Latest Single - Lelaki Atas Awan

Thursday, February 28, 2008

Adik?

Bismillahirramanirrahim

Dah banyak kali Diddy dengar perkara yang sama. Tiap2 kali berjumpa dengan peminat mesti ada yang bertanyakan soalan yang sama. Yang berlakon dalam Spa-Q tu adik Diddy ke? Ada juga yang kata kembar Diddy. Semua orang kata wajahnya mirip Diddy. Sebenarnya Diddy tak pernah bertemu dengan Fazren, pelakon Spa-Q sebelum ni. Diddy juga tak berkesempatan nak tengok drama Spa-Q tu. Jadi setiap kali ada orang tanya Diddy cuma jawab bukan adik Diddy. Takkan lah Diddy tak kenal siapa adik Diddy kan =)



Akhirnya Diddy berpeluang juga bertemu dengan Fazren apabila kami digandingkan dalam sessi fotografi bersama untuk Majalah Yezz keluaran Karangkraf. Sessi fotografi dibuat di lokasi Go-Kart di Shah Alam. Tak taulah pulak kat mana persamaannya antara Diddy dan Fazren menyebabkan ramai yang kata dia adik Diddy. Yang kelakarnya, kami dilahirkan pada tahun yang sama iaitu 1985. Malah kalau ikut tarikh lahir, Fazren tua dua bulan daripada Diddy sebab dia lahir bulan Ogos dan Diddy pula bulan Oktober. Memang sah dia bukan adik Diddy =)



Kalau nak tahu lebih lanjut nanti jangan lupa dapatkan Majalah Yezz keluaran bulan April edisi Selebriti. Masa sessi fotografi tu dapat juga Diddy cuba lumba Go-Kart. Ni merupakan kali pertama Diddy cuba Go-Kart. Abang Badrul cakap Diddy bawak Go-Kart macam bawak motosikal kapcai. Sebenarnya Go-Kart tu rosak! =)

Salam Sayang
Diddy

Wednesday, February 27, 2008

Superstars

Bismillahirrahmanirrahim



Bermula 1 Januari 2008 secara rasminya Diddy menjadi anggota DiGi Superstars. Rasa bangga dan terharu kerana Diddy merupakan penyanyi lelaki pertama yang terpilih untuk bersama-sama dengan DiGi Superstars lainnya seperti Ashraff Sinclair, Waheeda, Zed Zaidi, Zul Yahya, Raja Farah dan beberapa artis lain lagi. Alhamdulillah ini rezeki yang tertulis untuk Diddy. Terima kasih atas kerja keras Abang Badrul dan Shonny yang tak jemu2 mencari peluang terbaik untuk Diddy (ayat skema hari ini!)



Sebagai DiGi Superstars Diddy berpeluang untuk mengikuti roadshow bertemu peminat yang diaturkan dan tentunya mengikuti Karnival Gegeriuh DiGi untuk membuat persembahan. Inshaallah nanti Diddy akan letakkan jadual Diddy. Kalau tak silap, Diddy akan ikut Karnival Gegeriuh ke Ipoh, Perak; Kota Kinabalu, Sabah; Shah Alam, Selangor; Danga Bay, Johor; Seremban, Negeri Sembilan dan Kuching, Sarawak. Banyak juga aktiviti2 DiGi lainnya yang Diddy bakal turut serta.



Selain daripada tu pengguna DiGi juga boleh melanggan Diari Diddy! Diari Diddy memang lain daripada apa yang Diddy tuliskan kat sini. Diari Diddy lebih personal. Bukan saja setakat promosi yang Diddy ikuti tapi juga macam2 perkara peribadi yang berlaku sepanjang minggu dalam hidup Diddy. Ada tiga Diari Diddy setiap minggu dan hanya 50sen setiap satu. Kalau pengguna DiGi nak dapatkan Diari Diddy cuma perlu taip ON (jarak) DIDDY dan hantarkan ke 2000. Gambar2 yang macam Diddy letakkan kat atas2 ni pun boleh dimuat turun! Yang ni cuma contoh tiga keping aje! Banyak lagi. Kalau nak dapat informasi percuma cuma taip ON (jarak) DSC dan hantarkan ke 2000.

