Latest Single - Lelaki Atas Awan

Monday, August 31, 2009

Hib


DIDDY SAMBUNG CINTA

Oleh Tengku Suzana Raja Hamat
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

Bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Diddy Hirdy tidak pernah mengalah dengan turun naik industri muzik. Buktinya sampai hari ini, Didy masih menyambung nafas bergelar penyanyi dan masih keluar masuk studio merakamkan lagu baru.

Selain perkembangan muziknya yang diintai media, ada seperkara lagi yang menarik tentang Syamsul Hirdy Muhid, 24, untuk dicatatkan buat pengetahuan semua.

Masuk ke dunia seni dengan menjunjung status tunangan orang, sehingga ke hari ini, isu pertunangan Diddy sering menjadi bahan bualan. Adakah masa, jiwa muda, populariti dan perbezaan status telah menghakis tembok cinta mereka?

Lagu Biar Diddy Sambung kini semakin mendapat sambutan. Itu antara penguat semangat Diddy.

Cinta Karier dan Tunang

Siapa kata hubungan pertunangan Diddy bersama tunangannya, Ellen Norazah Abdullah, 24, sudah retak menanti belah sebelum sempat mereka ke jenjang pelamin?

Tuan empunya diri, Diddy sendiri membuka mulut bahawa ikatan pertunangannya masih kukuh bahkan semakin matang, cuma hari bahagia mereka sahaja yang belum diputuskan tarikhnya.

"Masih, kami masih bertunang dan dia (Ellen) ada di Kuala Lumpur. Kami selalu berjumpa dan hubungan kami masih berjalan seperti dulu," ucap Diddy ringkas.

Selain menjawab pelbagai spekulasi dilontarkan pada hubungan pertunangannya, sama seperti lirik lagu terbaru penyanyi itu, Biar Diddy Sambung, ia sekaligus menjelaskan sesungguhnya belum ada jawatan kosong untuk hati Diddy mencari pencinta baru.

Bahkan, masih berpegang kepada prinsipnya, Diddy, 24, seboleh-boleh tidak mahu menayangkan gambar tunangnya di media, di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik.

Kata Diddy, tunangannya bukan selebriti mahupun artis, biarlah dia berada di belakang tabir sahaja. Janji Diddy kepada media, apabila sah bergelar suami isteri nanti, barulah mereka bersedia untuk merakamkan gambar bersama.

Sudah namanya bergelar artis, Diddy tidak lokek ketika soalan berbaur peribadi dibawa mengisi wawancara biarpun hajat pertemuannya bersama media sebenarnya untuk bercerita perkembangan terbaru tentang karier.

"Masa bertunang, ikut perancangan asal kami tidak akan ambil masa yang lama untuk berkahwin, tapi masuk tahun ini, sudah tiga tahun kami bertunang dan sampai sekarang belum diputuskan bila kami akan berkahwin.

"Ellen tidak pernah mendesak tetapi sebagai lelaki saya faham perasaannya, dia seorang wanita dan tidak ramai wanita yang sanggup menunggu lebih lama. Bila dah tetap tarikhnya nanti, saya akan beritahu," janji Diddy lagi kepada semua media.

Diddy cuma mengangguk dan tersenyum saat diusik bermacam persoalan tentang perancangan perkahwinannya. Bukan soal jodoh, cinta atau kahwin yang ralit menjadi bahan bicara Diddy, sebaliknya tumpuan pemuda tinggi lampai itu tempoh terdekat ini adalah kepada karier.

Biarpun sukses kariernya di persada seni tidaklah melantun hingga ke bintang, namun tidak mustahil, ada ketika lonjakannya mungkin mencecah awan.

Itu dimensi letaknya jejak penyanyi yang mahu dikenali sebagai Diddy Hirdy ketika ini. Bertahun-tahun program yang melahirkannya, Akademi Fantasia musim keempat ditinggalkan, Diddy kini selesa dengan imej, penerimaan serta kewujudannya di tengah-tengah atmosfera muzik yang banyak ragamnya ketika ini.

"Selepas keluar daripada AF, saya sedar karier nyanyian saya tidaklah terlalu 'meriah' tetapi ada peningkatan dan tidak statik.

"Saya selalu mahu tingkatkan kemampuan. Selain belajar main gitar dengan abang kandung saya, ada juga saya berjinak-jinak dengan lakonan. Jadi dari situ, penonton TV akan sedar bahawa saya masih wujud.

