Latest Single - Lelaki Atas Awan

Monday, March 30, 2009

Mangga

Bismillahirrahmanirrahim


Seperti yang Diddy janjikan, ni adalah antara beberapa gambar yang dirakamkan ketika sessi fotografi bersama Majalah Mangga. Kalau tak salah Diddy, ianya adalah untuk keluaran bulan April. Rasanya Majalah Mangga keluaran April sudah ada dipasaran sekarang. Sessi fotografi dan ketika membuat persembahan adalah masa yang Diddy rasa paling banyak dapat diluangkan sesama teman seperjuangan. Ketika ni baru kami berpeluang untuk bertanya khabar, bercakap tentang perkembangan dunia hiburan dan perkara2 lain yang berkaitan. Terima kasih banyak2 Diddy nak ucapkan kepada Kak Ai dari Majalah Mangga yang sering jemput Diddy untuk sessi fotografi.


Diddy baru saja pulang dari Road Tour Lelong Amal Suria FM di Sungai Petani, Kedah dan di Taiping, Perak. Diddy sampai di rumah lebih kurang pukul 1.30 pagi tadi. Memang letih tapi Diddy sangat seronok dapat ke sana sambil berhibur dan membantu dapatkan derma. Alhamdulillah barang2 yang Diddy lelongkan dapat mengutip lebih RM500. Walaupun tak begitu banyak, sekurang2nya Diddy harap ianya dapat menyumbang kepada mereka yang amat memerlukan.


Minggu ni sekali lagi jadual Diddy agak padat. Bermula dengan hari ni Diddy akan bertemu dengan Encik Ramli MS pada petang nanti untuk mendapatkan music guide dan lain2 informasi berkaitan dengan persembahan Diddy untuk Malam Anugerah Bintang Popular 2008 nanti. Jangan lupa nanti untuk menonton ABPBH'08 sama ada di Genting Highlands atau di kaca tv di saluran TV3. Siaran langsung ABPBH'08 juga boleh didengari melalui Radio Hot FM.


Pada 2 April nanti Diddy mendapat jemputan untuk menghadirkan diri ke majlis 'Estée Lauder Companies Earth Month 2009' dianjurkan oleh Estée Lauder Companies Malaysia, yang akan diadakan di Delicious, Ground Floor, Mid Valley Megamall bermula pada pukul 10 pagi. Diddy dijemput hadir sebagai Celebrity of Clinique.


Pada hari Jumaat malam pula sekali lagi Diddy akan masuk ke studio untuk rakaman single yang baru. Lagu yang belum ada tajuk ni dihasilkan oleh komposer Bad Niskala dan liriknya pula oleh Abie. Diddy sangat suka dengan melodi dan lirik untuk lagu ni. Selain tu Abang Badrul memberi Diddy peluang hampir dua bulan untuk menghayati lagu baru ni supaya Diddy mampu berikan penghayatan paling terbaik. Cabaran yang besar untuk Diddy.


Diddy ingin ucapkan rasa terima kasih kepada semua di Suria FM kerana sudi menjemput Diddy mengikuti Road Tour Lelong Amal. Terima kasih untuk layanan yang mesra. Diddy seronok dapat bertemu dengan peminat2 di Sungai Petani, Kedah dan di Taiping, Perak. Terima kasih juga untuk sokongan semua.

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, March 25, 2009

Lelong

Bismillahirrahmanirrahim

Diddy di Suria FM

Semalam iaitu malam Isnin Diddy ke Suria FM untuk sessi temuramah bersama dengan Akhtar dalam program Suria 8-11. Tujuan Diddy ke sana adalah untuk mempromosikan Road Tour Lelong Amal Suria FM yang akan berlangsung di Village Mall, Sungai Petani, Kedah pada hari Sabtu ni dan juga di Taiping Sentral, Taiping, Perak pada hari Ahad. Selain Diddy, antara artis2 yang akan turut menghiburkan nanti adalah Alyah, Bandi Amuk, Devine Master, Farawaheeda, Azizi dan semua DJ2 Suria FM. Diddy dah lama tak berjumpa dengan Lotter dan tak sabar rasanya untuk ikut Road Tour Suria FM ni.

