Latest Single - Lelaki Atas Awan

Wednesday, January 28, 2009

Selayang

Bismillahirrahmanirrahim


Selepas mendapatkan kebenaran daripada Audi Mok dan Abang Badrul, Diddy letakkan di sini single terbaru Diddy dan Nur yang bertajuk "Sudah". Jika ada yang berminat untuk memuat turun lagu ni Diddy juga letakkan kod2 muat turun untuk ketiga2 syarikat telekomunikasi di panel sebelah kanan di bawah "special project". Jangan lupa juga untuk membuat permintaan lagu "Sudah" di radio2 kegemaran anda =)


Minggu lalu DiGi Music Squad - Music Telegram berada di Selayang Mall, Selayang. Sebelum ni Diddy belum pernah sampai ke Selayang Mall jadi memang kami sedikit sesat. Selepas menghubungi beberapa orang rakan akhirnya kami sampai ke Selayang Mall. Nasib baik juga kami sampai tepat pada masanya. Kali ni giliran Diddy bersama Suki dan Azizi membuat kejutan. Memang seronok kerana ada beberapa lagu yang sengaja diubah liriknya untuk disesuaikan dengan orang yang menerima kejutan. Habis di Selayang Mall dan selepas Magrib Diddy ke Majlis Malam Puisi Utusan Demimu Palestin.


Hujung minggu nanti pada hari Sabtu jangan lupa untuk ke Amcorp Mall, Petaling Jaya sempena Karnival Amal ABPBH Untuk Gaza yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Ramai artis yang akan menghadirkan diri untuk menjual barangan peribadi mereka sebagai salah satu cara untuk mengutip dana untuk tabung Gaza. Diddy akan berada di sana dari pukul 11 pagi hingga 3 petang kerana pada pukul 4 petang Diddy terlibat dengan DiGi Music Squad - Music Telegram di tempat lain. Music Telegram ni juga ada lintas langsung di radio Era.


Sekali lagi Diddy nak letakkan di sini jika anda ingin menderma untuk tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) kita semua boleh menderma dengan cara mendepositkan wang menerusi akaun Maybank (5621 4270 8704) atau akaun CIMB Bank (1259 0000 8040 58) atau juga cek berpalang atas nama Islamic Relief Malaysia Berhad. Manakala untuk Tabung NSTP untuk Gaza kita semua boleh menyumbang kepada tabung ni melalui akaun Maybank (514105 320501) atas nama NSTP Fund For Gaza. Kita juga boleh menghantar sendiri sumbangan ke Bahagian Kewangan NSTP, Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar. Sama2lah kita berdoa semoga Allah S.W.T. melindungi umat Islam di Gaza dan di mana2 jua yang ditindas.

Petang semalam Diddy ke studio untuk merakamkan vocal guide lagu baru untuk album solo kedua Diddy dan siang nanti Diddy ada rakaman untuk rancangan Ewah Ewah terbitan TV3. Nanti Diddy akan ceritakan. Masa untuk Tidur =)

Salam Sayang
Diddy

Monday, January 26, 2009

Sumbangan

Bismillahirrahmanirrahim


Minggu lalu ada banyak juga aktiviti dan persembahan Diddy berlangsung. Tetapi perkara tu Diddy boleh ceritakan kemudian nanti. Ada perkara yang Diddy rasa lebih penting untuk Diddy ceritakan di sini. Minggu lalu Diddy menghadiri Malam Puisi Utusan Demimu Palestin yang diadakan di Laman Santai di pekarangan Istana Budaya, Kuala Lumpur. Ramai nama2 besar yang terlibat dalam majlis ni sama ada mendeklamasi puisi mahupun mempersembahkan nyanyian puisi tanda sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin. Diddy tidak terlibat dalam mendeklamasi puisi atau nyanyian tetapi sekadar hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan.


