa seronok apabila dapat pergi beraya dan kumpul duit raya," kata Nur yang bakal pulang menyambut lebaran di Taiping, Perak.

Berkongsi cerita mengenai menu wajib di pagi raya, "Diddy memang tak pernah ketinggalan menu sambal sotong yang dimakan dengan nasi impit. Memang sedap!" Berbeza pula dengan Nur, "ketupat pulut dan rendang adalah menu wajib mesti ada setiap kali sambut raya. Apabila dah meningkat remaja, Nur belajar dengan mak cara-cara nak balut ketupat."

Itulah keunikan dan keistimewaannya Syawal bulan nan mulia. Masing-masing punya cerita tersendiri dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Selesai sesi temu bual, tibalah masa untuk mengisi perut yang sudah mula memainkan melodi tanda kelaparan. "Nur ni sanggup tak makan sejak tengah hari tadi semata-mata nak rasa masakan Arab ni!" usik Bad sambil ketawa. Selepas mendapat lampu hijau daripada pembantu restoran, Nur dan Diddy mengambil tempat masing-masing.

"Banyaknya makanan! Aduh, mana satu agaknya yang patut Diddy makan dulu?" Amboi, terlupa sejenak orang sekeliling, leka sungguh mereka berdua menikmati sajian padang pasir eksklusif ini. Antaa menu paling memikat selera yang harus kamu semua cuba adalah Mahrobah Rice, Bamia Lahama (hirisan daging dengan kentang, mmm... enaknya!), Kofia Bil Tahina (kebab daging disalut keju, yang ini sedap juga) dan ohh, banyak lagi!

Uniknya di sudut hidangan masakan Arab ini, sajian ditampilkan dengan konsep buffet dan saya dimaklumkan ia hanya dimasak sekali dalam setahun. Jika kamu meminati masakan Timur Tengah, jangan ketinggalan berkunjung ke Carousel Cafe Restaurant. Sudi-sudikan!

Thursday, September 3, 2009

MH



Ezlynn & Diddy Hirdy Sakan Berbelanja

teks oleh Ziera
Media Hiburan (29 Aug - 4 Sep)

Biarpun hanya bergaya ringkas, gandingan dua penyanyi popular, Diddy Hirdy dan Ezlynn menggamit perhatian pengunjung sekeliling yang ralit memerhatikan mereka membeli-belah untuk persiapan menyambut Aidilfitri. Yang penting masing-masing ramah bercerita perihal perkembangan terbaru dan cerita-cerita terkini. Kerjasama baik yang diberikan oleh mereka yang tidak banyak karenah membuatkan fotografi petang itu berjalan dengan lancar.

Diddy yang kini mahu dikenali dengan nama Diddy Hirdy memberitahu buat masa ini dia sedang sibuk mempromosikan single 'Biar Diddy Sambung'.

"Diddy bersyukur kerana lagu itu berjaya menduduki carta di radio. Dalam pada masa yang sama, Diddy rancak mengumpulkan material untuk dua album serentak merangkumi album solo yang akan dilancarkan hujung tahun ini dan album duet (dengan artis lelaki dan perempuan). Tidak dilupakan juga single terbaru, 'Lelaki Atas Awan' yang akan diputarkan di radio tidak lama lagi.

"Secara rasminya juga, sejak menukar nama kepada Diddy Hirdy, banyak perubahan positif yang berlaku dalam hidup. Diddy juga sudah mempunyai kelab peminat sendiri iaitu 'United Community Malaysia' (unitedcommunitymalaysia.blogspot.com). Diddy tak mahu memilih nama sama seperti kelab peminat lain kerana memberikan kebebasan kepada peminat-peminat di luar sana untuk menyokong mana-mana artis lain yang mereka suka," jelasnya.



Kawal Perasaan

Dalam bulan Ramadhan ini, tidak sah jika tidak ditanya tentang persiapan Diddy menjelang hari raya.

"Kebiasaannya saya membeli baju Melayu bercorak terang. Tidak ketinggalan juga Diddy membeli beberapa butang baju Melayu temasuk capal. Lokasi pilihan semestinya di kedai-kedai sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Diddy pernah berbelanja sehingga RM600. Itu pun jika dikawal perasaan, kalau tidak, semua Diddy mahu beli (sambil tergelak).

"Sepanjang bulan Ramadhan, Diddy sibuk memenuhi undangan berbuka puasa termasuk di Terengganu dan Kelantan selama dua minggu. Dan masa terluang, Diddy peruntukkan masa bersama keluarga.

Mengenai bersahur pula, Diddy wajib untuk bangun makan. Apa pun Diddy lebih utamakan minum banyak air. Nasib baik Diddy tinggal bersama kakak dan keluarganya. Selepas bersahur Diddy akan tidur sebentar sebelum menunggu waktu Subuh untuk bersolat," ujar Diddy tentang aktiviti dan rutinnya berpuasa kepada MH.

"Sebenarnya saya jarang ke bazar Ramadhan. Saya hanya pesan pada orang sahaja. Saya suka air berwarna hijau yang mengandungi biji selasih. Memang air itu sukar untuk diperolehi. Tentang makanan, saya tidak kisah apa saja. Tapi kalau ada ikan bakar lagi best," jelas Diddy.

Elak Shopping Last Minute

Barangkali ada yang sediamaklum tahun ini merupakan tahun ketiga Diddy bergelar tunangan orang. "Selalunya persiapan membeli-belah dilakukan sebelum bulan puasa. Sama ada saya ditemani tunang ataupun ahli keluarga. Bukannya apa, risau terpaksa bersesak jika lambat membeli-belah. Kalau ikutkan hati masih banyak kerja perlu dilunaskan. Tak berani nak cakap bila."

Tahun ni Diddy tidak menempah baju Melayu memandangkan sudah mempunyai banyak koleksi sama ada yang telah dan belum dipakai lagi. Cuma warna pilihan tahun ini kami (termasuk sekeluarga) memilih warna kuning. Selain itu keperluan lain seperti kuih raya, kain langsir, sarung sofa wajib dibeli untuk keluarga di Pasir Gudang, Johor. Tahun ni Diddy tak pasti sama ada balik ke Johor atau tidak cuma rasanya ibu dan bapa saya akan ke Kuala Lumpur untuk beraya," katanya lagi.