Bersama Akhtar untuk Suria 8-11

Memang betul orang kata kalau badan kita letih, fikiran kita pun tak dapat berfungsi dengan baik. Diddy pun tak ingat apa yang Diddy cakap ketika sessi temuramah dijalankan. Banyak yang berbual kosong hehehe! Walaupun banyak panggilan yang masuk, Diddy berpeluang untuk bercakap dengan dua orang sahaja. Seorang peminat Diddy dari Melaka bernama Siti dan seorang lagi dari Kajang bernama Tasya. Terima kasih kerana sudi telefon dan Diddy minta maaf kalau ada gurauan Diddy yang terlebih =) Terima kasih lagi sekali.

Di dalam studio Suria FM

Bila Diddy tengok kembali gambar2 yang diambil ketika di Suria FM Diddy rasa kulit Diddy agak gelap kerana banyak berjemur sepanjang penggambaran telefilem Anak Dr. Rashid. Cuaca di sekitar Lembah Klang minggu lepas memang panas terik. Tambahan pula dengan lampu2 yang digunakan agak panas. Tapi Diddy tak kisah sangat. Diddy anggap satu perkara biasa macam kita bercuti di tepi pantai =) Road Tour Lelong Amal Suria FM memerlukan setiap artis menyediakan empat barangan peribadi untuk di lelong. Dua barangan untuk setiap lokasi. Diddy pun tak tahu barangan yang mana akan dilelongkan di lokasi tersebut tetapi Diddy nak letakkan di sini barangan yang akan Diddy lelongkan. Ada cerita di sebalik setiap barangan tersebut.

Set Travelling Dunhill

Set Travelling Dunhill ni Diddy beli ketika bercuti bersama keluarga. Diddy suka wangiannya dan Diddy memang bercadang untuk menggunakannya ketika ada persembahan luar dari Kuala Lumpur. Set Dunhill ni ada satu botol wangian kecil dan dua barangan lain. Diddy masih belum gunakan lagi set ni. Kalau nak tahu, Diddy memang penggemar wangian dan Diddy suka kumpul macam2 jenis wangian. Ada yang Diddy beli sendiri dan ada yang dihadiahkan oleh ahli keluarga, teman2 dan peminat2.

Patung Koala Bear hadiah peminat dari Australia

Patung Koala Bear ni adalah hadiah istimewa dari peminat Diddy iaitu Kak Yuni dan Abg Lan yang menetap di Melbourne, Australia. Koala Bear ni adalah hadiah pertama yang Diddy pernah dapat dari luar negara dan Diddy memang hargai sangat. Minggu lalu Diddy dah hubungi Kak Yuni melalui email dan beritahu tentang lelong amal yang bertujuan mengutip sebanyak mungkin derma untuk Tabung Pusat Perlindungan PERNIM ( Pusat perlindungan untuk anak2 yang mengidap H.I.V. Positive). Kak Yuni bersetuju dengan cadangan Diddy untuk melelong Koala Bear ni. Walaupun Diddy sedih kerana ianya sangat berharga pada Diddy, tapi Diddy tahu ianya adalah untuk tujuan amal.

Jaket Corduroy Cokelat

Jaket corduroy berwarna cokelat ni Diddy beli dengan duit gaji pertama yang Diddy dapat bersama F-Tersix Records. Memang banyak kenangan manis yang Diddy lalui dengan jaket cokelat ni. Pada awal2 dulu Diddy pakai jaket ni untuk sessi fotografi dan juga buat persembahan. Ada ketikanya bila Diddy ada persembahan di luar Kuala Lumur dan jika bilik hotel terlalu sejuk, jaket ni jugalah yang menjadi selimut tidur Diddy. Jaket ni tersimpan rapi dalam almari Diddy kerana sangat sayang dengan kenangan yang ada bersama jaket ni.