Dalam banyak2 deklamasi puisi, apa yang terngiang di telinga Diddy adalah bait2 awal puisi yang dipersembahkan oleh sasterawan negara, Datuk A. Samad Said. Diddy lupa tajuk puisinya tetapi bait2 awalnya berbunyi,

Kau memang boleh menghukum atas nama kemanusiaan
Tapi,
Perlu dulu kau tanya tulen tidak kemanusiaanmu

Pada Diddy bait2 tersebut begitu dalam maksudnya. Semoga kita dapat sama2 jadikan pedoman bukan sahaja dalam hal kekejaman Israel terhadap Palestin tetapi juga dalam kehidupan seharian kita. Kumpulan Utusan membuka tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) dan kita semua boleh menderma dengan cara mendepositkan wang menerusi akaun Maybank (5621 4270 8704) atau akaun CIMB Bank (1259 0000 8040 58) atau juga cek berpalang atas nama Islamic Relief Malaysia Berhad.


Kumpulan akhbar NSTP juga turut melancarkan Tabung NSTP untuk Gaza. Kita semua boleh menyumbang kepada tabung ni melalui akaun Maybank (514105 320501) atas nama NSTP Fund For Gaza. Kalau ada kesempatan kita juga boleh menghantar sendiri sumbangan ke Bahagian Kewangan NSTP, Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar.

Selain tu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian akan menganjurkan Karnival Amal ABPBH Untuk Gaza yang akan diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada hari Sabtu 31 Januari 2009 bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Lebih daripada 50 orang artis akan terlibat dalam karnival amal ni termasuk Diddy. InsyaAllah Diddy akan menjual CD Diddy, single terbaru Diddy bersama Nur serta poskad Diddy dan kesemua hasil jualannya akan didermakan kepada tabung ni. Buat pertama kalinya juga Diddy dan Nur akan mempersembahkan nyanyian single terbaru kami di karnival amal ni. Jangan lupa datang beramai2 untuk berjumpa dengan ramai artis kegemaran masing2 sambil menderma.

Orang sering berkata 'Walau sekecil manapun sumbangan anda ianya amat bermakna'. Pada Diddy tidak ada sumbangan yang kecil kerana nilainya tetap amat besar buat warga Palestin yang menderita akibat kekejaman Israel. Semoga kita semua mendapat keberkatan Allah S.W.T.

Salam Sayang
Diddy

Thursday, January 22, 2009

AJL

Bismillahirrahmanirrahim

Gambar ehsan Ieja

Hari ni Diddy dapat lihat produk akhir single Diddy dan Nur. InsyaAllah semua akan siap sepenuhnya esok. Siang tadi juga berlangsung sidang media Tabung NSTP untuk Gaza yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar. Tapi Diddy tak mahu bercerita lebih lanjut sehinggalah berita tersebut keluar di akhbar. Seronok juga dapat berjumpa dengan beberapa teman artis.

Gambar ehsan blog Nurt

Ketika Diddy ke Anugerah Juara Lagu hari Ahad lalu tak banyak gambar yang diambil. Jadi gambar2 yang ada di sini kebanyakannya dipinjam daripada orang yang mengambil gambar =) Terima kasih! Pada pandangan Diddy Anugerah Juara Lagu yang berlangsung Ahad lalu adalah antara Anugerah Juara lagu yang terbaik pernah Diddy saksikan. Memang puas hati dengan persembahan hebat artis2 yang bertanding. Kehadiran penyokong artis masing2 juga menambah kehebatan suasana dengan sorakan dan sokongan. Tahniah pada semua yang menang dan tahniah juga kepada semua yang bertanding kerana memberikan persembahan yang cukup hebat.


Sebenarnya sepanjang anugerah berlangsung, kami semua kedahagaan. Hehehe! Kali terakhir Diddy minum air ketika tamat temuramah di Suria FM lebih kurang pukul 4 petang tersebut. Habis sahaja majlis berlangsung Diddy merancang untuk terus pulang tetapi memandangkan semua orang keluar pada masa yang sama, bimbang pula terperangkap di dalam kesesakan. Beberapa orang artis mencadangkan kami ke majlis post party tetapi beberapa kali juga kami berpusing untuk mencari jalan ke post party tapi tak berjumpa. Diddy minta maaf pada sesiapa yang bergambar dengan Diddy tapi Diddy tak berapa nak senyum kerana tekak Diddy memang betul2 kering dan perit.