Salam Sayang,
Diddy

Tuesday, February 26, 2008

Planet

Bismillahirramanirrahim

Syukur kerana Diddy tercalon untuk kategori Artis Baru Lelaki Terbaik untuk Anugerah Planet Muzik 2008. Sebenarnya bukan anugerah yang Diddy kejarkan tetapi dalam ingin mencipta nama di bidang yang mencabar ni, anugerah merupakan penghargaan kepada artis-artis yang terlibat. Pada Diddy, tergolong dalam lima pencalonan akhir merupakan satu penghargaan yang tidak terhingga apatah lagi begitu ramai artis baru yang ada ketika ini. Lebih manis, Anugerah Planet Muzik merangkumi tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Tentulah saingannya lebih sengit.



Selain tu, Diddy juga bersyukur kerana tercalon untuk kategori Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Terima kasih kepada semua yang mencalonkan Diddy. Mungkin pada sesetengah orang ini hanyalah anugerah populariti tetapi kepada Diddy, pencalonan ini amat penting kerana ianya ditentukan oleh peminat. Berada di kelompok lima calon akhir memberi harapan kepada Diddy yang kehadiran Diddy di bidang seni diterima oleh peminat. Itu yang penting! Terima kasih sekali lagi.





Pada hari yang sama pengumuman tentang Anugerah Planet Muzik, Diddy hadir untuk majlis penyerahan kereta tajaan Peugeot kepada penganjur Anugerah Bintang Popular. Ini juga merupakan satu penghormatan pada Diddy kerana dijemput hadir bersama ratu filem Erra Fazira! Bayangkan artis yang setahun jagung seperti Diddy digandingkan bersama dengan artis yang cukup ternama seperti Erra Fazira. Terima kasih kepada Berita Harian.



Yang menakjubkan juga, kami diberi peluang untuk memandu uji kereta sport baru Peugeot 207! Kereta ni belum ada lagi di pasaran Malaysia. Diddy rasa sungguh teruja (contoh ayat skema!) Takut pun ada sebab kereta tu tentu mahal harganya. Tak taulah bila lagi Diddy mampu untuk memiliki kereta mewah seperti ni. Tapi tu tak penting kerana paling utama Diddy nak pastikan keperluan lain lebih dulu terlaksana.




Salam sayang
Diddy

Monday, February 25, 2008

Rutin

Bismillahirrahmanirrahim

Mungkin Diddy lompat sedikit cerita Diddy ke masa sekarang ni. Rutin pada awal tahun 2008 pada Diddy amat sibuk. Saban hari dan kebanyakannya hujung minggu jadual Diddy penuh dengan persembahan makan malam, promosi dan lain2 lagi. Sekarang ni pula setiap minggu Diddy akan ikut promosi untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian.



Minggu pertama Road Tour ABP membawa Diddy ke Kota Bharu, Kelantan. Memang teruja kerana inilah pertama kali Diddy menjejakkan kaki ke Kelantan membuat persembahan. Memang ramai orang di KB Mall dan kami menjamu selera untuk makan malam di Pantai Cahaya Bulan. Yang seronokknya, Diddy bukan saja dapat bertemu dengan peminat di Kelantan dan membuat persembahan untuk mereka, tetapi Diddy juga dapat menjual album Diddy pada mereka. Inilah kepuasan yang tak ternilai harganya. Ada lagi pengalaman yang berharga di Kelantan. Diddy dapat duduk bersama-sama dengan Abg Anuar Zain dan mendapat nasihat serta mendengar pengalaman beliau! Mungkin ramai yang tidak tahu, selain daripada Dayang Nurfaizah dan beberapa penyanyi lagi, Abg Anuar Zain adalah idola Diddy sejak kecil lagi.