Jaket Denim Biru

Jaket Denim biru ni pula Diddy beli untuk persembahan ketika single pertama Diddy bersama Yanie iaitu Saling Persona dimainkan di radio. Persembahan pertama Diddy bersama Yanie di majlis yang diadakan oleh Majalah I-Remaja dua tahun dulu Diddy pakai jaket ni. Detailing pada jaket denim biru ni dibuat oleh pereka fesyen Hazwani Osman ketika sessi fotografi bersama Harian Metro. Diddy juga pakai jaket denim biru ni untuk sessi fotografi bersama Yanie untuk Majalah Mangga satu ketika dulu. Jaket ni adalah salah satu jaket kegemaran Diddy kerana potongannya memang bersesuaian dengan Diddy.

Kalau ada yang ingin dapatkan barangan peribadi Diddy atau artis2 lain, jangan lupa untuk datang ke Road Tour Lelong Amal Suria FM di Village Mall, Sungai Petani, Kedah pada hari Sabtu ni dan juga di Taiping Sentral, Taiping, Perak pada hari Ahad. Sama2 kita menderma untuk Tabung Pusat Perlindungan PERNIM.

Salam Sayang
Diddy

Tuesday, March 24, 2009

Keletihan

Bismillahirrahmanirrahim

Diddy sebagai Dr. Rashid

Penggambaran Telefilem Anak Dr. Rashid baru habis malam tadi. Memang telefilem ni paling meletihkan untuk Diddy. Setiap hari selama lapan hari waktu persediaan bermula pada pukul 8 pagi atau selewat2nya pukul 10 pagi dan ia hanya berakhir keesokkan paginya sekitar pukul 1 atau 2 pagi. Hari Ahad lepas penggambaran berakhir pukul 4 pagi! Secara puratanya Diddy bekerja selama 17 hingga 18 jam setiap hari.

Menunggu giliran untuk penggambaran

Banyak pengalaman manis yang Diddy dapat dari telefilem Anak Dr. Rashid. Diddy berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah Royromani. Pada Diddy Abang Roy sangat teliti sebagai pengarah. Apa yang tidak kena ditegur secara baik dan dia juga suka berjenaka. Pihak produksi juga mesra dengan semua. Ada di antara mereka Diddy sudah kenal melalui penggambaran telefilem sebelum ni seperti penolong pengarah Abang Rosdi, Wani yang bertugas sebagai penjaga konti serta Abang Fario yang penjadi pengurus produksi dan pelakon dalam telefilem ni.

Bersama Abang Rosdi selaku Penolong Pengarah

Antara pengalaman yang Diddy tak dapat lupakan ialah ketika tangan Diddy digari dan kena naik kereta peronda polis. Memang satu cabaran kerana tangan Diddy luka2 akibat kesan digari. Selain tu tentulah penggambaran yang berakhir sehingga pukul 4 pagi adalah pengalaman pertama yang Diddy lalui. Dua telefilem sebelum ni penggambarannya sentiasa habis dilakukan tepat jam dua belas malam. Letih tapi menyeronokkan. Ketika penggambaran telefilem Anak Dr. Rashid ni berlangsung, Diddy dapat lagi satu tawaran untuk berlakon dalam sebuah lagi telefilem tetapi memandangkan waktu penggambarannya bertindih sehari dua terpaksalah tawaran tersebut ditolak. Diddy belum cukup berpengalaman untuk berlakon dalam dua telefilem pada satu masa.

Bersama Fazurina sebagai Mira

Diddy nak ucapkan terima kasih kepada semua pelakon2 yang banyak membantu Diddy memberikan tunjuk ajar sepanjang berlangsungnya penggambaran telefilem Anak Dr. Rashid ni. Terima kasih kepada Abang Faizal Hussein, Fazurina, Ozzlyn Wati, Abang Fario, Mak Delima Wati, Nabila Nassier dan semua. Terima kasih juga buat Abang Roy, Abang Rosdi, Wani dan krew2 lainnya.