Gambar ehsan Elin Emilin

Bila sampai ke tempat post party keadaan memang penuh sesak dengan orang ramai. Tempat pertama yang dituju ialah meja yang menyediakan air tetapi malangnya tidak ada gelas yang bersih kerana semuanya telah digunakan. Lama juga menunggu tapi masih tak tiba jadi kami semua ambil keputusan untuk pulang sahaja. Keluar daripada Bukit Jalil kami terus ke stesen minyak dan beli air untuk minum. Hehehe! Alhamdulillah, hilang rasa dahaga yang amat sangat =)


Terima kasih pada Kak Kelly dan Kak Ayong yang menjemput Diddy hadir ke Anugerah Juara Lagu. Esok lebih kurang pukul 3.30 petang Diddy akan berada di Selayang Mall, Selayang untuk DiGi Music Squad - Music Telegram bersama Suki. Jumpa di sana.

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, January 21, 2009

Suria

Bismillahirrahmanirrahim


Siang tadi Abang Badrul beritahu Diddy bahawa telefilem Rebab Tidak Bertali sudah mendapat kelulusan tayangan daripada pihak RTM untuk siaran primetime. Syukur Alhamdulillah. Sekarang ni Rebab Tidak Bertali hanya menunggu tarikh untuk siarannya sahaja. InsyaAllah bila Diddy sudah dapat maklumatnya, Diddy akan beritahu di blog. Petang tadi juga cover untuk single Diddy dan Nur telah mendapat kelulusan semua pihak yang terlibat dan InsyaAllah semuanya akan siap dicetak pada hari Jumaat nanti. Diddy juga baru dapat informasi yang Diddy akan berada di Selayang Mall, Selayang, sempena DiGi Music Squad - Music Telegram pada hari Jumaaat nanti bermula pada pukul 3.30petang.


Hujung minggu lepas merupakan hujung minggu yang menggembirakan untuk Diddy. Bermula dengan program di Melaka, hari Sabtu pagi pula single terbaru Diddy dan Nur "Sudah" diputarkan di dalam program Prebiu Era. Kemudian pada sebelah malamnya pula single "Sudah" dimainkan pula di dalam program Prelude Hot FM. Pada hari Ahad pula sekali lagi single ni dimainkan di dalam ulangan program Prebiu Era. Pada sebelah petangnya ketika Diddy dan Abang Badrul dalam perjalanan untuk ke temuramah secara langsung di radio Suria FM, sekali lagi lagu "Sudah" dimainkan di radio Hot FM atas permintaan peminat. Sukar untuk Diddy gambarkan perasaan Diddy tetapi yang pasti Diddy sangat gembira.


Ni adalah kali pertama Diddy ke studio baru Suria FM yang terletak di One Utama. Memang kelam kabut sedikit pada awalnya kerana masalah kesesakan jalanraya dan kesukaran mencari tempat letak kereta. Mungkin semua orang sedang sibuk membeli belah untuk persiapan Tahun Baru Cina tak lama lagi. Diddy ke sana bersama Nur Fatima untuk temuramah secara langsung dalam program Suria Intro yang dihoskan oleh DJ Naim. Rancangan Suria Intro ke udara secara langsung dari pukul 3 petang sehingga 4 petang.


Memang cantik dan besar studio Suria FM di One Utama. Kalau tak silap Diddy mereka juga dalam proses menyiapkan ruangan tingkat bawah untuk mempertingkatkan lagi siaran Suria FM. Tempoh satu jam temuramah terasa hanya seperti 15 minit sahaja. Orang kata bila kita seronok, selesa dan gembira, masa berjalan begitu pantas. Ketika temuramah kami turut dihidangkan dengan kek dan minuman. Terima kasih pada semua di studio Suria FM One Utama yang sangat mesra. Habis sahaja sessi temuramah kami bergegas untuk menukar pakaian untuk ke Anugerah Juara Lagu di Stadium Putra Bukit Jalil. Apa yang dapat Diddy simpulkan hujung minggu lalu memang saat yang menggembirakan untuk Diddy.