"Lebih penting adalah penghasilan single. Itu produk penting bagi artis seperti saya untuk terus berada dalam industri," getus Diddy yang semakin melonjak dengan single terbarunya, Biar Diddy Sambung yang sedang hangat diputarkan di corong radio.

Ibarat penyambung kepada kemunculannya dengan lagu Hilang yang popular sebelum ini, Biar Diddy Sambung yang menggunakan khidmat Cat sebagai komposer membuktikan percubaan Diddy untuk lebih peka terhadap kemahuan deria dengar peminat dan trend muzik semasa.

"Hasil idea Cat, katanya lagu itu akan lebih manis kalau ada elemen featuring, maka terbentuk Biar Diddy Sambung featuring Wangi. Alhamdulillah, penerimaan pendengar memberikan semangat kepada saya," jelas Diddy ketika ditemui dalam satu majlis santai pradengar single ketiganya untuk tahun 2009, Lelaki Atas Awan di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Diddy, ada sesuatu yang menarik perhatiannya terhadap lagu Lelaki Atas Awan. Berbeza dengan Hilang, Diddy dan pengurusnya Badrul Hashim menggelarkan konsep balada yang menjadi pilihannya kali ini sebagai balada gembira.

"Kita mahu cuba kelainan berbanding Hilang. Walaupun balada, Lelaki Atas Awan masih sebuah balada yang gembira, bukan balada kecewa, sedih atau pilu," kata Badrul atau lebih mesra dengan panggilan Bard di kalangan media.

Bagi Diddy pula, lagu yang lirik ditulis oleh Abie Abdullah itu seolah-olah membayangkan siapa diri Diddy ketika ini.

"Ia berkisarkan perasaan dan situasi seorang lelaki yang merasakan dirinya sudah dilengkapi dengan semua perkara, cinta dan karier. Dia puas dan sedang bahagia dengan hidupnya," tambah Diddy berterus-terang.

Sejak dari awal kemunculan sehingga ke hari ini, Diddy kekal dengan imej bersih dan mengelak daripada kontroversi.

Bakal diluncurkan ke stesen-stesen radio selepas Aidilfitri nanti, penghasilan single-single termasuklah Biar Diddy Sambung, Lelaki Atas Awan serta single terdahulu Sudah, merupakan strategi Diddy untuk tampil dengan sebuah lagi album studio keduanya, selewat-lewat hujung tahun nanti.

Memandangkan album agak sukar menjana wang, dari satu segi, kesungguhan serta kesanggupan Diddy dan Bard berdepan risiko kerana sanggup berbelanja lebih untuk penghasilan sebuah album penuh, bukan mini album atau sekadar single wajar dipuji.

"Terus-terang saya katakan, album pertama Diddy bukannya boleh buat duit sangat sebab peminat sekarang lebih gemar lagu yang dimuat turun menerusi Internet.

"Tapi kami masih percaya bahawa album adalah satu rakaman yang boleh disimpan lama dan setiap artis ada cara tersendiri untuk menghargai penerimaan peminat. Bagi saya dan Diddy kami memilih untuk membalas penghargaan peminat dengan album sebagai hadiah, tapi hadiah yang kena keluarkan belanja sendiri," jelas Bard.

Menariknya, demi peminat yang masih menyokong perjalanan karier Diddy, Bard merancang untuk tidak mengambil kira lagu sebaliknya hanya kos percetakan dan pembikinan dalam menetapkan harga jualan kaset atau CD album terbaru Diddy nanti.

Seperkara lagi yang ditekankan Diddy dan Bard, penghasilan album kedua kali ini juga dilakukan secara lebih teliti dan berhati-hati. Tujuannya adalah membaiki segala kelemahan yang dikenalpasti sewaktu album pertama dihasilkan.

"Single pertama, Sudah yang dihasilkan secara kolaborasi oleh Audi Mok, Nurfatimah dan Diddy sendiri ambil dua bulan untuk selesai rakaman.

"Dulu Diddy baru nak naik, jadi artis baru kena cepat-cepat ada produk atau album untuk dipromosikan. Lagu Lelaki Atas juga ambil masa selama dua bulan untuk disiapkan," jelas Bard lagi.