Bersama Fario sebagai Ezani

Tentunya tak lupa juga ucapan terima kasih pada semua yang tak jemu2 memberikan kata2 semangat untuk Diddy diruangan komen. Diddy minta maaf kerana sepanjang penggambaran berlangsung Diddy tak berpeluang langsung untuk menjawab komen2 semua. Ada satu hari tu Diddy hanya sempat tuliskan status Diddy di Facebook. Keletihan melanda memerlukan Diddy berehat sepenuhnya bila ada peluang =)

Bersama Ozzlyn Wati sebagai Fiona

Minggu ni juga jadual Diddy agak penuh. Malam nanti Diddy akan berada di Suria FM untuk temuramah bersama dengan Akhtar pada pukul 8 malam. Hari Rabu Diddy ada fitting baju. Hari Jumaat pula Diddy ada sessi fotografi bersama Bi-Pop Berita Minggu dan Murai.com. Hari Sabtu Diddy akan ke Village Mall, Sungai Petani, Kedah sempena Road Tour Lelong Amal Suria FM dan pada hari Ahad pula Diddy akan berada di Taiping Sentral, Taiping, Perak untuk Road Tour yang sama. Sebelum Diddy lupa, Diddy juga nak beritahu pada semua Diddy akan buat persembahan pada Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 pada 12 April nanti di Genting Highlands. Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T. dengan rezeki anugerah-Nya kepada Diddy.

Salam Sayang
Diddy

Saturday, March 14, 2009

Rashid

Bismillahirrahmanirrahim


Syukur Alhamdulillah temujanji Diddy pada petang Jumaat tadi berjalan dengan lancar. InsyaAllah bermula pada hari Ahad atau Isnin ni Diddy akan terlibat dalam penggambaran telefilem terbaru berjodol Anak Doktor Rashid. Telefilem Anak Doktor Rashid ni adalah terbitan Nusantara Seni Karya (NSK) di bawah arahan pengarah Royromani untuk siaran Astro. Selepas solat Jumaat tadi juga Diddy telah menerima skrip dan jadual penggambaran untuk telefilem ni.

Diddy sangat bersyukur kerana ni adalah telefilem lakonan Diddy yang ketiga dalam tempoh lima bulan. Walaupun dua telefilem lakonan Diddy sebelum ni iaitu Rebab Tidak Bertali dan Kasih Berbunga Lalang masih lagi menanti tarikh tayangan di kaca TV, Diddy sekali lagi diberi kepercayaan yang tinggi untuk melakonkan watak utama dalam telefilem Anak Doktor Rashid. Dalam telefilem ni Diddy akan memegang watak Rashid.

Ramai pelakon2 yang mempunyai nama besar dalam industri lakonan akan turut berlakon di dalam telefilem Anak Doktor Rashid. Antaranya ialah Faizal Hussein, Fazurina, Fario dan beberapa orang lagi. Penggambaran telefilem ni akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selama lapan hari bermula pada hari Ahad, 15 Mac sehinggalah hari Ahad, 22 Mac nanti. Kalau tak silap Diddy telefilem ni juga akan ditayangkan pada bulan April nanti.

Berkemungkinan besar selama tempoh penggambaran dijalankan, Diddy tidak akan berpeluang untuk menulis di blog Diddy sekerap selalu. Watak Diddy dalam telefilem Anak Doktor Rashid agak berat dan Diddy mempunyai banyak babak yang perlu dilakonkan setiap hari. Kalau mengikut jadual yang Diddy ada, penggambaran akan bermula awal pagi sehingga lewat malam. Tetapi bila Diddy ada peluang, InsyaAllah Diddy akan cuba baca komen dan balas komen2 semua. InsyaAllah.

Syukur Alhamdulillah.