Salam Sayang
Diddy

Kacau

Bismillahirrahmanirrahim


Minggu lalu Diddy ke Mahkota Parade, Melaka sempena DiGi Music Squad - Music Telegram. Memang seronok dapat ke Melaka lagi. Kali ni Diddy membuat kejutan untuk seorang gadis. Seorang pemuda ni yang belajar ditempat yang sama menaruh hati kepada gadis tersebut tetapi tidak tahu macam mana nak meluahkan perasaan. Dia kemudiannya membuat pilihan lagu yang ingin dihantar kepada gadis tersebut melalui DiGi Music Telegram di www.digi.com.my/music. Di sinilah Diddy muncul untuk "menyatukan" mereka. Memang kelakar buat kejutan pada gadis tersebut di hadapan pintu masuk Mahkota Parade =)


Lepas habis kejutan tersebut kami semua "mengacau" pengunjung lainnya. Terima kasih pada orang2 Melaka yang sangat sporting. Memang best dapat menyanyi live pada beberapa orang tertentu. Mudah untuk Diddy fokuskan nyanyian Diddy. Ada yang berpasangan dan ada yang berjalan bersama rakan2 dan keluarga. Diddy letakkan beberapa keping gambar yang diambil ketika kami kacau beberapa pengunjung di Mahkota Parade, Melaka.





Paling istimewa tentulah bila Diddy dapat peluang kacau Kak Maya yang datang bersama Abang Syam dan Hirdy Jr. Sebenarnya masa tu pun kita sudah habis dan hanya menunggu masa untuk balik ke Kuala Lumpur. Abang Badrul awal2 lagi sudah merancang bersama Alan, pihak pengurus acara untuk membuat kejutan terakhir. Terima kasih Kak Maya yang sangat sporting menyanyi bersama2 lagu Saat.


Habis sahaja di Mahkota Parade, Kak Maya dan Abang Syam bawa Diddy dan Abang Badrul makan malam dengan juadah kesukaan Diddy iaitu asam pedas. Memang setiap kali datang ke Melaka Diddy tak pernah terlepas peluang untuk makan asam pedas. Terima kasih lagi sekali buat Kak Maya dan Abang Syam yang sentiasa memberikan layanan yang sungguh istimewa setiap kali Diddy datang ke Melaka.


Minggu ni pula Diddy masih belum tahu di mana Diddy akan berada untuk DiGi Music Squad - Music Telegram. Apa yang pasti, ianya akan berlangsung pada hari Jumaat nanti. Pada hari Sabtu pula Diddy akan membuat persembahan untuk Majlis Makan Malam Sentuhan Kasih yang akan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Berdebar juga kerana Diddy adalah satu2nya artis yang akan membuat persembahan. Diddy berdoa semoga semuanya berjalan dengan lancar. Pada hari Ahad pula Diddy ada rakaman untuk sebuah rancangan terbitan TV3.

Diddy juga ingin mengucapkan salam takziah buat keluarga Arwah Abang Zawadi yang meninggal dunia hari Rabu minggu lalu. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang2 yang beriman. Amin.

Salam Sayang
Diddy

Thursday, January 15, 2009

Sudah

Bismillahirrahmanirrahim


Akhirnya single duet Diddy bersama Nur bertajuk "Sudah" siap sepenuhnya. Hampir pukul dua pagi hari Rabu Diddy, Abang Badrul dan Audi Mok menyaksikan Nick Lee menyiapkan proses mastering. Nur tak dapat hadir kerana dia dalam perjalanan pulang dari kampung ke Kuala Lumpur. Diddy sangat2 gembira dengan single "Sudah" yang Diddy anggap pembuka tirai kerjaya Diddy di tahun 2009. Kemudian pada sebelah siangnya sepanjang hari Diddy, Abang Badrul dan Nur Fatima berkunjung ke stesen2 radio untuk menghantar single ni. Kami ke Hot FM, Era dan Suria FM untuk bertemu sendiri dan memperdengarkan lagu "Sudah" kepada mereka.

InsyaAllah jika tak ada aral melintang dan jika ada rezeki, lagu "Sudah" akan diputarkan di dalam rancangan Baru di Era (Prebiu Era) pada hari Sabtu ni bermula pukul 8 pagi dan ulangannya pada hari Ahad bermula pukul 12 tengahari. Juga di Prelude Hot FM pada hari Sabtu ni bermula pukul 11 malam. Semuanya bergantung kepada pihak pengurusan radio tersebut. Tidak ketinggalan juga di Suria Intro pada hari Ahad bermula pukul 3 petang. Diddy dan Nur juga akan ke udara secara live di Suria Intro pukul 3 petang hari Ahad ni. Kami akan berada di studio Suria FM yang terletak di One Utama - (New Wing) Rain Forest. Kalau anda tak kemana2, datanglah ke One Utama nanti ya! Selepas habis temuramah nanti kami akan ke Anugerah Juara Lagu. Terima kasih Kak Kelly dan Kak Ayong atas jemputan.