Tuesday, August 25, 2009

Selebriti



Lelaki Atas Awan
Single ketiga Diddy bakal temui peminat selepas Aidilfitri

Oleh Shakilawati Abd Rahman
shakilawati@hmetro.com.my

BAK ada di awangan apabila perjalanan hidupnya dirasakan sangat indah. Dalam usia muda, karier jejaka kelahiran selatan tanah air kian berkembang, lebih bermakna apabila hatinya terisi dengan kehadiran wanita yang bakal melengkapi hidupnya sebagai lelaki.

Lalu ceritera bahagia itu diabadikan dalam single ketiganya, Lelaki Atas Awan sentuhan kreatif Badrul Hisham dan nukilan lirik Abie Abdullah yang bakal menemui peminat selepas Aidilfitri nanti.

Bagi Diddy Hirdy, karya itu sangat istimewa kerana dapat berkongsi sisi peribadinya dengan mereka yang tidak jemu-jemu menyokong kembara seninya.

"Alhamdulillah selepas muncul dengan single pertama, Sudah, awal tahun ini disusuli single kedua, Biar Diddy Sambung, Julai lalu, saya akan memperdengarkan Lelaki Atas Awan tidak lama lagi.

"Dari awal pihak pengurusan berasakan lagu ini ada daya tarikan tinggi dan saya yakin ia dapat diterima ramai. Semua single akan dimuatkan dalam album kedua saya yang dijangka ada di pasaran penghujung tahun ini.

"Bingkisan kedua ini berbeza daripada album terdahulu. Paling ketara, lagu balada berlatar belakangkan cerita gembira bukan sedih seperti yang biasa kita dengar, malah melodinya lebih 'catchy'.

"Jika dulu saya banyak bereskperimentasi dengan muzik, kali ini saya sampaikan apa yang peminat mahu dengar. Selain Audi Mok dan Nurfatima, album ini banyak menggunakan khidmat komposer muda termasuklah Aizat. Saya turut menyiapkan sebuah lagu, namun belum ada judul," katanya yang akan menggunakan nama sendiri sebagai judul album.

Demi memastikan album ini menepati kualiti dan citarasa ramai, proses pembikinannya mengambil masa yang lama. Ini jelas berbeza dengan penghasilan album terdahulu di mana prosesnya pantas.

"Album kedua lebih persediaan. Kalau dulu saya hanya menerima lagu tiga atau empat hari sebelum rakaman, kali ini saya ambil masa dua bulan sebelum merakamkan sesebuah lagu. Selain tidak puas hati saya tidak akan masuk studio.

"Album ini hadiah saya buat peminat dan ia akan dijual dengan harga modal dan ia mampu dibeli sesiapa saja. Ini cara saya menghargai peminat," katanya yang mendapat sokongan padu daripada kelab penyokong, United Community Malaysia.

Tiga tahun bertapak dalam industri, Diddy bebas kontroversi, bahkan jejaka berusia 24 tahun ini sentiasa menjaga imej serta penampilannya. Katanya, seboleh mungkin dia cuba mengelak dikaitkan dengan cerita negatif kerana enggan menjadi bahan gosip murahan.

"Pihak pengurusan sentiasa mengingatkan saya supaya menjauhi kontroversi dan menjaga penampilan.

"Awal kemunculan, sya tidak peduli sangat soal imej tetapi setelah ditegur pengurus (Badrul Hashim), saya mula ambil berat perkara ini," katanya yang tidak akan memakai topi dan kaca mata hitam depan khalayak.

Mengupas sisi peribadi, pertunangan dengan buah hatinya mencecah usia tiga tahun. Tidak dinafikan bergelar insan seni dia tidak mampu lari daripada buruan peminat wanita, namun ikatan cinta suci bersama kekasih hati tidak pernah goyang.

"Bagi memastikan hubungan bertahan, kena faham karektor dan mengenal diri masing-masing. Cubalah memahami corak kerja pasangan, insya-Allah tak ada masalah.

"Tiada masalah untuk kami bertemu kerana tunang saya juga bekerja di Kuala Lumpur. Jika tidak terikat dengan apa-apa program, kami keluar bersiar-siar dan sesekali menonton wayang seperti pasangan kekasih lain.

"Dari awal saya tidak pernah merahsiakan ikatan ini, tetapi saya tidak mendedahkan tunang saya kepada media. Namun jika terserempak dengan peminat, saya akan memperkenalkan dia sebagai tunang saya.