Salam Sayang
Diddy

Friday, March 13, 2009

Ewah2-2

Bismillahirrahmanirrahim


Sejak pulang daripada sessi Road Tour ABPBH'08 di Pasir Gudang, Johor, pada hari Isnin lalu jadual Diddy agak padat. Hari Selasa Diddy terlibat dengan rakaman Ewah2 untuk kali kedua. Kali pertama dulu Diddy dijemput sebagai perserta, tetapi kali ni Diddy hadir sebagai artis jemputan untuk membuat persembahan. Antara selebriti2 lain yang turut terlibat adalah Iqram Dinzly, Fauziah Gous, Sherry, Ashraf Muslim, Aliff Satar dan Wan Sharmila. Oleh kerana mereka inginkan lagu rancak, pada sessi rakaman tersebut Diddy mempersembahkan dua buah lagu iaitu lagu Lena dan juga Sana. Hingga hari ni Diddy masih belum berkesempatan untuk menonton Ewah2 di kaca TV. Tetapi apa yang boleh Diddy katakan, telatah Nabil dan Kak Engku yang menjadi hos rancangan Ewah2 sungguh menghiburkan. Memang tak kering gusi kerana asyik ketawa dengan telatah mereka. Hampir pukul lapan malam baru rakaman habis dijalankan.


Pada hari Rabu pula Diddy ada sessi fotografi bersama Berita Harian. Sessi fotografi ni adalah untuk memperkenalkan pereka fesyen yang akan menghasilkan pakaian Diddy untuk majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 di Genting Highlands pada 12 April nanti. Pereka fesyen untuk Diddy kali ni adalah Michael Shu. Nanti Diddy akan ceritakan lebih lanjut dan letakkan gambar2 yang diambil dalam tulisan Diddy seterusnya. Ni adalah kali pertama Diddy bekerjasama dengan Michael Shu. Untuk dua Anugerah Bintang Popular sebelum ni Diddy bekerjasama dengan Hazwani Osman. Habis sahaja sessi fotografi yang diadakan di butik Michael Shu, Diddy terus ke gimnasium.


Pada hari Khamis pula Diddy ada temujanji di Sri Pentas, Damansara. Antara perkara yang Diddy sangat kagum dan hormat pada Abang Badrul ialah dia tidak pernah mengetepikan Diddy dalam apa juga temujanji penting terutamanya yang melibatkan karier Diddy. Setiap urusan dijalankan dengan telus dan Diddy diberikan kebebasan untuk membuat keputusan. Dia akan memberikan pendapat dan pandangan dari sudut positif dan negatif. Ada kalanya dia akan membuat keputusan yang tegas tetapi ianya disertakan dengan sebab yang wajar. InsyaAllah bila keputusan hasil temujanji tersebut dicapai, Diddy akan ceritakan di blog. Buat masa sekarang ianya masih terlalu awal. Banyak sungguh benda yang nak Diddy ceritakan =)


Hari Jumaat pula Diddy ada lagi satu temujanji yang Diddy perlu hadir. Walaupun secara lisannya perkara ni sudah dipersetujui kedua2 belah pihak, tetapi masih belum ada hitam putihnya secara bertulis. InsyaAllah bila habis temujanji nanti Diddy akan dapat jawapan sepenuhnya dan Diddy akan tuliskan di blog pada hari Sabtu nanti. Kalau ianya sudah ditentukan Allah S.W.T. menjadi rezeki Diddy, InsyaAllah Diddy akan sibuk sepanjang minggu hadapan. Doakan untuk Diddy ya =)

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, March 11, 2009

Johor

Bismillahirrahmanirrahim

Bersama Shila dan Ikhwan =)

Kalau ikut kepada kehendak badan, kepala Diddy memang inginkan bantal tetapi sudah beberapa hari Diddy tidak menulis di blog. Jadi Diddy ingin sudahkan menulis cerita tentang Road Tour Anugerah Bintang Popular Berita Harian '08 di Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru. Pertama kali Diddy melihat bas Sinarmas yang membawa kami semua ke Johor Bahru, Diddy sudah kagum. Bas dua tingkat yang kami naiki lengkap dengan "ruang tamu" untuk bersantai dan berkaraoke. Bas tersebut juga lengkap dengan ruang dapur kecil untuk penyediaan makanan ringkas dan peti sejuk untuk menyimpan minuman. Ruang tempat duduk di bahagian atas juga sangat selesa dan lengkap dengan TV untuk menonton DVD dan juga karaoke. Memang Diddy kagum dengan sistem pengangkutan awam di negara kita.