Minggu kedua rombongan ABP ke Kuala Terengganu. Ini adalah kali ketiga Diddy membuat persembahan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, tapi yang pertama untuk tahun ni. Ramai sungguh orang yang hadir walaupun cuaca panas terik. Kami diarak menaiki beca roda tiga. Kali pertama dalam hidup Diddy juga berpeluang untuk menunggang kuda. Pada hari terakhir kami di Terengganu, rombongan dibawa untuk melawat Taman Tamadun Islam yang ada lebih 21 replika masjid2 utama di dunia.



Diddy berada di Melaka untuk minggu ketiga ABP Road Tour. Persembahan di Dataran Pahlawan Mall memang seronok! Ramai sungguh orang yang hadir. Kali ni sebelum persembahan bermula kami semua diarak menaiki kereta lembu. Terima kasih kepada orang Melaka yang menyokong Diddy sambil membeli album Diddy. Seronok sangat setiap kali tengok album Diddy terjual.

Hujung minggu ni pula Diddy akan ke Kuantan Pahang. Tak sabar rasanya. Siang nanti pula Diddy ada dua sidang akhbar yang Diddy kena pergi. Yang pertama pada pukul sebelas pagi nanti untuk penyerahan hadiah utama dari Peugeot kepada pihak penganjur Anugerah Bintang Popular. Petangnya pula Diddy akan ke sidang akhbar untuk Anugerah Planet Muzik 2008. Tercalon atau tidak, Diddy berserah pada rezeki.

Salam sayang
Diddy

Wednesday, February 20, 2008

Cabaran

Bismillahirrahmanirrahim

Salam untuk semua.




Diddy tak pandai sangat nak karang ayat tapi inilah cabaran yang Abg Badrul berikan pada Diddy. Satu hari nanti Diddy akan ada ruangan di website F-Tersix untuk Diddy menulis. Jadi sementara waktu Diddy kena praktis dulu tulis dekat blog. Mungkin tak ada yang personal sangat tapi lebih kepada aktiviti2 yang Diddy buat dan ikuti. Alhamdulillah Diddy ada editor yang akan editkan tulisan Diddy dan juga letakkan gambar2 yang diperlukan =) Siapa lagi kalau bukan Abg Badrul.

Cabaran bukanlah satu perkara baru dalam hidup Diddy. Setiap hari Diddy berdepan dengan macam2 cabaran sebagai anak seni. Pepatah orang tua, kalau tak berani menghadapi gelombang jangan berumah di tepi laut. Bunyinya macam dah biasa diulang2 tapi itulah hakikatnya. Orang putih kata cliche. Bukan setakat anak seni tapi Diddy rasa semua orang pun lalui macam2 cabaran. Cuma mungkin ada masa keadaannya berbeza.

Diddy tak pasti sekerap mana Diddy akan tulis tapi kalau ikutkan perjanjian cabaran ni mestilah sekurang2nya sekali seminggu. Diddy akan buat semampu yang boleh. Mungkin sebagai permulaan Diddy akan ceritakan pengalaman masa lampau ketika mula2 Diddy terlibat di bidang seni. Kalau bukan Akademi Fantasia apa lagi kan? Taklah secara terperinci tapi cukuplah untuk kenang balik saat pahit manisnya. Selebihnya mungkin kepada promosi dan perkembangan karier Diddy.

Mungkin juga blog Diddy ni boleh jadi ruang terbaik untuk sesiapa memberikan pendapat, kritikan dan nasihat untuk Diddy memperbaiki diri. Diddy tak kisah dikritik tapi biarlah ianya membina dan bukan untuk mengutuk. Diddy sentiasa berpegang pada kata2 yang kita sentiasa perlu membaiki diri. Satu lagi cabaran yang bukan mudah tapi perlu dilakukan untuk mencapai cita2. Susah juga nak menulis ni. Hampir dua jam Diddy nak karang tulisan pertama Diddy. Kalau rasa tulisan ni bunyi macam skema kerana Diddy mesti tulis dalam bahasa skema =)

Salam Sayang
Diddy