Sudah - Diddy & Nur

1st verse
(Diddy)
Citaku…
Bahagia bersamanya
Semuanya punah
Buatku sedar
Cinta tak mungkin lagi…

(Nur)
jangan kesal
relakan ia pergi
yang aku pasti
semuanya nyata
percaturan duniawi

1st Pre-chorus
(Diddy) Pedih nya...
(Nur) Kurasakan jua…
(Diddy) Sayu hatiku…
(Nur) usah kau kenangkan...
(Diddy) Seksa sengsara...
(Nur) Bersabarlah saja..
(Diddy) Takkan cinta kembali
(Nur) Cinta kan kembali

1st Chorus
(Both) Mengapa merindu
(Nur) Bila hati tersentuh
Cukup merana
(Diddy) Tak mungkin ku
Berpaling padanya
Cuma,
(Nur) Kecewa cinta dipersenda
(Diddy) Benar ku hampir putus
(Both) Harapan
(Nur) Moga kau tabah
(Both) Melalui semua tanpa dendam

2nd Verse
(Diddy) Jiwaku...
(Nur) Jiwamu...
(Diddy) Perit menggamit pilu
(Nur) Daku memahaminya
(Diddy) Ku hilang arah
(Both) Duka melara
Mencari cahaya

2nd Pre-Chorus
(Diddy) beginikah...
(Nur) usah kau keluhkan
(Diddy) suratan hidupku…
(Nur) bukan pengakhirnya
(Diddy) tak pernah bahagia
(Nur) jangan kau sesalkan
(Both) Segala takdir-Nya

2nd Chorus
(Both) Sudahlah merindu
(Nur) nyata janjinya palsu
lupakan saja
(Diddy) biar aku mengharungi
sendiri
(Nur) walau kasih dipersiakan
(Diddy) tidak ku hanyut dalam
(Both) mainan
(Nur) cinta khayalan
(Both) melewati semua tanpa dendam

Bridge
(Diddy) Kini ku lebih mengerti
(Nur) Tentang apa yang terjadi
(Both) Pasrah di atas segala ketentuan-Nya...
(Diddy) Oohhh...
(Nur) Sudahlah
(Diddy) Kini ku mengerti... Ohhh...

3rd Chorus
(both) Biarkan berlalu
(Nur) Kisah cintamu dahulu
lenyapkan saja
(Diddy) Cukup sudah
ku menagih simpati
(Nur) walau musnah segala-galanya
(Diddy) akan cuba ku padamkan
(Both) tiap
(Nur) coretan lama
(Both) Lupakan semua tanpa Dendam


Composer: Audi Mok
Lyricists: Diddy / Nur Fatima



Diddy letakkan di sini lirik lagu "Sudah" supaya mudah untuk memahami cerita di sebalik lagu ni. Kalau anda berpeluang mendengar lagu "Sudah" di radio dan sukakan lagu ni, jangan lupa buat permintaan dan dedikasi. Diddy sangat2 berharap dengan sokongan semua.

Salam Sayang
Diddy

Tuesday, January 13, 2009

Telegram

Bismillahirrahmanirrahim


Program DiGi Music Squad - Music Telegram sepatutnya bermula Jumaat nanti untuk Diddy tetapi pihak penganjur meminta Diddy sertai Music Telegram istimewa yang diaturkan khas untuk kakitangan DiGi di ibupejabatnya di Shah Alam pada hari Isnin lepas. Diddy rasa DiGi Music Telegram adalah antara program yang paling menyeronokkan yang pernah Diddy ikuti. Bayangkan Diddy menyanyikan dedikasi lagu secara live di dalam pejabat! Malah ada ketikanya kami membuat persembahan ketika mesyuarat sedang berlangsung. Memang kelakar tengok muka Boss2 di dalam bilik mesyuarat yang terkejut dapat dedikasi secara live! Tetapi mereka semua amat sporting.


