Latest Single - Lelaki Atas Awan

Tuesday, July 21, 2009

Gua

Diddy Masih Tunangan Orang

by Syaliza Shapiansuri | 6 Jul 2009





Status diri pemilik nama Syamsul Hirdy atau nama komersilnya, Diddy Hirdy sentiasa menjadi tanda tanya. Sejak muncul bersama rancangan realiti, Akademi Fantasia 4 (AF4), umum tahu lelaki ini sudah dimiliki.

Namun selepas megorak langkah sebagai artis solo, ramai kurang pasti sama ada Diddy masih setia bergelar tunangan orang atau sebaliknya. Bertanya sendiri kepada empunya diri, jejaka Kuala Lumpur ini mengakui tiada sebab untuknya memutuskan pertunangan yang kini memasuki tahun ketiga.

“Siapa yang tidak mahu mengakhiri pertunangan dengan ikatan perkahwinan. Keinginan untuk berkahwin ada, tapi buat masa ini ianya perlu ditangguhkan dulu kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya,” itulah pengakuan ikhlas yang terbit dari mulut anak muda 24 tahun ini.

Tahu keburukan yang bakal ditempuhi akibat terlalu lama bertunang, Diddy tidak menafikan kata-kata itu adakalanya membuatkan dia gerun.



“Memanglah pesan orang-orang tua jangan terlalu lama bertunang, namun, sebagai lelaki saya mempunyai tanggungjawab besar sekiranya mendirikan rumahtangga. Saya perlu memikirkan dari segenap sudut, iyalah bukan senang nak tanggung orang baru dalam kehidupan kita. Sebab itu dari sekarang saya bekerja keras dan memastikan kewangan stabil,” tambahnya.

Baik Diddy atau tunangnya, mereka sama-sama masih setia melayari alam pertunangan dan setiap gosip yang hadir dalam hidup mereka tidak sedikitpun mengganggu dan menganggap ianya sebagai jenaka yang sengaja direka untuk ‘membunuh’ perasaan cinta masing-masing.

Lakonan dan nyanyian seiring
Sekiranya anda penonton setia rancangan tempatan, pasti sedar kemunculan Diddy di kaca televisyen sejak kebelakangan ini. Selain bakat nyanyian yang mula diperkenalkan pada 2006, Diddy mengorak setapak lagi apabila menceburi bidang lakonan pula.

Apakah jejaka yang popular dengan lagu “Hilang” mula merasakan kehambaran industri hiburan tempatan, sehingga dia bergelar pelakon pula?

“Sebenarnya baik nyanyian atau lakonan, kedua-duanya berjalan seiring. Alhamdulillah, undangan nyanyian tidak pernah putus, barangkali kerana kurang publisiti mengenai aktiviti nyanyian saya, maka orang menganggap saya sudah tidak mahu menyanyi lagi,” terangnya.

Kerjaya lakonan yang baru diceburinya sejak 2008 bermula tanpa sengaja. Waktu itu dia sekadar memenuhi undangan pengarah, Saiful Bahari dalam telefilem ‘Rebab Tidak Bertali’. Memegang peranan penting sebagai pemain rebab berdarah Kelantan, Diddy terpaksa berdepan cabaran untuk lakonan pertamanya itu.


“Memang sukar kerana saya perlu belajar berdialog dalam bahasa Kelantan, sedangkan saya tidak pernah tahu dialeknya dan dalam masa sama perlu menjadi pemain rebab. Bayangkan kesukaran belajar dua perkara untuk satu telefilem. Tapi saya hadapinya dengan sabar dan belajar dengan pengurus dan pengarah untuk menuturkan dialog dalam dialek Kelantan,” kata Diddy.

Sejak dari itu dia mula merasai keseronokan pengalaman baru dalam hidupnya. Sehingga kini sudah enam telefilem dan drama dibintanginya. Setiap tawaran yang diterima mempunyai pelbagai watak dan dia tidak pernah takut untuk mencuba.

Terbaru, Diddy melakonkan watak seorang ustaz dalam drama online terbitan gua.com.my, ‘Jelma 2’. Walau pertama kali melakonkan watak ustaz dan drama bergenre seram, dia seronok melakonkannya.

“Saya sahut cabaran walaupun tahu diri ini tidaklah sehebat orang pandai agama. Watak ustaz Hafiz memerlukan saya berdepan ancaman syaitan dan perlu menghapuskan makhluk itu.

“Seronok juga berlakon drama ini, sekurang-kurangnya saya peroleh pengalaman pegang watak ustaz. Malah ini drama pendek pertama lakonan saya, walaupun cara lakonan sama, mungkin masa tayangan dan pendekatan berbeza,” jelasnya.

Album baru
Walau sedang laris sebagai pelakon, Diddy akan muncul dengan album baru pada akhir 2009 ini. Masih mengetengahkan konsep pop moden, setakat ini proses mengumpul lagu sedang rancak dijalankan.

“Setakat ini antara komposer dan pencipta lagu yang bekerjasama adalah Nurfatima, Aizat, Audi Mok dan Badhisham. Saya juga sedang berusaha mendapatkan khidmat Sharon Paul dan Omar K,” katanya yang sedang popular dengan lagu “Sudah” dan “Biar Diddy Sambung”.

Album keduanya itu bakal menampilkan lebih banyak lagu berentak balada seperti yang dimahukan peminat. Selain album solo, Diddy juga bakal tampil dengan album duet, namun masih dalam perancangan.

Dipetik dari gua.com.my