"Mulanya risau juga peminat lari jika saya berterus-terang, tapi Alhamdulillah mereka juga terbuka dan sangat memahami. Mungkin kerana saya jujur dari awal, hubungan kami tiada masalah.

"Saya tahu tiga tahun adalah tempoh lama untuk ikatan pertunangan, tapi syukur dia faham keadaan saya dan tidak pernah mendesak perkahwinan kami dipercepatkan. Pun begitu, sebagai lelaki, saya tahu isi hati wanita dan tidak mahu dia ternanti-nanti. Insya-Allah kami akan melangsungkan hari bahagia tidak lama lagi," kata artis lelaki tempatan pertama menerima tajaan produk Clinique sejak hampir dua tahun lalu ini.

Sunday, August 23, 2009

Kosmo!



DIDDY ELAK PAKAI TOPI

Oleh Maliah Surip
Foto Azlan Hanif (AZ PHOTOGRAPHY)

DIDDY HIRDY
- begitu predikat komersial penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) tiga tahun lalu.

"Saya mahu berdiri di atas kaki sendiri dengan mencicirkan brand lain. Jadi, saya memilih untuk membawa nama sendiri iaitu Diddy Hirdy," kata pemuda berusia 24 tahun ini tanpa mengetepikan rasa terima kasih terhadap AF kerana menjadi platform buat dia menjadi anak seni.

Muncul dengan single terbaru yang diberi nama Lelaki Atas Awan karya Bad Hisham dan lirik oleh Abie, kata Diddy lagu berentak balada ini mempunyai kaitan dengan kisah hidupnya yang sedang bahagia kerana kerjaya biar tidak segah artis lain.

"Saya juga masih bahagia bersama tunang saya," katanya yang sudah tiga tahun mengikat pertunangan dengan sahabat zaman persekolahannya.

Agenda seninya pada Ramadan ini diisi dengan rakaman dua buah lagu untuk melengkapkan albumnya yang dijangka dipasarkan pada hujung tahun termasuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim.



Adab Bertemu Media
"Saya menjaga imej saya agar tidak terlibat dalam sebarang kontroversi. Kalau bercakap tentang imej, dari segi penampilan, saya mengajar diri supaya tidak memakai topi dan cermin mata hitam kala bertemu media. Saya rasa ia seperti tidak menghormati orang apabila bercakap dengan cermin mata hitam dan topi. Saya melatih diri menjadi yakin."

Menafikan Sesuatu Berita
"Mengapa perlu? Bagaimanapun ia bergantung kepada persepsi dan alasan individu tersebut. Keadaan yang memaksa saya menafikan sesuatu perkara adalah apabila ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan umum."

Lagu Raya yang Membangkit Semangat
"Lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Kalau dengar saja lagu itu, serta-merta rasa tak sabar nak balik kampung."

Kurma atau Bubur Lambuk
"Kurma. Saya suka kerana ia manis dan paling penting khasiatnya yang banyak. Saya kurang gemar bubur lambuk. Jadi kalau atas meja ada bubur lambuk dan kurma, pasti saya pilih kurma sebagai hidangan berbuka puasa."

Album Dulu dan Kini
"Album saya dulu banyak eksperimentasi berbanding album terbaru ini yang digarap lebih lama untuk memastikan sesebuah lagu itu menjadi lebih baik dari dahulu. Saya juga terlibat menulis satu lagu untuk album ini."

Dikesempatan ini Diddy ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat Islam. Semoga kita semua memperolehi keberkatan dari Allah S.W.T.

Salam Sayang
Diddy

Monday, August 10, 2009

Bi-Pop


Ada Chemistry!

Peminat boleh kata apa saja tetapi jangan sampai tunangan Diddy Hirdy marah

Oleh Suzan Ahmad

BAHASA tubuh dan keserasian yang dipancarkan dua penyanyi muda yang sedang mula mencari tapak di persada arena seni muzik tanah air cukup semula jadi. Hampir terpedaya jika tidak diberitakan pertama kali mereka bertemu adalah ketika masuk studio untuk menyempurnakan single terbaru Shamsul Hirdy Muhid, 24, atau lebih senang di sapa Diddy Hirdy berjudul Biar Diddy Sambung.

Boleh diterima akal memandangkan si bunga berasal dari tanah seberang (Indonesia) manakala si kumbang pula anak jati Kuala Lumpur.