Ketika membuat persembahan Diddy diiringi oleh satu kumpulan yang dinamakan Rhythm Life terdiri dari dua orang penyanyi lelaki dan dua orang penyanyi perempuan. Suara mereka memang dasyat2 semuanya. Mereka juga membuat persembahan dedikasi untuk anda sepanjang berlangsungnya DiGi Music Squad - Music Telegram ni. Kalau tak silap Diddy DiGi Music Squad akan berlangsung sehingga 8hb Februari nanti, tetapi dedikasi Music Telegram akan berterusan. Kalau nak maklumat lanjut, jangan lupa layari www.digi.com.my/music


Hari Jumaat ni lebih kurang pukul 4 petang Diddy akan berada di Mahkota Parade, Melaka untuk membuat dedikasi secara live kepada mereka yang telah membuat permintaan di portal DiGi. Diddy rasa program ni akan menjadi satu program yang cukup hebat dan sangat menyeronokkan. Tak sabar pula nak tahu di mana tempat Diddy akan pergi seterusnya untuk membuat dedikasi mengejut kepada yang bertuah! Diddy letakkan di sini beberapa gambar yang sempat diambil ketika kejutan di ibupejabat DiGi.


Malam tadi Diddy berjumpa dengan seorang lagi komposer yang bakal bekerjasama untuk lagu Diddy seterusnya. Jika tak ada aral melintang Diddy akan masuk studio untuk lagu seterusnya tak lama lagi. Okaylah sekejap lagi Diddy nak keluar ke studio untuk dengar single Diddy yang akan dibuat mastering. Cover single Diddy dan Nur juga dah siap dan InsyaAllah Diddy akan kongsikan bersama nanti di blog.

Salam Sayang
Diddy

Sunday, January 11, 2009

Metro

Bismillahirrahim




Nur Temani Diddy

Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

Kehadiran 2009 turut dirai oleh Syamsul Hirdi Muhid (Diddy) dengan kemunculan single terbaru yang bakal dimuatkan di dalam album keduanya nanti. Sudah ciptaan Audi Mok menjadi pemangkin baru untuk remaja berusia 23 tahun itu meneruskan kesinambungan dalam dunia seni.

Sudah yang memiliki pengaruh elemen muzik Cina lebih membanggakan Diddy kerana ini percubaan pertamanya sebagai penulis lirik. Bagaimanapun, dia tidak keseorangan kerana ditemani rakan artis, Nur Fatima yang juga rakan duet untuk lagu istimewa ini.

Album baru? Masih terlalu awal untuk diperkatakan. Setakat ini, cuma tiga lagu dalam simpanannya. Masih jauh, tetapi kata Diddy, dia cuba memastikan album keduanya dipasarkan dalam tahun ini juga.

“Banyak yang saya belajar dalam tempoh singkat saya bergelar artis. Selain membentuk keperibadian diri, saya mengenali pembikinan muzik lebih mendalam kerana selama ini saya hanya menyanyi. Sekarang saya ditugaskan membuat lirik.

“Saya akui bukan mudah mencari perkataan sesuai untuk dimasukkan ke dalam patah lagu. Beberapa kali juga dirombak tetapi nasib baik, untuk lagu Sudah, Audi mahukan lagu itu seperti berdialog. Jadi saya dan Nur membuat lirik bahagian yang dinyanyikan masing-masing,” kata Diddy ketika ditemui di Puchong, baru-baru ini.

Bagi menyiapkan lirik Sudah, cerita Diddy, dia banyak berbincang dengan Nur. Bagaimanapun, draf pertama lirik itu tidak dipersetujui pihak pengurusannya, f-tersix sdn bhd. Rombakan dilakukan sehingga semua pihak berpuas hati.

“Biarpun sukar dan mencabar, saya temui keseronokan tersendiri membuat lirik. Tambahan pula ia memudahkan saya dan Nur menghayati apa yang kami tulis itu ketika merakamnya.