Bergambar di hadapan bas Sinarmas =)

Perjalanan ke Johor Bahru agak terlewat kerana jalan sesak teruk pada hari Sabtu. Beberapa jalan utama ditutup kerana ada tunjuk perasaan. Malah perjalanan agak perlahan sehinggalah ke Nilai, Negeri Sembilan. Memandangkan bas Sinarmas yang digunakan agak baru, memang keadaan di dalam bas sangat sejuk. Beberapa kali juga kami di dalam bas meminta penghawa dingin diturunkan. Sepanjang perjalanan memang menghiburkan dengan telatah Along dan Angah dari Raja Lawak. Shila pula berkaraoke hampir tiga puluh buah lagu. Walaupun tak ramai yang menaiki bas tetapi suasana tetap ceria.

Bersama Shila, Fizo Omar dan Ikhwan =)


Bersama Nubhan =)

Kami tiba di Hotel Seri Malaysia lebih kurang pukul 8 malam. Makan malam yang disediakan di hotel juga sangat sedap. Mungkin suasana sejuk di dalam bas menyebabkan kami semua kelaparan =) Selepas dapat bilik masing2 Diddy hanya berehat di dalam bilik. Perjalanan dengan bas Sinarmas memang selesa dan menyeronokkan tetapi pada masa yang sama perjalanan jauh memang meletihkan. Diddy perlukan rehat yang cukup untuk membuat persembahan. Tetapi seperti selalunya setiap kali Diddy berada di tempat yang bukan menjadi kebiasaan Diddy, sukar untuk Diddy melelapkan mata.





Pada hari Ahad ketika makan tengahari Diddy diberitahu yang Diddy perlu membuat persembahan sebanyak tiga buah lagu. Ni kerana Mila yang sepatutnya turut serta untuk sessi Road Tour ni tidak dapat hadir kerana demam. Diddy harap semoga Mila cepat sembuh. Sebelum berangkat ke lokasi kami semua bergambar beramai2 di hadapan bas Sinarmas dan Hotel Seri Malaysia. Perjalanan dari hotel ke Kompleks Pasir Gudang begitu pantas kerana diiringi oleh pasukan polis peronda. Terasa seperti V.I.P. pun ada =)

sessi autograf =)

Ketika di Kompleks Pasir Gudang keadaan di bilik menunggu tidak begitu selesa. Penghawa dingin tidak berfungsi dan mereka meletakkan dua buah kipas besar di dalam bilik tersebut. Oleh kerana tidak ada ruang pengudaraan dan pintu sentiasa di tutup, keadaan di dalam bilik sangat panas dan berbahang. Ada juga beberapa orang yang merokok di dalam bilik tersebut menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak selesa. Diddy berpeluh2 berada di dalam bilik tersebut. Walaupun ramai orang yang berada di dalam Kompleks Pasir Gudang tetapi suasana di atas pentas lebih selesa berbanding di dalam bilik menunggu. Diddy rasa setiap artis yang datang tidak sabar menunggu giliran untuk naik ke pentas =)

Bersama orang kuat ABP, Kak Cham dan Encik Wan di restoran ayam penyek =)