“Terus terang Diddy katakan, pertama kali kami bertentang mata dan bertegur sapa adalah di studio sewaktu merakamkan single ini pertengahan Jun lalu. Memang kami agak malu-malu pada mulanya. Maklum selama ini hanya mengenalinya menerusi pembacaan dan cerita teman. Ternyata Wangi seorang yang cukup menghormati orang biarpun usia kami tidak pun banyak beza,” jelasnya yang mengakui semakin mereka mesra semakin terserlah sikapnya yang periang dan gila-gila.

Idea menampilkan Wangi dalam single nyanyian Diddy dicetuskan komposer, penerbit juga anggota Fabulous Cats, Cat Farish yang juga pencipta sepenuhnya lagu Biar Diddy Sambung. Merehatkan sebentar kerjaya lakonan ternyata membuktikan keutamaan terhadap nyanyian yang sekian lama berakar umbi.

“Lakonan perlu direhatkan buat sementara memandangkan sekarang ini dua projek membabitkan muzik bergerak serentak. Pertamanya album solo berkonsep modern pop yang membabitkan komposer seperti Aizat, Nurfatimah dan Audi Mok dan keduanya projek album duet yang masih berjalan dan dalam peringkat mengumpulkan bahan secukupnya,” kata anak muda itu.

Kelibat Diddy dalam bidang lakonan diakui cukup variasi dan dinamik. Jika dalam Rebab Tidak Bertali, membawa watak pemuda Kelantan yang pandai bermain Rebab dan bercakap dalam loghat Kelantan, Kasih Bebunga Lalang pula memerlukan pembawaan karakter yang emosi dan berat. Selain itu, Diddy turut membintangi Serakah Rashid, Otai (bual bicara), Sukun (semi-komedi) dan Jelma drama online yang sedang disiarkan di Gua.com.my

Jika Diddy Hirdy dibongkar bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia, Wangi pula atau Wangi Julianda Indra Meida, 19, pernah menyertai Indonesia Idol. Gadis lincah kelahiran Bandung ini juga rela untuk bercuti seketika daripada pengajian dalam bidang pengurusan selama setahun di Universitas Padjajaran semata-mata untuk mengejar cita membina nama dalam bidang nyanyian.

“Sebelum rakaman single ini bermula, Cat sudah lama memperdengarkan kepada saya. Cat minta saya karang sedikit kata-kata dan nada-nada yang masuk dengan melodi lagu mungkin kerana itu proses rakaman tidak rumit dan berjalan lancar,” ceritanya yang diam tak diam sudah enam bulan bersama The Fabulous Cats.

Hasilnya, gandingan Diddy Hirdy menampilkan Wangi menerusi Biar Diddy Sambung mendapat sambutan cukup membanggakan selepas hanya beberapa minggu dimainkan di stesen radio tempatan dan sudah pun mula mendaki carta muzik popular stesen radio swasta tanah air.

Dalam pada kerjaya seninya menunjukkan graf yang positif, sebagai anak rantau Wangi akui, bukan mudah bagi keluarga untuk melepaskan anak gadis sepertinya berdikari dan mencari hala tuju diri di negara orang. Kerana itu juga, Wangi sering berulang alik ke kampung halaman sekali sebulan atau paling tidak pun, orang tuanya akan datang berkunjung setiap kali rindu menebal.

“Memang pada mulanya agak sukar untuk berjauhan dari keluarga, tetapi sekarang syukur saya pun menetap dengan rakan senegara yang sedang menuntut di sini, jadi lebih selesa,” jelasnya yang sedang memikirkan untuk menyambung pengajian di sini saja jika keadaan mengizinkan.

Ditanya mengenai perancangan kerjayanya, selepas Aidilfitri nanti, Fabulous Cats akan tampil dengan single terbaru album ketiga mereka Fabulous City yang berjudul Cinta Kosmik. Jika tiada halangan pihaknya bakal mempromosikan single dan album ini di Malaysia dan juga Indonesia.

Ditanya mengenai kemesraan yang semakin terserlah di antara Wangi dan Diddy sejak terbabit dalam kerjasama itu, jawab Wangi ringkas sambil menjeling Diddy dan ketawa, "Peminat boleh mengatakan apapun, tapi jangan sampai tunangan Diddy marah nanti ya."