“Saya tidak mahu bercakap panjang mengenai lagu itu, nanti orang kata syok sendiri. Saya memang suka Sudah, tetapi peminat boleh dengarkan sendiri lagu itu kalau dimainkan di radio dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Pertengahan minggu depan, Diddy dan pihak f-tersix bakal duduk semeja dengan sekumpulan komposer untuk berbincang arah muzik dan konsep album keduanya. Kalau album pertama memuatkan enam lagu rancak, bagi album kedua ini, pihaknya bersetuju untuk melebihkan jumlah lagu balada.

Menurutnya, selepas dinilai daripada album pertama, ternyata suaranya lebih sesuai untuk balada. Hilang, Saat dan Genggam menjadi taruhan balada yang dijadikan single demi single bagi album terdahulu. Cuma Saling Terpesona dan Lena saja yang rancak.

Melihat kembali single itu, Diddy berharap sangat album keduanya diisi dengan lagu lebih hebat untuk dijadikan single sebanyak mungkin.

“Saya terkilan sedikit sebab banyak lagu bagus, tetapi tidak dapat dijadikan single. Kalau boleh saya mahu jadikan 10 lagu itu sebagai single kerana tidak semua dimainkan di radio. Namun industri kita sememangnya begini, saya perlu terima hakikat.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya ada lima single daripada satu album berbanding kebanyakan penyanyi lain yang cuma mempunyai satu atau dua single,” katanya.

Salam Sayang
Diddy

Saturday, January 10, 2009

Majalah

Bismillahirahmanirrahim


Minggu pertama di tahun baru 2009 memang agak sibuk untuk Diddy. Banyak perbincangan bersama dengan pihak pengurusan Diddy berlangsung untuk memastikan perjalanan karier Diddy sepanjang tahun ni. Perbincangan tentang album terutamanya mengenai pemilihan lagu, arah tuju album dan jadual2 rakaman sedang dalam proses terakhir untuk disusun. Syukur Alhamdulillah jika tidak ada aral melintang, single pertama Diddy berjudul "Sudah" akan siap minggu hadapan termasuklah proses membuat cover, suntingan dan cetakan. Harapan Diddy, anda semua akan menggemari lagu ni. Dalam beberapa minggu seterusnya Diddy akan masuk studio kembali untuk rakaman lagu seterusnya dalam album terbaru Diddy.


Bermula minggu hadapan pula selama empat minggu Diddy akan terlibat dengan DiGi Music Squad - Music Telegram yang dibawakan oleh DiGi di Radio Era. Diddy, Dina dan Suki terlibat dengan Music Telegram ni. Untuk pengguna DiGi, anda boleh membuat dedikasi lagu melalui digi.com.my dan kami akan tunaikan dedikasi tersebut secara terus kepada orang yang anda tujukan lagu tersebut. Bermaksud Diddy akan ke tempat orang yang ditujukan lagu tersebut dan Diddy akan menyanyikan secara langsung lagu yang ditujukan. Untuk yang terpilih, dedikasi anda juga akan disiarkan secara langsung di Radio Era. Kalau nak tahu lebih lanjut, jangan lupa mendengar Radio Era.


Untuk bulan Januari ni juga ada beberapa publisiti Diddy di dalam majalah Remix dan majalah i-Remaja. Di dalam majalah Remix Diddy diberi penghormatan untuk mejadi artis pertama mewarnai kolum baru iaitu kolum "This is Me". Di dalam majalah i-Remaja pula Diddy ada di ruangan Hiburan. Jadi jangan lupa untuk dapatkan majalah Remix dan i-Remaja keluaran bulan Januari. Esok, hari Ahad pula akan ada sedikit publisiti mengenai single terbaru Diddy di dalam Metro Ahad. Jangan lupa dapatkan Metro Ahad esok ya =)

Akhir sekali Diddy ingin ucapkan salam takziah buat Nubhan dan keluarga atas kehilangan ayahanda tercinta beberapa hari yang lalu. Semoga Nubhan tabah menghadapi dugaan Allah S.W.T. dan semoga Allahyarham di tempatkan bersama2 orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