Selesai persembahan, kami semua di bawa makan nasi ayam penyek. Diddy memang minat dengan nasi ayam penyek kerana apa yang disediakan semuanya adalah kegemaran Diddy. Selepas makan malam kami sepatutnya pulang terus ke Kuala Lumpur tetapi pada saat2 akhir di dalam bas, semua mengambil keputusan untuk bermalam satu malam lagi di Hotel Seri Malaysia dan hanya bertolak balik ke Kuala Lumpur pada pagi hari Isnin. Satu perkara yang menyeronokkan pada Diddy ialah siri Road Tour ABP sebenarnya merapatkan lagi hubungan bukan sahaja antara artis dan peminat tetapi juga sesama artis. Sekian sahaja laporan Diddy mengenai Road Tour ABP'08 di Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru hehehe =)

Salam Sayang
Diddy

Friday, March 6, 2009

Promo

Bismillahirrahmanirrahim

Antara artis yang turut serta; Aaron, Fizow dan Diddy.

ABPBH 2008: 13 artis di Pasir Gudang

Siri jelajah ABPBH 2008 berkunjung ke Johor, esok dan Ahad

SELEPAS berjaya berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung ke Village Mall, Sungai Petani, hujung minggu lalu, sebahagian calon peringkat akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 akan berkunjung menemui peminat ke selatan tanah air pula iaitu Pasir Gudang, Johor hujung minggu ini.

Mereka akan mengharungi perjalanan selama empat jam menaiki bas dua tingkat tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Bagi peminat setia anugerah berprestij ini, jangan ketinggalan nantikan kehadiran finalis ABPBH 2008 di Kompleks Pasir Gudang, Johor, Ahad ini. Mereka bersedia untuk ‘menggegarkan’ Pasir Gudang buat kali keempat tempat jam 3 petang pada 8 Mac ini.

Seramai 13 finalis membabitkan penyanyi, pelakon, pelakon komedi dan personaliti TV serta radio bakal memeriahkan siri jelajah kedua untuk tahun ini. Antaranya ialah Aaron Aziz, Mila, Fasha Sandha, Fizzow Omar serta tidak ketinggalan Kenchana Dewi dan penyanyi baru, Nubhan.

Nantikan juga kemunculan artis undangan yang akan bersama-sama memeriahkan siri jelajah ini iaitu Diddy, Shila OIAM, pasangan suami isteri, Khai & Rosma; bekas peserta Raja Lawak, Along dan Angah serta Ikhwan daripada Hot FM.

Sumber: Berita Harian Online

Selamat berhujung minggu dan selamat menyambut Maulidur Rasul.

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, March 4, 2009

Tour

Bismillahirrahmanirrahim

Gambar ketika Road Tour ABPBH'07 di Kuala Terengganu.

Kalau tidak ada aral melintang, Diddy akan mengikuti Road Tour Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH'08) yang akan berlangsung hujung minggu ni di Pasir Gudang, Johor. Minggu lalu pihak penganjur menghubungi pihak pengurusan Diddy untuk membawa Diddy ke sana sebagai artis jemputan. Seperti semua sedia maklum, Diddy bukanlah finalis dalam mana2 kategori =) Diddy ke sana atas tiket artis jemputan.

Ketika mempromosikan barangan pihak penaja

Mengikuti sessi Road Tour ABPBH'08 pasti mengundang kenangan tahun lalu kerana pada tahun lepas Diddy ikut kesemua sessi road tour yang diadakan. Diddy letakkan di sini antara gambar2 yang Diddy suka dari sessi road tour terdahulu. Diddy masih ingat ketika pengumuman pencalonan kategori Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian'07 di Genting Highlands, mereka menggelarkan Diddy Raja Road Tour hehehe! Sepanjang road tour tahun lalu Diddy melalui pengalaman hebat kerana dapat mempromosikan album sulung Diddy ketika tu.

Ketika mempromosikan kota keriangan Genting Highlands

Antara yang Diddy tak dapat lupakan ialah ketika membuat road tour di Pantai Timur terutamanya di Kelantan dan Terengganu, ramai peminat2 di sana yang memanggil Diddy dengan nama Dafi. Mula2 tu Diddy rasa sangat pelik kerana tak mungkin mereka tak boleh nak membezakan antara Diddy dan Dafi. Hinggalah pada satu ketika Abang Badrul memberikan penjelasan bahawa Dafi yang mereka maksudkan adalah karektor Fazren dalam drama bersiri Spa Q. Mereka ingat Diddy adalah Fazren!