Salam Sayang
Diddy

Monday, January 5, 2009

Online

Bismillahirrahmanirrahim


Ni adalah tulisan pertama Diddy di blog pada tahun baru 2009. Hari ni sudah masuk hari kelima tapi Diddy rasa belum terlambat untuk Diddy ucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua. Kalau orang tanya apakah azam tahun baru Diddy, rasanya tidak ada apa2 yang istimewa kecuali bekerja dengan lebih keras lagi. Walaupun sudah dua tahun Diddy berada di bidang seni Diddy masih rasa seperti baru merangkak. Banyak lagi perkara yang Diddy perlu perbaiki, harus belajar dan ingin dicapai. Pegangan Diddy adalah bekerja keras dan selebihnya berserah kepada rezeki. Diddy juga tahu tanggungjawab Diddy semakin besar dengan kedatangan tahun baru. Dua telemovie lakonan Diddy, Rebab Tidak Bertali dan Kasih Berbunga Lalang akan ditayangkan pada tahun ni. Selain daripada tu single terbaru Diddy juga dalam proses akhir susunan muzik. Rakaman untuk lagu2 terbaru juga akan dimulakan awal tahun ni. Diddy memang teruja!

Bercakap tentang tanggungjawab, bermula tahun ni semua yang ada di blog Diddy adalah tanggungjawab Diddy sepenuhnya. Pada awal penglibatan Diddy dengan blog, Diddy berjanji dengan Abang Badrul untuk menulis sekurang2nya sekali seminggu dan Diddy dah dapat berikan lebih dari tu. Awal dulu juga proses untuk Diddy menulis di blog agak panjang. Setiap kali Diddy menulis, Abang Badrul akan meneliti terlebih dahulu sebelum Diddy letakkan di blog tapi sejak bulan Julai tahun lalu, Diddy tak perlu lagi melalui proses tersebut. Begitu juga dengan gambar2 yang diletakkan di blog ni perlu mendapat persetujuan Abang Badrul tapi bermula tahun ni Diddy sendiri bertanggungjawab dengan gambar2 yang Diddy letakkan. Diddy perlu memilih dan mengolah sendiri gambar2 yang ingin Diddy letakkan di blog. Diddy ada lebih kebebasan tetapi dengan kebebasan tersebut juga datang tanggungjawab yang lebih besar.

Diddy juga akan cuba sebaik mungkin untuk meluangkan masa menjawab apa2 komen yang diletakkan di kotak komen. Mungkin lambat atau cepatnya bergantung kepada kelapangan Diddy. Tentang menulis di blog pula Diddy tak berani untuk berjanji apa2. Apa yang Diddy boleh katakan Diddy akan menulis sekurang2nya sekali seminggu tetapi jika Diddy ada berita dan cerita Diddy akan menulis lebih dari tu. Sebenarnya kalau boleh Diddy cuba untuk tidak menulis tentang perkara2 peribadi. Terlalu terbuka pula rasanya kalau nak ceritakan hal2 selain daripada karier Diddy. Tetapi kalau Diddy rasakan perlu untuk memberikan pendapat dan pendirian Diddy, tak salah rasanya. Tengoklah situasinya nanti. Sebelum Diddy lupa, tak lama lagi Diddy akan dapat 'hadiah' sebuah jam tangan kerana ada orang ni cakap kalau Diddy bertahan lebih enam bulan menulis di blog, dia akan belikan jam tangan untuk Diddy =)

Selain tu tanggungjawab online Diddy juga merangkumi MySpace dan Facebook Diddy. Diddy perlu pastikan kedua2nya sentiasa dikemaskini setiap masa. Cuma apa yang nak Diddy beritahu ialah Diddy akan luluskan friends request di Facebook hanya untuk orang yang menggunakan profile gambar mereka sendiri bukannya gambar artis2 lain, gambar binatang, kereta dan sebagainya. Diddy tidak kisah sangat untuk meluluskan friends request di MySpace kerana tak banyak gambar2 peribadi Diddy letakkan di sana. Diddy minta maaf jika ianya menimbulkan kesulitan pada sesiapa saja.

Diddy nak ucapkan terima kasih pada semua yang sentiasa tinggalkan komen2 di blog Diddy, juga mesej dan pesanan di MySpace dan Facebook Diddy. Pesanan, nasihat dan kata2 peransang semua memberikan semangat untuk Diddy berusaha dengan lebih keras lagi. Diddy juga berharap tahun baru ni akan memberikan kejayaan dan kecemerlangan untuk semua tak kira apa jua yang kita impikan.

Salam Sayang
Diddy