Ketika Road Tour ABPBH'07 di Kota Bahru, Kelantan

Selain Diddy, antara artis2 yang akan turut sama ke Pasir Gudang hujung minggu ni adalah Mila, Aaron Aziz, Nubhan, Kenchana Dewi, Khai, Rosma, Shila, Along dan Angah dari Raja Lawak, Ikhwan dari Hot FM, Fizo Omar dan Fasha Sandha. Sepatutnya Nurfatima turut sama untuk kami berdua mempromosikan lagu Sudah tetapi Nur terikat dengan jadual teater Ibu Zain jadi dia tak dapat ikut serta. Kalau sesiapa ada di sekitar Pasir Gudang, Johor Bahru atau di mana2 sahaja yang ingin datang, jangan lupa ke Kompleks Pasir Gudang pada hari Ahad ni. Jumpa nanti =)

Salam Sayang
Diddy

Tuesday, March 3, 2009

Birthday

Bismillahirrahmanirrahim

Bersama Kayun dan Icha

Hari Sabtu lalu Diddy dijemput oleh Auntysms untuk menghadiri sambutan ulangtahun Niessa @ Icha yang ke dua puluh. Abang Badrul sebenarnya sudah berpakat awal2 dengan Auntysms untuk buat kejutan pada Icha. Memandangkan Diddy tidak berapa mahir tentang jalan ke Sentul, kami seperti masuk Treasure Hunt. Hujan yang sungguh lebat menyukarkan kami membaca papan tanda. Memang kelakar kerana kalau diikutkan ianya tidaklah begitu jauh daripada rumah Diddy. Beberapa kali sesat ke sana sini akhirnya sampai juga ke tempat yang di tuju.

Dua "Bodyguard" mengawal Icha dan kek harijadi =)

"Bodyguard" bersedia dengan senjata untuk menembak =)


Icha memperkenalkan "bodyguard" pada tetamu =)

Memang ramai jemputan yang hadir berpakaian mengikut tema Oren dan Ungu. Nasib baik ketika di Pulau Pinang Diddy sempat membeli sehelai T-shirt berwarna ungu =) Macam2 makanan tersedia. Diddy suka dengan kek harijadi yang diperbuat daripada cupcake yang disusun cantik. Memang unik! Walaupun hujan masih turun renyai2 tapi semua tetamu tetap seronok dan bergembira.

Icha pening kepala melihat jumlah lilin =)


Icha bimbang dengan serangan pengganas =)


Tembak!

Terima kasih pada Auntysms, Kayun dan Icha kerana sudi menjemput Diddy. Minta maaf kerana tak dapat lama2 di sana kerana Diddy ada hal keluarga yang perlu diselesaikan. Diddy harap semuanya berjalan dengan meriah. Selamat Ulangtahun ke dua puluh untuk Icha =) Semoga panjang umur dan murah rezeki serta sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah S.W.T.

Antara tetamu yang hadir


Antara tetamu yang hadir

Sebahagian daripada gambar2 ni Diddy ambil dengan kebenaran dari blog Kayun. Tetapi Diddy editkan sedikit untuk disesuaikan dengan blog Diddy. Kalau nak tengok lebih banyak lagi gambar2 lain ketika majlis ulangtahun Icha jangan lupa ke blog Kayun =)

Bersama Kak Muz


Bersama "Birthday Girl" Icha


Bersama Liea

Sebenarnya Diddy sudah siapkan semuanya malam tadi tetapi kerana masalah internet hanya pada hari ni Diddy dapat letakkan gambar2. Sampai pukul dua pagi Diddy cuba tapi masih tak berjaya. Oleh kerana sudah mengantuk Diddy hanya dapat letakkan cerita ni di blog pada hari ni saja. Terlambat sikit =)

Salam Sayang
Diddy